Wednesday 25 April 2012

BILIK 7 : LISDAWATI dedah rahsia



KRONOLOGI kontroversi Lisdawati Nazaruddin memang panjang. Bergaduh sesama artis hingga kes itu dibawa ke mahkamah untuk mencari keadilan sewajarnya. Menyusul pula perselisihan faham dengan artis popular hingga terbawa-bawa ke set penggambaran di Pulau Pinang.

Mereka sepatutnya berlakon adegan bergaduh, tapi ia menjadi ‘real’ dan kedua-duanya terhumban ke dalam kolam renang sambil bercakaran.
Kontroversi seterusnya, dalam ruangan gosip melaporkan suaminya menjalin hubungan dengan wanita lain. Kasihan. Itu antara yang perlu dihadapi Lisdawati.

Sesiapapun pasti diburu keresahan kerana Bilik 7 merungkai rahsia peribadi mereka secara eksklusif. Namun, kami tetap meyakinkan bahawa ini adalah landasan terbaik untuknya menceritakan punca dan alasan sehingga tercetus kontroversi. Peminat dan penonton tidak tahu cerita di sebalik kontroversi yang tercetus. Lisdawati akur dan bersedia melaluinya.


Ketika pengarah studio, Alif Kamarudin sibuk mengarahkan jurufoto dan penata cahaya membetulkan kedudukan mereka mengikut konsep Bilik 7, Lisdawati mengeluarkan helaian akhbar yang menyiarkan berita pelancaran syarikat suaminya, sebagai pembekal gas ‘Slim’ yang dimuatkan pada hari itu.


Dia tersenyum bangga Fauzi Nawawi mendapat liputan yang besar. Tempat seorang isteri adalah di belakang suami dan memberikan sokongan padu.

Aktres Harapan Festival Filem Malaysia antara kejayaan yang dikecapi Lisdawati dalam industri ini. Menurutnya, rezekinya ditetapkan Allah dalam bidang ini, namun dia tidak menyangka terlalu banyak dugaan yang mesti ditempuh untuk terus bertahan. Tapi dorongan dan nasihat suami membuatkan dia tabah dan terus mengorak langkah.

“Abang (Fauzi) banyak membantu saya memperbaiki mutu lakonan. Saya belajar untuk melengkapkan diri menjadi pelakon yang baik dan berkualiti. Kini saya lebih selektif dalam memilih watak agar sesuai dengan status saya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Kontroversi pertama meledak sewaktu perselisihan faham antara dia dan Nadia Mustafar. Menurut Lisdawati, terlalu rumit hendak memperjelaskannya kerana suami Nadia adalah kawan paling rapat suaminya. Disebabkan kes ini telah dibawa ke muka pengadilan dan kebenaran berpihak padanya, maka dia tidak mahu mengungkit cerita itu dengan panjang lebar, biarlah peminat menilai sendiri.

Kes itu belum tamat sepenuhnya kerana Nadia masih lagi merayu untuk mengurangkan denda yang perlu dibayar kepada Lisdawati. Secara peribadi, Lisdawati menang dalam menangani kontroversi pusingan pertama ini.

Kontroversi pergaduhan dengan Rita Rudaini juga mencetuskan kehangatan industri. Bergaduh di luar dan dalam drama. Bercakaran dalam kolam renang hingga dia membuat laporan polis. Menurut Lisdawati awal-awal lagi dia sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena dari awal lagi. Atau mungkin ada konspirasi yang sengaja hendak menjatuhkannya.

Lisdawati dan Rita Rudaini pernah berkawan baik. Hubungan erat itu menjadikan mereka sebagai adik dan kakak angkat. Lisdawati mengakui dia sayang pada kakak angkatnya itu, tapi tak menyangka hubungan itu berakhir sedemikian.

Walaupun isu ini sudah lama berlalu, tapi yang pasti ramai ingin tahu penjelasan sebenar daripada mulut Lisdawati sendiri. Yang jelas pertelingkahan itu ada kaitan dengan Fauzi Nawawi. Nak tahu lebih lanjut, tonton Bilik 7, malam ini.

Kemuncak kontroversinya, apabila mengaitkan Fauzi Nawawi ada ‘kekasih gelap’. Kononnya mereka bernikah di sempadan Thailand. Betul ke? Apabila soalan itu ditanyakan, Lisdawati tidak melenting, malah dengan berhati-hati menjawabnya.

“Saya lebih mengenali suami saya. Macam-macam gosip yang saya dengar dan baca melalui laman blog dan twitter. Kami pernah dapat SMS yang cuba memburukkan Fauzi. Antaranya berbunyi, nampak macam baik pijak semut pun tak mati, di belakang awak macam-macam yang dilakukannya.

“Apa yang lucunya ketika itu kami sedang makan malam. Apabila Abang jawab, maka senyaplah tuduhan tak berasas itu. Saya pun tak tahu apa tujuan sebenar mereka yang cuba menggugat rumah tangga kami. Kenyataannya, kami hidup bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata sebagai pelengkap” katanya.

Ibu muda itu beranggapan ada sesetengah pihak yang kurang senang melihat kebahagiaan rumah tangga mereka. Itulah sebabnya mereka tidak terlepas daripada gosip yang silih berganti.

Wajah Lisdawati nampak ceria apabila diajukan soalan mengenai anak hasil perkahwinan terdahulu Fauzi Nawawi?

“Anak Abang belajar di sekolah agama. Apabila cuti semester mereka berkumpul di rumah. Hubungan kami mesra dan saya reda menerima kehadiran mereka seadanya. Saya berusaha untuk menjadi sahabat kepada anak yang sedang meningkat remaja agar setiap masalah boleh dikongsi bersama,” jelasnya.

Namun sebagai artis cantik dan muda, dia tidak terlepas daripada godaan pihak tertentu. Namun untuk menjaga hati dan tidak mahu mengguris perasaan suaminya, Lisdawati tidak memperbesarkan setiap isu yang timbul.

Baginya godaan itu adalah asam garam kehidupan artis yang diminati semua golongan masyarakat. Mungkin ramai yang tahu Fauzi termasuk dalam golongan lelaki yang cemburu kerana bukankah cemburu itu sebahagian daripada elemen kasih dan sayang?

Selama hampir sejam ditemu bual, Lisdawati seolah-olah masih menyembunyikan sesuatu. Mungkin dalam dirinya, dia telah menggariskan sempadan apa yang perlu diterangkan dan selebihnya dipendam sendirian. Lisdawati begitu berhati-hati menjawab soalan kerana dia tidak mahu ada pihak yang tersinggung ataupun terluka.

Banyak lagi soalan dikemukakan pengacara Bilik 7, Richie Rachman sehingga membuatkan Lisdawati sebak. Semuanya akan terjawab malam ini.

Menurut Richie, ini antara perbualan terbaik setakat ini. Apa yang diinginkan penerbit telahpun dijawab dengan jujur.

Sebagai pelakon, Lisdawati bijak menyusun ayat dan intonasi suara penuh berkeyakinan, tapi apabila disentuh mengenai anak dan suami, hatinya mula bergelora dan air mata mula mengalir! Sebuah keinsafan yang lahir daripada keikhlasan hatinya.

Bilik 7 ditayangkan di ntv7 setiap Khamis, jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment