Tuesday 6 March 2012

Pereka konsep STAR WARS meninggal dunia


Berita sedih menyelubungi industri filem Hollywood apabila insan yang mempunyai pengaruh besar dalam industri ini untuk beberapa dekad, Ralph McQuarrie telah meninggal dunia pada 3 Mac lalu.
Menurut laporan E! Online, pereka konsep karakter "Star Wars", Darth Vader, R2-D2, C-3PO dan Chewbacca ini telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Berkeley, California pada usia 82 tahun. Punca kematian sehingga kini masih belum diketahui.

Laman sesawang rasmi McQuarrie turut memberi penghormatan terakhir serta mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
Sementara itu pengarah "Star Wars", George Lucas turut memberi kenyataannya selepas mengetahui berita kematian rakan seperjuangannya itu.
"Ralph McQuarrie merupakan orang pertama yang membantu saya untuk menggambarkan dan menghasilkan "Star Wars". Sumbangannya dalam bentuk lakaran watak telah banyak memberi inspirasi kepada para pelakon dan kesemua krew produksi trilogi filem asal. Apabila idea saya tidak dapat diungkapkan dengan perkataan, saya selalu menunjukkan salah satu ilustrasi Ralph yang hebat dan berkata, 'buat seperti ini'," kata Lucas dalam kenyataannya itu.

Dilahirkan pada 13 Jun 1929, McQuarrie pernah memenangi Anugerah Academy dalam kategori kesan khas untuk karyanya dalam filem "Coccon". Selain daripada "Star Wars", McQuarrie turut terlibat dengan penghasilan rancangan televisyen asal "Battlestar Galactica" dan filem "E.T The Extra-Terrestrial" serta "Close Encounters Of The Third Kind".

No comments:

Post a Comment