Monday 19 December 2011

JUARA LAGU : Kontroversi 7 Pemenang Juara Lagu

Kemuncak Anugerah Juara Lagu ke 26 (AJL) yang akan berlangsung pada 29 januari 2012 nanti.Senarai finalis AJL 26 di kita semua sudah ketahui yang menampilkan Yuna,Aizat,Projek Pistol,Monoloque,Atilia,Faizal Tahir,Aliyah,Shiela Hamzah,Ana Raffali,Altimet,Sohaimi Mior Hassan,Pendatang baru iaitu Najwa Latif & Jac yang membawa lagu Anuar Zain.

Terdapat banyak kontroversi yang berlaku dalam AJL sejak awal kewujudan nya pada awal 1986 lagi.berikut mari kita imbas kembali antara kontroversi-kontroversi kemenangan di AJL :


Tahun: 1986
Lagu: Sekadar di Pinggiran
Penyanyi: Francissca Peter
Komposer: Manan Ngah
Penulis lirik: Lukhman S

Ketika Francissca Peter atau mesra dipanggil Fran tampil menyanyikan lagu ini, penyanyi bersuara lunak ini hanya berbaju kurung dan penampilannya dikritik kerana tampak 'kekampungan'. Namun semua kritikan terus lenyap apabila lagu nyanyiannya ini dinobatkan sebagai pemenang utama ketika itu.
Album "Sekadar di Pinggiran" juga turut diundi sebagai "Album Terbaik" tahun itu dan Fran memenangi anugerah "Penyanyi Wanita Terbaik". Ia juga memenangi anugerah antarabangsa sebagai "Lagu Terbaik" di Festival Lagu ASEAN pada tahun 1987.


Tahun: 1989
Lagu: Isabella
Penyanyi: Search
Komposer: Search
Penulis Lirik: Bob Lokman

Menariknya tentang lagu "Isabella" ialah bukan sahaja ia menaikkan lagi populariti kumpulan Search pada waktu itu, malah ia turut diadaptasi menjadi filem usaha sama Malaysia – Indonesia dan dibintangi oleh Amy dan ahli kumpulan Search yang lain di samping pelakon jelita Indonesia Nia Dzulkarnain dan pelakon Pan-Asian Julia Rais. Sebuah lagi filem yang diangkat melalui lagu ini ialah filem "Fenomena" yang dibintangi M.Nasir dan Ramona Rahman. Lucunya pada awalnya filem ini mahu menggunakan tajuk "Isabella" juga tetapi terpaksa mengubahnya kepada "Fenomena" (tajuk album Search di mana lagu "Isabella" dimuatkan) kerana ia telah digunakan terlebih dahulu oleh filem usaha sama Malaysia – Indonesia tersebut.
"Isabella" juga merupakan lagu balada rock pertama yang memenangi anugerah ini.


Tahun: 1994
Lagu: Tanya Sama Itu Hud-Hud
Penyanyi: M.Nasir
Komposer: M.Nasir
Penulis Lirik: M.Nasir

Tahun 1994 ialah tahun di mana M.Nasir menang besar apabila lagu "Tanya Sama Itu Hud-Hud" memenangi Juara Lagu, Lagu Pop Etnik Terbaik dan juga Persembahan Terbaik. Pada masa yang sama M.Nasir juga memenangi Lagu Balada Terbaik untuk "Bonda" melalui persembahannya diiringi oleh kumpulan Freshies. Memandangkan M.Nasir juga merupakan penulis lirik dan komposer lagu-lagu tersebut, maka ia adalah kemenangan paling besar dalam sejarah Anugerah Juara Lagu. Ia juga kali pertama dan kali terakhir pertandingan ini diadili oleh para juri antarabangsa. Nampaknya bukan semua orang suka M.Nasir makan seorang!


