Thursday 1 March 2012

Antara 10 filem PONTIANAK terbaik

Adakah anda rindukan era di mana pontianak (vampire) ? Pontianak (vampire) merupakan satu kisah seram yang menakutkan zaman kanak-kanak anda dan bukan lelaki kacak berkilau yang mengahwini seorang gadis berpuluh tahun lebih muda daripada dirinya sendiri (kami bukan bercakap tentang Hugh Heffner)? Ya, anda tidak bersendirian. Memandangkan "The Tale of the Body Thief" karya penulis "Vampire Chronicles" Anne Rice akan difilemkan tidak lama lagi, kami senaraikan sepuluh filem pontianak yang patut anda tonton. Jangan risau, tiada seorang pun antara karakter pontianak ini yang berkahwin dan melahirkan anak.

John Carpenter's Vampires (1998) 
"Vampires" arahan pengarah filem seram ngeri tersohor John Carpenter ini merupakan antara filem pontianak terbaik. Tidak seperti filem pontianak yang lain yang sebenarnya hanyalah filem aksi yang menggunakan tema pemburuan pontianak, ia cuba mendekati subjek tersebut dengan lebih tepat. Menonton filem "Vampire" tidak ubah seperti menonton filem seperti "Blade" tetapi masih mempunyai aura seram seperti "30 Days of Night". Apa yang lebih mengujakan adalah watak James Woods sebagai seorang pemimpin pemburu pontianak yang diupah Vatican bernama Jack Crow yang ingin menghapuskan makhluk tersebut selepas ibu bapanya dibunuh oleh sekumpulan pontianak (tidak ubah seperti Batman kan?). Mereka harus menghapuskan setiap seekor sebelum pontianak tersebut menemui salib yang memberi mereka kuasa untuk keluar pada waktu siang juga.

Interview With A Vampire (1994)
Diadaptasikan daripada novel Anne Rice, filem ini dianggap sebagai sebuah filem pontianak yang mewah dan tampak berseni. Ia seperti satu karya sastera dan bukan filem pontianak biasa. "Interview With A Vampire" juga menarik perhatian ramai kerana menggandingkan dua nama besar, Tom Cruise dan Brad Pitt. Filem ini berkisar tentang seorang lelaki kaya bernama Louis yang diubah menjadi pontianak oleh seekor lagi pontianak bernama Lestat. Namun akhirnya Louis sedar yang dia tidak suka menjadi pontianak dan enggan meragut nyawa manusia. Seorang wartawan muda mendekati mereka dan meminta kebenaran untuk menemuramah Louis - dan seperti isi novelnya, kandungan filem ini lebih banyak membincangkan falsafah diri Louis sebagai pontianak yang tidak mahu meragut nyawa manusia. Jadi sekiranya anda mengharapkan Brad Pitt untuk terbang dan berubah menjadi kelawar, lupakan saja.

Bram Stoker's Dracula (1992)
Filem ini merupakan filem pontianak yang paling mahal di Hollywood dan memperkenalkan kembali watak Drakula kepada dunia moden. Filem arahan Francis Ford Coppola telah memenangi banyak anugerah terutamanya dalam bidang teknikal. Versi filem ini lebih menyerupai karya asal Bram Stoker dan menceritakan kisah peguam muda bernama Jonathan Harker yang ditugaskan ke sebuah kampung yang suram di Eropah Timur. Dalam masa yang sama, Dracula pula telah ke London kerana tertarik dengan Mina Murray yang merupakan tunang kepada Harker. Filem ini dibarisi ramai pelakon terkenal seperti Keanu Reeves, Winona Ryder, Anthony Hopkins dan juga Gary Oldman sebagai Dracula. Ya, itu memang Gary Oldman, bukan Johnny Depp.

Martin (1977) 
Filem arahan George A. Romero ini juga menjadi filem yang paling pengarah ini gemari. "Martin" mengisahkan seorang pemuda yang percaya bahawa dia adalah seekor pontianak sekalipun tanpa kuasa dan kekuatan mahupun taring pontianak. Kerana kepercayaannya itu, Martin telah membunuh dan cuba menghirup darah orang di sekelilingnya. Ia merupakan sebuah filem satira yang mengangkat isu stagflasi pada era 70-an dan dalam masa yang sama ia juga satu olahan baru dalam genre pontianak. Filem ini juga kembali relevan dengan trend masa kini yang terlalu gilakan apa saja yang berkaitan makhluk legenda seperti pontianak dan serigala jadian. Anda mempunyai rakan yang mahu bersuamikan Edward Cullen? Perkenalkan dia kepada Martin!

