Sunday 4 March 2012

PEKIN di fitnah ?

Pelakon muda Pekin Ibrahim terus dilanda kemelut fitnah berpanjangan. Kali ini dia didakwa telah melakukan taktir kotor untuk mendapatkan watak di dalam dua buah filem yang telah menyingkirkan seorang pelakon lama. Kemelut fitnah yang telah mula meniti dari mulut ke mulut itu, sedikit sebanyak telah memberikan gambaran yang tidak baik terhadapnya.

Pertemuan dengan Pekin Ibrahim pada majlis  pratonton filem ‘BUNOHAN’ baru-baru ini sedikit sebanyak mungkin akan dapat merungkai kemelut yang melanda pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini. Aksi santai dan bersahajanya ketika berbual membuktikan bahawa pelakon muda ini mempunyai semangat dan kekuatan diri yang besar dalam mengharungi dunia kesenian tanahair.

“Saya tidak tahu apa masalahnya. Tapi, saya berani katakan bahawa semua tohmahan dan fitnah itu adalah tidak benar sama sekali.” sambutnya sebaik ditanya mengenai dakwaan itu.

“Saya dipanggil untuk memegang watak Bakar di dalam filem ‘Bunohan’ arahan Dain Said. Dan saya tidak tahu pada awalnya bahawa ada pelakon lain yang disenaraikan untuk memegang watak itu dan telah disingkirkan. Kemudian saya dimaklumkan bahawa punca pelakon itu digugurkan adalah kerana kegagalannya untuk menguasai loghat Kelantan. Dan oleh kerana masa agak suntuk, maka saya yang memang berasal dari Kelantan telah disenaraikan dan diterima untuk memegang watak itu selepas diuji kesesuaian watak oleh Dain Said sendiri. Jadi saya rasa tidak harus timbul soal merampas atau menutup periuk nasi orang lain” sambungnya lagi.

Ketika disoal mengenai penglibatannya dengan filem ‘ROCK 2’ yang turut mengakibatkan pengguguran pelakon yang sama, Pekin menjawab “Itu kalau boleh dikatakan adalah satu kebetulan saja. Saya tahu watak itu sebelum ini dibawa oleh pelakon yang dikaitkan dengan fitnah ke atas saya, tapi saya ada jawapan untuk persoalan itu. Cuma buat masa ini jawapan itu biar saya simpan dulu, kerana ia akan membabitkan orang lain pula.” jawabnya dengan sedikit senyuman.

Dari perbualan itu, ternyata Pekin Ibrahim tidak keseorangan dalam menghadapi kemelut yang menimpanya. Katanya, dia percaya rakan-rakan karib yang menyokong beliau selama ini akan terus berada di belakangnya dan terus memberi semangat untuk dia berdiri kuat menghadapi semua fitnah yang diperkatakan.

Sambil tumpuan kini diberikan kepada promosi filem Bunohan besar-besaran, Pekin tidak mahu membincangkan perkara remeh seperti ini dan meminta maaf sekiranya terdapat beliau melukakan mana-mana pihak.

Apabila ditanya sekali lagi mengenai kemelut yang sama, Pekin menjawab "saya tidak tahu siapa punca yang menggemburkan cerita ini, terima kasih."

“Kami sudah seperti saudara sedarah. Bila ada yang terluka pasti semua akan turut merasa pedihnya.” ujarnya denegna penuh yakin.

Pekin Ibrahim yang juga merupakan vokalis kumpulan ‘SEVENWORD’, kini sedang menanti dengan penuh debar sambutan penonton terhadap filem ‘BUNOHAN’ lakonannya yang bakal di tayangkan di pawagam seluruh tanahair bermula 8 Mac 2012 nanti.

“Daripada saya sibuk memikirkan hal fitnah yang berlaku, lebih baik saya bersangka baik saja dan memberikan sepenuh penumpuan kepada filem lakonan saya yang bakal di tayangkan tidak lama lagi. Selebihnya saya serahkan kepada Allah dalam menentukannya. Dan Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima sangat baik dan positif. Saya harap penonton akan datang beramai-ramai menonton filem ini di pawagam nanti.”

Filem ‘BUNOHAN’ lakonan Pekin Ibrahim ini juga turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat yang lain seperti Faizal Hussien, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Nam Ron, Amerul Affendi, Soffi Jikan, Husairi Husain dan ramai lagi.

Mengakhiri perbualan pada pertemuan itu, Pekin Ibrahim sempat tersenyum dan bertegas kata dengan nada berseloroh mengenai kemelut yang melandanya.

“Industri kita ni kecil saja. Jadi tak perlulah nak salahkan atau hina saya dengan fitnah macam tu. Ingat pesan Rasul, seseorang yang menuduh dan menghina orang lain tidak akan mati sebelum dia melakukan perbuatan yang dituduhnya itu. Jadi kita renung-renungkanlah dan selalu berwaspadalah dengan perbuatan kita.” ujarnya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment