Tuesday 10 April 2012

BUNOHAN hanya kutip RM 720 ribu


Pengarah filem Dain Said berpuas hati dengan kejayaan "Bunohan" yang meraih kutipan sebanyak RM720, 000 kerana merasakan telah mencapai sasaran yang diinginkan.

Dipetik dari laporan mStar, Dain Said mensasarkan kutipan sebanyak RM800,000 untuk filem yang hanya ditayangkan di 40 buah pawagam itu. Ujar Dain Said, ini merupakan kejayaan bagi mereka kerana jumlah salinan "Bunohan" kurang berbanding filem lain yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

"Ini merupakan kejayaan kepada kami kerana hanya mensasarkan jumlah kutipan sebanyak RM800,000 dan kami berjaya meraih kutipan sebanyak RM720,000. Jika ada yang mengatakan jumlahnya agak kecil, ini kerana filem "Bunohan" hanya ditayangkan di 40 buah pawagam jika hendak dibandingkan dengan filem lain yang ditayangkan lebih dari 60 buah pawagam di seluruh Malaysia."

Bagaimanapun, tambah Dain lagi, filem itu sebenarnya masih lagi belum mempunyai angka kutipan secara menyeluruh memandangkan "Bunohan" masih lagi ditayangkan di beberapa negara termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand di bawah edaran Universal Pictures.

Ini belum ditambah dengan kutipan dari penanyangan di Astro First, di mana "Bunohan" pasti berjaya mengutip angka lebih banyak dari yang dinyatakan sekarang.

Dain Said turut berharap agar penonton jangan menilai terus karya "Bunohan" sebelum mengetahui berapa salinan dibuat dan berapa pawagam sahaja yang memainkan filem ini.

"Kita cuba bawa pembaharuan pada penonton di Malaysia dengan genre artistik, genre yang agak baru, dan penerimaannya agak positif, saya terharu dengan perkara ini." Ujar Dain said apabila ditanya mengenai filem Bunohan yang disifatkan filem yang memerlukan kita berfikir untuk memahami sepenuhnya jalan cerita filem ini.
Bagi perkembangan lain, Dain Said akan menerbitkan 1 filem berbahasa Cina dan mengarahkan dua lagi filem berbahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment