Tuesday 27 March 2012

Pertelingkahan antara ZED ZAIDI & HARUN SALIM BACHIK


TINDAKAN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menjadi orang tengah menyelesaikan isu gambar bogel membabitkan pelakon baru, Melia Aimelia di laman sesawang dianggap keputusan tepat merujuk peranan persatuan itu sendiri membantu menjernihkan keadaan.

Episod kontroversi pelakon utama filem Karipap Karipap Cinta arahan Othman Hafsham ini tamat apabila Seniman menemukan pelakon berusia 18 tahun ini dengan wakil penulis blog berkenaan yang memohon maaf secara terbuka pada sidang media yang diadakan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tutup cerita Melia yang masih jadi bualan hangat ramai, timbul pula isu baru membabitkan sikap pemimpin Seniman sendiri.

Pada sidang media sama, Timbalan Presiden merangkap Ketua Biro Seniman Muda, Zed Zaidi menempelak media yang didakwanya salah melaporkan berita.

Ia merujuk dua daripada empat isu dibangkitkan dalam sidang media itu adalah berpunca media.


Pertama, usul memberi kuota khas kepada artis bernaung di bawah Seniman dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Mac lalu bukan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tetapi skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima).

Isu kedua mengenai cermin gelap dikatakan Zed bukan usul rasmi yang ingin diperkatakan, tetapi sekadar menjawab soalan wartawan secara lisan pada masa ditemu bual.

Zed dengan lantang juga menjelaskan bukan cermin gelap yang diusulkan, tetapi cadangan menubuhkan skuad Rela untuk artis dalam Seniman.

Sama ada dakwaan Zed menyalahkan media benar atau tidak, ia terus menjadi persoalan dalam kalangan ramai media cetak dan elektronik yang hadir pada sidang media petang itu.

Namun, persoalan lain bermain di fikiran mengapa Presiden Seniman, Harun Salim Bachik sendiri tidak turun padang menyelesaikan segala masalah dan isu yang mahu dibangkitkan Seniman.

Harun ketika dihubungi semalam menyatakan maklumat mengenai isu dibawa dalam sidang media itu tidak begitu jelas diketahuinya.

Malah, dia mewakili ahli senior mengalukan apa saja tindakan dilakukan Biro Seniman Muda asalkan memadai kepentingan ahli dalam biro itu.

“Memang tiada perbincangan menyeluruh mengenai isu yang dibangkitkan, sekadar saya mengetahuinya ketika mahu diadakan sidang media.

“Saya sendiri pada masa itu sibuk dengan kerja, tetapi memandang ini adalah usaha baik dilakukan Biro Seniman Muda.

“Sepatutnya Zed maklumkan pada saya mengenai isu ini dengan mendalam dan jika ada wartawan bertanya pada saya selepas sidang media, saya boleh menjawab dengan jelas.

“Apa yang berlaku agak mengecewakan saya dan ia juga menjadi beban pada saya untuk menanganinya.

“Sebolehnya, saya tidak mahu tindakan Zed memberi kenyataan menampakkan seolah dia ‘overshadow’ atau lebih menonjol daripada saya,” katanya.

Sebagai Presiden, Harun mengakui ahli Seniman sendiri tertanya sama ada dia masih bertanggungjawab memimpin persatuan tertua itu.

Katanya, ada ahli menanyakan mengapa hanya Biro Muda aktif mengadakan aktiviti sebaliknya tiada aktiviti untuk ahli senior.

“Saya juga sukar menjelaskan perkara ini.

“Buat masa ini, belum ada aktiviti untuk ahli senior, cuma saya menunggu apa-apa aktiviti Biro Muda untuk digabungkan bersama ahli senior.

“Sejak awal Seniman ditubuhkan dulu, aktiviti untuk ahli muda tidak banyak, tetapi apabila situasi berbeza pula berlaku, ahli senior berasa terpinggir,” katanya.

Bekas Presiden, Datuk Mustapha Maarof pula menyaran jawatankuasa Seniman perlu kuat bekerja dalam mengadakan aktiviti bersama ahli.

Sebagai ahli paling lama dan pernah memikul tanggungjawab pemimpin persatuan ini selama enam tahun, beliau sentiasa terbuka dan bersedia untuk berkongsi pandangan bersama jawatan kuasa Seniman kini.

“Sepatutnya acara seperti jelajah terus diadakan agar nama Seniman terus semarak. Pengertian Seniman amat besar pada ahli dan sepanjang saya menjadi presiden dan ahli, persatuan ini dihormati ramai.

“Ketika itu Seniman pernah mendapat slot RTM, 308 jam, tetapi saya tidak ambil untuk kepentingan peribadi.

“Sebaliknya memberikan pada syarikat lain manakala Seniman hanya mengambil sedikit keuntungan dan ia dimasukkan bulat-bulat ke dalam Tabung Seniman bertujuan membantu ahli.

“Jika aktiviti tidak bergerak, jangan salahkan persatuan, tetapi jawatankuasa itu sendiri. Jika sebelum ini, kerajaan memberikan dana bantuan RM30,000 kepada mana-mana persatuan menjalankan aktiviti, tetapi saya agak sedikit kecewa dengan situasi ini apabila ia tiada.

“Begitu juga, saya berharap jawatankuasa sedia ada terus bekerja keras demi membantu ahli dan ahli sendiri boleh membuat keputusan pemilihan AJK baru pada mesyuarat agung tahunan nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment