Thursday 1 December 2011

EKSKLUSIF - INTERVIEW BERSAMA PELAKON OMBAK RINDU

OMBAK RINDU yang baru di tayangkan pada 1 Disember,filem yang penuh kisah sedih  yang menyentuh hati ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh para penonton filem tanah air.

Mari kita ikuti temubual para pelakon berkaitan dengan filem ini






Boleh ceritakan watak anda dalam filem "Ombak Rindu"?

Maya Karin (MK): Saya memegang watak sebagai Izzah, seorang gadis kampung yang terpaksa menjalani kehidupan berliku dan diselubungi derita.

Aaron Aziz (AA): Dalam filem ini, saya memegang watak Hariz, seorang usahawan muda yang berjaya, anak kepada Datuk Sufiah dan juga tunang kepada aktres popular Mila Amylia. Dia seorang yang ego dan panas baran, tetapi pada masa yang sama mudah lembut hati.

Lisa Surihani (LS): Saya pula memegang watak Mila Amylia, seorang pelakon dan model terkenal. Walaupun pada luarannya dia dilihat seperti watak antagonis, tetapi hakikatnya tidak. Dia seorang wanita yang sangat mendambakan cinta Hariz.

Seperti sedia maklum, "Ombak Rindu" diadaptasi daripada novel tulisan Fauziah Ashari. Sudahkah anda membaca novel tersebut dan bagaimanakah anda menghayati watak anda?

MAYA: Saya sudah membaca dan saya amat menyukainya! Bagi membawa watak sebagai gadis kampung dengan lebih baik, saya telah mengikuti latihan lakonan bersama Ellie Suriati. Dia telah beri saya mendengar lagu tradisional Terengganu supaya mampu menjiwai watak itu.

LISA: Saya pun sudah membaca novel ini. Saya telah mendapatkan pandangan daripada pengarah untuk menyerlahkan lagi lakonan saya kerana watak Mila agak berbeza daripada sebelum ini. Saya perlu memahami siapa sebenarnya Mila. Barulah saya boleh menyerapkan watak tersebut dalam diri saya.

AARON: Sayalah satu-satunya pelakon tidak membaca novel ini kerana tidak mahu terikut-ikut dan keliru dengan jalan cerita penulisnya. Saya lebih gemar membaca skrip. Saya tiada masalah untuk membawa watak Hariz kerana sudah biasa dengan watak sedemikian yang pernah dilakonkan dalam drama-drama saya sebelum ini. Saya hanya mengikuti latihan lakonan bersama Ellie Suriati.

Dalam filem ini, Aaron dilihat begitu mudah mengalirkan air mata. Adakah secara realitinya Aaron memang begitu?

AARON: Tidak. Sejujurnya ini adalah filem pertama yang membuatkan saya menangis kerana ia begitu menyentuh hati saya. Bukan sekali tetapi beberapa kali saya menangis ketika menjayakan babak sedih. Pada pendapat saya, mungkin saya terlalu taksub dengan watak ini sehingga menyebabkan saya mudah mengalirkan air mata.
Kemesraan dan keintiman antara Izzah dan Hariz sangat realistik terutama sekali dalam babak ranjang. Apa yang anda lakukan untuk mendapatkan keserasian?

MAYA: Aaron seorang yang profesional dan menghormati saya. Keserasian itu datang secara semula jadi. Memang saya gementar sebelum melakonkan babak intim itu. Saya belum pernah melakonkan babak sedemikian. Namun saya bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar.

AARON: Bagi saya, adegan tersebut perlu bagi memastikan perjalanan cerita tidak jauh beza daripada novel. Kami semua pelakon profesional dan tiada masalah ketika menjayakan babak tersebut. Pengarah juga bijak bermain dengan teknik kamera sehingga menjadikannya nampak lebih realistik.
Bagaimanakah reaksi Aaron ketika melihat babal intim bersama Maya?

AARON: Dia sebenarnya tiada masalah kerana sudah membaca skrip tersebut terlebih dahulu. Malah ketika babak intim saya dan Maya berlangsung, isteri saya turut berada di set penggambaran.
Lisa tidak bimbang sekiranya orang membenci selepas melihat lakonan anda membawakan watak Mila Amylia?

LISA: Tidak takut kerana jika mereka membenci, bermakna saya telah berjaya menghidupkan watak tersebut. Saya pasti ada penonton yang akan membenci tetapi pada masa yang sama, mereka akan berasa kasihan dengannya.

Apakah harapan anda untuk filem "Ombak Rindu"?

MAYA : Saya berharap filem ini akan berjaya dan mendapat sambutan daripada peminat novel ini.

AARON: Sama seperti Maya, saya berharap filem ini akan berjaya dan berharap peminat akan menyukainya. Jangan lupa pergi menonton bermula 1 Disember ini!

LISA: "Ombak Rindu" adalah sebuah filem yang bagus dan saya berharap filem ini akan mendapat sambutan hebat daripada penonton

1 comment: