Thursday 26 April 2012

HERO-HERO BERKUMPUL - THE AVENGERS



DIKHABARKAN bakal menemu ramah Chris Evans, pelakon terkenal yang memegang watak Steve Rogers yang juga Captain America dalam filem baru Marvel, The Avengers, hati penulis melonjak gembira.

Pertama kerana ingin melihat secara dekat bagaimana orangnya dan kedua, kesempatan itu membolehkan kami, media dari pelbagai negara menyelami peribadi aktor berusia 31 tahun ini.


Memandangkan kami dibawa Walt Disney Studios Motion Pictures untuk menonton tayangan premium filem berkenaan, sekali gus diberi peluang bertemu pelakonnya, maka kesempatan itu tidak boleh disia-siakan.

Meskipun sedar temu bual nanti hanya berkisar peranannya sebagai Steve Rogers, itu bukanlah masalah besar dan akhirnya selepas menunggu hampir sejam, Chris masuk ke bilik yang disediakan khas untuk temu bual itu dengan gaya santainya.

Memulakan perbualan dengan menceritakan pengalamannya serba sedikit menjadi Captain America dalam pasukan Avengers, Chris berkata, dia rasa bertuah dan gembira kerana digandingkan bersama barisan pelakon yang gila-gila.



“Di set penggambaran, kami banyak ketawa dan masing-masing tidak berasa tertekan. Kami seronok menjayakan filem ini dan sudah menjadi seperti keluarga kecil.

“Orang mungkin berkata terlalu ramai adiwira dalam satu filem akan menyebabkan pergeseran pendapat dan pertelingkahan, tetapi hakikatnya itu tidak berlaku kepada kami.

“Benar kami ada bergusti dalam filem ini, tapi kami juga pada masa sama menari terutama apabila ada seorang saja ‘bunga’ (merujuk kepada aktres, Scarlett Johannson) di set penggambaran,” selorohnya.


Walaupun Steve Rogers digambarkan sebagai seorang pendiam dan sukar menyesuaikan diri dengan keadaan, Chris jelas tidak mewarisi sikap itu. Bahkan pemilik nama penuh Christopher Robert Evans itu tetap bebas bercerita termasuk mengulas perasaan bangganya apabila dapat membintangi filem yang turut dibarisi idolanya.

Merujuk kepada Robert Downey Jr dan Samuel L Jackson, katanya, dia membesar dengan menghargai dua aktor terhebat itu dan kerjasama antara mereka sudah tentu menyimpan seribu kenangan.

“Apa yang anda lihat dalam filem tidak sama dengan yang berlaku di luar set. Kami memang mesra, bertukar cerita dan sering ketawa.

“Downey tetap dengan kelakarnya hingga kadangkala kami terpaksa menahan buat muka serius untuk memastikan tumpuan tidak terganggu. Betul, kami lebih banyak ketawa.

“Saya teruja kerana menjadi Steve Rogers membolehkan saya bersama mereka semua. Ini satu pengalaman yang menakjubkan. Sebelum ini, saya menonton semua filem Marvel dan sekarang saya sangat teruja kerana menjadi sebahagian daripada sejarah Marvel,” katanya yang memperlihatkan sifat merendah diri.

Bakal menyambut hari lahir ke-31 pada 13 Jun depan, Chris yang dibesarkan di Massachusetts memulakan kariernya di teater sebelum berpindah ke New York di mana dia melanjutkan pengajian di Lee Strasberg Theatre and Film Institute.

Minat mendalamnya terhadap seni lakonan meletakkan Chris sebaris pelakon ternama lain terutama selepas membintangi sekuel Fantastic Four sebagai Johnny Storm aka The Human Torch pada 2007.

Jelasnya, banyak filem aksi yang sudah dilakonkan sebelum ini, namun dia tetap perlu memastikan diri sentiasa gagah, berkeadaan baik dan sesuai bagi menjayakan sesuatu watak.

“Untuk itu dalam filem ini, saya banyak berusaha memastikan Captain America sentiasa nampak hebat di mata penonton walaupun jauh di lubuk hati Steve Rogers itu sebenarnya berasa sunyi.


“Banyak bermain dengan perasaan apabila awalnya Steve Rogers perlu dilihat sebagai terasing selepas terperangkap dalam ketulan ais pada penghujung Perang Dunia Kedua dan hilang rentak sebagai pejuang.

“Dia juga perlu menyesuaikan diri dengan dunia moden, bertegang urat dengan Tony Stark (Robert Downey Jr) yang hebat dalam semua perkara, tapi akhirnya dia berjaya. Mereka semua berjaya,” katanya.

Ditanya mengenai pakaian adiwira yang dipasangkan ke badannya, Chris memberitahu ‘sut’ itu menerima suntikan pembaharuan yang menyerlahkan lagi penampilan Captain America seiring perubahan zaman.

Bagaimanapun, jika ditanya mengenai keselesaan berpakaian begitu, dia berkata lebih rela menjadi adiwira itu daripada menjadi The Hulk ataupun Iron Man.

“Sekurang-kurangnya saya hanya mengenakan pakaian ketat dibandingkan The Hulk atau Iron Man. Sesungguhnya kami lebih tahu azabnya berpakaian begini.

“Sebab itu masing-masing tidak berjenaka dengan ‘sut’ kami sebab ia memang tidak selesa,” katanya.

The Avengers arahan Joss Whedon yang turut dibintangi oleh Mark Ruffalo, Chris Hemsworth dan Jeremy Renner mula ditayangkan di Malaysia pada hari ini.

ia mengisahkan Nick Fury, pengarah organisasi keamanan S.H.I.E.L.D menyatukan empat adiwira Iaitu Iron Man, Hulk, Thor dan Captain America untuk menentang Loki daripada memusnahkan dunia.



No comments:

Post a Comment