Wednesday 20 June 2012

MAYA KARIN dapat watak psiko dalam filem terbaru



Pelakon yang popular dengan watak pontinak dalam filem "Pontianak Harum Sundal Malam", Maya Karin akui dia berasa teruja untuk menjayakan watak sebagai seorang perempuan yang mempunyai masalah mental atau psiko untuk filem terbarunya "Jwanita".

Menurut Maya, dia sebelum ini hanya dikenali di mata penonton sebagai watak hantu dan watak baik sahaja.
"Saya dah tidak mahu jadi hantu, saya cakap dekat abang Osman saya sudah tidak mahu berlakon watak hantu lagi," kata Maya.

Ditanya adakah dia ada membuat rujukan untuk memahami dan menjiwai karakter sebagai perempuan psiko.
"Saya tak suka nak buat rujukan untuk cuba menjiwai watak ini kerana saya tak mahu nanti saya akan terikut-ikut dan meniru.

"Saya mahu ikut naluri saya dan cuba terjemahkan apa yang saya faham daripada watak ini," katanya lagi.
Maya yang akan memegang watak sebagai Jwanita iaitu seorang gadis yang mengalami masalah mental yang serius akibat kisah silamnya yang sering didera secara mental dan fizikal oleh ibu dan bapa angkatnya yang juga merupakan pengamal ilmu hitam.

Sinar harapan mula muncul dalam hidupnya apabila dia bertemu dengan Farhan, doktor yang merawatnya selepas dia membunuh kedua ibu bapa angkatnya. Namun segalanya musnah apabila Farhan yang dicintainya merupakan tunang kepada adik kandungnya, Julaika.

Selepas menghilangkan diri pada hari perkahwinan Farhan, Jwanita muncul semula bersama dendam yang lama tersimpan.

Filem arahan Osman Ali dan dibarisi pelakon hebat seperti Bront Palarae, Marsha Milan Londoh dan Cristina Suzanne akan memulakan penggambaran pada 30 Jun ini.

No comments:

Post a Comment