Monday 11 June 2012

BOHSIA 2 kutip 3 juta dalam empat hari


HAMPIR keseluruhan filemnya mencapai kutipan ‘pecah panggung’ dan ini meletakkan nama Syamsul Yusof, 28, sebagai pengarah luar biasa sekali gus melayakkannya menerima gelaran ‘Jutawan Muda Filem’.

Terbaru, filem ketujuh arahannya, Bohsia 2: Jalan Kembali terbitan Skop Production Sdn Bhd yang membariskan pelakon seperti Sofi Jikan, Zizan Razak, Salina Saibi, Nabila Huda dan Harun Salim Bachik, berjaya mencatat kutipan RM3 juta dalam masa empat hari sejak ia ditayangkan pada 7 Jun lalu.
Satu pencapaian yang membanggakan disifatkan Datuk Yusof Haslam selaku penerbit filem berkenaan, tambahan pula, filem itu ditayangkan pada ketika ‘deman Euro’ sedang berlangsung.

“Bohsia 2: Jalan Kembali ditayangkan pada hari yang sama Euro bermula. Saya percaya ada di kalangan penonton pastinya enggan melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak itu.


“Lazimnya tayangan tengah malam sekitar jam 12 dibanjiri penonton.

Bagaimanapun, Jumaat malam Sabtu yang lalu, Bohsia 2: Jalan Kembali terpaksa bersaing dengan siaran langsung Euro membabitkan perlawanan antara pasukan Greece dan Poland.

“Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana dalam pada filem ini menghadapi saingan perlawanan bola sepak yang begitu dinanti-nantikan peminat sukan seluruh dunia, masih ada penonton memilih untuk menyaksikan Bohsia 2: Jalan Kembali.

“Buktinya dalam masa empat hari filem ini ditayangkan, ia sudah mencapai kutipan RM3 juta. Satu jumlah yang tidak pernah dijangka saya sebaik mengambil kira persaingan yang terpaksa dihadapi.

“Jujur saya akui, sebagai penerbit saya mahu melihat filem ini mampu mengatasi karya-karya Syamsul sebelumnya. Jika ia boleh mencapai RM5 juta sekalipun, itu sudah cukup melegakan memandangkan ini antara filem arahan anak saya yang berbajet besar khususnya persediaan untuk babak-babak aksi,” katanya.

Filem Bohsia 2: Jalan Kembali mengisahkan seorang wanita bersama rakan-rakannya yang kembali ke pangkal jalan selepas terbabit dengan aktiviti kurang bermoral.

Menyingkap profil seni Syamsul, pemuda itu mula mengarah filem pada usia 23 tahun. Syamsul mempertaruhkan Evolusi KL Drift pada 2008 sebagai percubaan pertama dan ternyata kemunculan sulung itu mengejutkan apabila berjaya memperoleh kutipan RM4 juta.

Kemudian, Syamsul menyusul pula dengan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam pada 2009. Masih menerapkan elemen aksi, filem itu menyaksikan peningkatan di mana kutipannya berjaya mengatasi filem pertama iaitu RM4.5 juta.

Filem ketiganya pula, Evolusi KL Drift 2 (2010) terus memahatkan nama anak sebagai sutradara berkaliber apabila filemnya kali ini menyaksikan penambahan RM1.3 juta (RM5.8 juta) daripada Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Sebuah lagi filem menyusul pada tahun yang sama dan kali ini Syamsul mengubah corak pengarahannya dengan memperkenalkan filem seram berjudul Khurafat. Apa yang menarik mengenai filem ini, tanpa disangka-sangka ia berjaya mengaut kutipan berjumlah RM8.1 juta.

Bagaimanapun, kerjaya pengarahan Syamsul yang paling gemilang setakat ini tentunya saat melahirkan filem KL Gangster pada 2011 dengan jumlah kutipan panggung RM12 juta. Tahun yang sama, Syamsul melahirkan pula filem komedi, bagaimanapun Aku Bukan Tomboy hanya berjaya memperoleh kutipan RM2.7 juta.


No comments:

Post a Comment