Thursday 22 March 2012

TRIO utama kekal dalam ADNAN SEMPIT 3


Apabila "Adnan Sempit" ditayangkan pada 14 Januari 2010, ia telah berjaya mencetus fenomena dalam industri perfileman tanah air dan mendapat kutipan RM7.66 juta. Berikutan kejayaan tersebut, Metrowealth menerbitkan sekuel "Adnan Sempit 2" yang ditayangkan pada 23 Februari 2012 selepas mendapat permintaan daripada peminat.

Masih mengekalkan barisan pelakon yang sama iaitu Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Yana Samsudin, Along Cham dan Angah Raja Lawak, "Adnan Sempit 2" berjaya mendapat kutipan sebanyak RM6.8 juta selepas dua minggu ditayangkan di pawagam.

"Sebelum ini tiada siapa percaya bahawa filem kedua atau sekuel mampu menandingi filem pertama. Namun kini telah terbukti bahawa ia mampu menewaskan filem pertama," ujar Mejar David Teo ketika majlis kesyukuran "Adnan Sempit 2 " yang diadakan di Kelantan Delights, Subang Jaya.

Filem ke-56 yang memakan kos perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta ini kini sedang ditayangkan di Astro First.

Tambah David Teo lagi, kejayaan yang dicapai adalah hasil sokongan daripada penonton sehingga memberi sambutan memberangsangkan. Ia sekaligus memberi keyakinan kepadanya untuk menerbit "Adnan Sempit 3" pula.

Penggambaran "Adnan Sempit 3" dijangka bermula pada 17 April akan datang.
Sementara itu Metrowealth bakal muncul dengan filem "3 Temujanji" pada 5 April akan datang dan "Nongkrong" pada 10 Mei 2012 serta beberapa buah filem lain yang sedang menunggu tarikh tayangan.

No comments:

Post a Comment