Friday 2 March 2012

10 lagu CATCHY yang popular


Dahulunya muzik merupakan satu medium untuk menyampai dan meluahkan sesuatu namun kini kebanyakannya dicipta untuk membuatkan anda tidak perlu menghargai kualitinya tetapi tidak mudah melupakannya. Senang kata, lagu-lagu zaman sekarang kebanyakannya 'catchy' dan tidak mempunyai maksud tersirat - sesuatu yang mudah didengar tanpa perlu berfikir. Kami senaraikan beberapa buah lagu yang 'catchy' dan mudah melekat dalam fikiran anda. Ada banyak pilihan untuk dibuat, namun kami hanya mampu menyenaraikan sepuluh sahaja. Sama ada anda suka atau tidak, anda harus akui sememangnya lagu-lagu ini sukar untuk dibuang dari fikiran.

Pumped Up Kicks (Foster the People)
Lagu ini amat mudah, hanya beberapa not bass dan korus berulang-ulang yang mudah diikuti. Ia juga pasti akan tersekat dalam otak anda dari pagi sampai ke petang dan ini bukan satu keajaiban kerana penciptanya adalah bekas komposer lagu-lagu iklan televisyen dan radio. Oleh itu tugas mencipta lagu-lagu yang mudah melekat di dalam otak itu merupakan satu tanggungjawab kepadanya, bukan sekadar hobi atau minat. Mari nyanyikan! "All the other kids with the pumped up kicks, better run better run, outrun my gun!"

What's Up (4 Non Blondes) 
Pada tahun 1993, anda pasti tidak dapat mengelak daripada terdengar lagu ini dimainkan di corong radio. Ia dinyanyikan di mana-mana majlis dan rakan-rakan anda pasti pernah menyanyi lagu ini sekurang-kurangnya sekali di karaoke. Lagu kumpulan yang dianggotai Linda Perry (komposer kebanyakan lagu Pink dan Christina Aguilera) ini mempunyai intonasi yang berbeza-beza di setiap bahagian lagu dan kerana itu menjadikan lagu ini seronok diikuti ketika sedang memandu atau dalam keadaan tertekan. Disebabkan itu juga ia mudah melekat sekalipun ia tidak mempunyai korus yang mudah dinyanyikan.

Never Gonna Give You Up (Rick Astley) 
Pada awalnya lagu ini dijadikan bahan lawak jenaka, malah mendapat gelaran "Rickroll". Namun anda tidak boleh menafikan bahawa sebaik sahaja lagu ini memasuki otak anda, suara kelelakian Astley yang amat kontra dengan wajah kebudak-budakkannya pasti akan terus terngiang di telinga anda, termasuk dengan cermin mata hitam, rambut merah dan baju leher kura-kuranya.

Oh! (Girls' Generation) 
Anda harus akui, sama ada anda suka, tak ada perasaan atau membenci kumpulan Girls Generation, lagu ini pasti akan terngiang-ngiang di telinga anda. Kebanyakan lagu K-pop sememangnya menggunakan muzik yang 'catchy' untuk menarik perhatian umum, sama ada peminat atau pembenci. Buat mereka yang tidak pernah mendengarnya, lagu ini bakal melekat di dalam kepala anda dengan semua imejan dan kenyataan ini - para gadis yang berseluar pendek dengan pom-pom di tangan, muzik yang seakan gabungan pop dangdut dan muzik pop Thailand dan juga gabungan aneh perkataan "Oh", "Oppa" dan "I'll be down down down".

Love You Like a Love Song (Selena Gomez) 
"Love You Like a Love Song" merupakan muzik pop mid-tempo yang menggunakan genre elektro-pop, synth-pop dan dance-pop sementara menggunakan ritma eurodisco. Ya, sangat banyak perkataan 'pop' dalam penciptaan lagu ini dan itu pun sudah cukup untuk menjelaskan betapa ia begitu mudah untuk menghantui anda. Ditambah dengan bahagian "repeat-peat-peat-peat" itu, lagu ini pasti akan terngiang-ngiang dalam otak anda sehingga anda rasa mahu menghantukkan kepala ke dinding.

Chow Kit (Sudirman) 
Sudirman sememangnya mempunyai koleksi lagu-lagu yang begitu dekat di hati tetapi amat mudah untuk dinyanyikan dan diingati. "Chow Kit Road" merupakan satu daripadanya. Ia dimulakan dengan muzik yang akan membuatkan anda terangguk-angguk dan lirik pertama yang anda akan dengar ialah perkataan "Chow Kit Road" yang diulang empat kali. Ia merupakan lagu yang menyeronokkan tentang suatu lokasi di Kuala Lumpur yang pernah menjadi lambang komuniti bandaraya itu suatu masa lalu.


Chahe Koi Mujhe (OST "Junglee")
Lagu ini merupakan runut bunyi dari filem Hindi tahun 1961, "Junglee". Selain daripada tarian Shammi Kapoor yang sungguh bersemangat, jeritan "Yahoo!" di awal lagu itu pasti akan terus meresap di dalam minda anda bagaikan satu suntikan psikiatri.
Oh, kalau anda rasa anda pernah dengar muzik ni, mungkin sebab ND Lala telah menggunakannya dalam lagu "Mat Tahir Mata Air" dua dekad kemudian dan mungkin kerana ia juga sering disebut dan menjadi filem kegemaran watak Pak Maun dalam filem "Nasib Do Re Mi".

Uptown Girl (Billy Joel) 
Lagu "Uptown Girl" sememangnya lagu yang boleh melekat dalam otak anda selepas mendengar kerana liriknya yang mudah dan gaya muzik 60-an yang 'catchy'. Tidak kisahlah kalau anda mendengar versi asalnya ataupun nyanyian semula oleh kumpulan Westlife, yang penting anda tetap akan menyanyikan lagu ini di bilik mandi tanpa anda sedari. Mengakulah, ia memang seronok dinyanyikan dalam ruang bilik mandi yang bergema.

Tubthumping (Chumbawamba) 
Lagu ini merupakan satu-satunya lagu kumpulan rock alternatif British, Chumbawamba yang paling hit sehingga mereka digelar "One Hit Wonder". Namun ia juga menjadi lagu yang paling lama berada di carta nombor satu ketika ia keluar pada tahun 1997. Sekalipun memiliki mesej dalam liriknya, lagunya yang rancak dan mudah diikuti menjadikan lirik lagu ini tidak dipedulikan.

ABBA
Kenapa kami tidak menyatakan lagu spesifik untuk kumpulan ini? Ini kerana hampir semua lagu ABBA mudah melekat di dalam otak anda dan sukar untuk dikeluarkan. Mereka pakar dalam menghasilkan muzik yang 'catchy' dan lirik mudah diikuti. Sekalipun mula dikenali selepas menyanyikan lagu milik Boney M, kumpulan dari Sweden ini menjadi artis terlaris kerana karya seperti "Mamma Mia!", "Dancing Queen", "Chiquitita" dan "Super Trooper" yang menggunakan pop, rock, eurodisco, europop dan synth-pop. Ya, para peminat Selena Gomez sekalian, ABBA adalah pakar sebenar genre muzik tersebut.

No comments:

Post a Comment