Tahun: 1996
Lagu: Jerat Percintaan
Penyanyi: Siti Nurhaliza
Komposer: Adnan Abu Hassan
Penulis Lirik: Othman Zainuddin, Hani MJ

Lagu "Jerat Percintaan" merupakan lagu berhantu dan lagu tuah buat Dato' Siti Nurhaliza ketika ia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu pada tahun 1996. Sebelum kemunculannya dalam pertandingan ini, Siti Nurhaliza hanyalah penyanyi biasa yang muncul dari pertandingan nyanyian Bintang HMI 1995. Hanya selepas membuktikan kehandalan vokalnya melalui lagu "Jerat Percintaan", dia diberi gelaran Celine Dion Malaysia dan sekaligus menaikkan terus namanya secara keseluruhan. Komposer dan penulis liriknya juga turut menerima tempias populariti dan selamanya dikenali sebagai mereka yang berjaya menaikkan nama Siti Nurhaliza.

Tahun: 2005
Lagu: Gemilang
Penyanyi: Jaclyn Victor
Komposer: Aubrey Suwito
Penulis Lirik: Asmin Mudin

Ketika lagu Jaclyn Victor memenangi Anugerah Juara Lagu pada tahun 2005, ramai yang mempersoalkan kredibiliti anugerah kerana dikatakan Jaclyn menang kerana statusnya sebagai pemenang siri realiti terbitan Media Prima. Namun begitu, lagu tersebut juga telah memenangi Lagu Terbaik dan Persembahan Terbaik dalam dalam "RTM Hits 1". Melalui "Gemilang" juga, Jaclyn muncul juara dalam Festival Muzik Asia di Shanghai namun tewas pada Hazami dalam Anugerah Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu. Jaclyn Victor juga penyanyi bukan Melayu kedua yang memenangi anugerah ini selepas kejayaan Fran sembilan tahun sebelumnya.

Tahun: 2007
Lagu: Itu Kamu
Penyanyi: Estranged
Komposer: Estranged
Penulis Lirik: Rich Estranged

Estranged merupakan kumpulan rock alternatif pertama yang memenangi anugerah ini dan memberikan harapan besar kepada kumpulan indie lain untuk muncul di media arus perdana. Lirik hasil vokalis kumpulan dan bintang Akademi Fantasia 4 ini menjadi pilihan untuk memenangi anugerah utama kerana jenis muziknya yang dikira baru dan segar ketika itu. Estranged terus bertanding dalam tahun yang berikutnya namun tidak berjaya mengulang kejayaan "Itu Kamu".


Tahun: 2010
Lagu: Tolong Ingatkan Aku
Penyanyi: Ana Raffali
Komposer: Ana Raffali
Penulis Lirik: Ana Raffali

Lagu nyanyian gadis yang sentiasa berbaju kurung dengan gitar di sisi ini dilanda kontroversi paling hebat apabila kemenangannya dipersoalkan ramai. Sekalipun dengan lirik dan lagu yang indah, nyanyian Ana yang tidak begitu baik dan persembahan yang agak bercelaru, ditambah lagi dengan kewujudan calon pilihan - Yuna dengan lagunya "Sempurna", membuatkan ramai yang mempertikaikan kemenangan tersebut. M.Nasir sebagai ketua juri juga turut terkena tempiasnya. Disebabkan tidak puas hati dengan kemenangan lagu Ana Raffali tersebut, sebahagian peminat seni telah mewujudkan laman "Kami Tidak bersetuju Dengan Kemenangan Ana Raffali". Penyokong Ana Raffali bagaimanapun tidak berdiam diri, mereka wujudkan pula laman "Kami Menentang Page Kami Tidak Bersetuju Dengan Kemenangan Ana Raffali". Tidak lama kemudian wujud pula laman – "Kami Bersetuju Ana Raffali Menang AJL 25". Ana Raffali tentu tidak mahu sesiapa mengingatkan dia tentang kontroversi yang melanda dirinya ketika itu!

No comments:

Post a Comment