Blade (1998) 
"Blade" merupakan sebuah filem pontianak yang bukan diadaptasi dari buku klasik atau sastera moden, tetapi daripada komik keluaran Marvel. Filem ini mengaut keuntungan yang besar dan menghasilkan dua buah sekuel tentang pontianak kacukan manusia bernama Blade yang melindungi umat manusia dari serangan pontianak. Sebelum wujudnya "Underworld" dan "Van Helsing", Blade lakonan Wesley Snipes adalah karakter pemburu pontianak yang paling bergaya, dengan pedang peraknya, jaket kulit dan gajet pemburuan pontianaknya. Dialah James Bond dunia pontianak.

Cronos (1993) 
Filem ini merupakan filem yang menaikkan nama pengarah Mexico, Guillermo Del Toro di mata Hollywood dan dunia dan memperkenalkan gaya arahan uniknya. Del Toro membawa penonton ke suatu sudut baru filem pontianak dan membuatkan anda kasihan pada makhluk tersebut. "Cronos" berkisar tentang satu mekanisme kecil yang membolehkan pemiliknya untuk hidup selamanya. Jesus Gris merupakan lelaki tua yang biasa dan tidak tahu bahawa mekanisme yang dijumpainya dalam sebuah patung malaikat telah memberikannya anugerah keremajaan dan juga membawa malang ke dalam hidupnya apabila kehidupannya berubah seperti seekor pontianak. Del Toro menggelarkan filem ini sebagai filem 'seram Katolik'. Ini juga filem pertama yang menggandingkan Del Toro dan pelakon Ron Perlman, yang kemudiannya melakonkan watak "Hellboy" arahan pengarah ini.

30 Days Of Night (2007) 
Filem arahan David Slade ini dikatakan antara filem pontianak yang paling menakutkan berdasarkan fenomena 'polar night', di mana matahari tidak akan muncul selama 30 hari pada musim sejuk. Gaya arahan David Slade, daripada rupa pontianak yang berdarah (dan mempunyai aura seram seperti zombie), cara mereka memburu mangsa dan aura ngeri yang tercipta hasil gabungan warna merah darah dan putih salji menjadikan filem ini antara yang terbaik dari sudut teknikal dan pengarahan.


Dracula: Dead And Loving It (1995) 
Filem ini merupakan sebuah lagi filem spoof karya Mel Brooks yang diangkat dari novel Bram Stoker. Brooks dalam temuramahnya mengatakan filem ini dihasilkan sebagai cara dia mempermainkan genre pontianak. Brooks turut memainkan watak Profesor Van Helsing dalam filem ini sementara pelakon komedi terkenal, Leslie Nielsen melakonkan watak Dracula. Antara babak lucu dalam filem ini ialah apabila Dracula bermimpi yang dia terbakar apabila keluar pada waktu siang dan menggelarnya sebagai 'daymare'. Sekalipun ini bukanlah filem yang menakutkan, namun bagi peminat filem spoof dan mereka yang mahu ketawa ketika menonton filem tentang pontianak, inilah pilihan terbaik mereka... selain daripada "The New Moon".

The Lost Boys (1987) 
"Sleep all day. Party all night. Never grow old. Never die. It's fun to be a vampire." Itulah dialog dalam dilem ini dan sememangnya genre filem pontianak remaja yang satu ini merupakan sebuah filem yang menyeronokkan. Ia juga dibarisi pelakon-pelakon muda popular 80-an seperti Kiefer Sutherland, Jason Patric dan juga dua Corey terkenal - Corey Haim dan Corey Feldman. Filem ini berkisar tentang dua beradik yang berpindah ke California dan menyedari bandar baru mereka dipenuhi pontianak. Tajuk filem ini diangkat dari gelaran sekumpulan budak lelaki yang menjadi pengikut Peter Pan karya J.M. Barrie. Filem ini juga telah mempopularkan istilah 'vamp out'.

Nosferatu: Eine Symphonie Des Gravens (1922) 
Tidak cukup senarai ini tanpa bapa segala filem pontianak. Filem hitam putih ini merupakan filem seram Expressionist Jerman yang dibintangi pelakon Jerman Max Schrek sebagai Count Orlock. Filem ini masih popular di saat ini kerana dua sebab – ada yang menganggap watak Schrek amat menakutkan dan ada pula yang merasakan Count Orlock amat lucu. "Nosferatu" merupakan filem pontianak terawal yang pernah difilemkan dan juga dilanda kontroversi apabila balu Bram Stoker menyaman pengarahnya atas alasan memplagiat karya suaminya, "Dracula". Sekalipun mahkamah bersetuju dengan Puan Stoker dan filem ini dimusnahkan, masih ada salinannya yang terus wujud dan diedarkan di serata dunia. Sekiranya anda tidak pernah menonton filem ini tetapi merasakan anda pernah melihat imejan Count Orlock, mungkin itu disebabkan anda telah menonton kartun "Spongebob Squarepants" yang telah menggunakan imej Orlock di dalam satu daripada episodnya.

No comments:

Post a Comment