Thursday 14 June 2012

GAMBIT anggap ianya untuk mengasah psikologi



Gara-gara memuat naik fotonya bermain daun terup di sebuah pusat hiburan di Australia baru-baru ini, pelakon Gambit Saifullah Rosli telah dikritik hebat oleh peminat dan dikecam kurang peka pada halal dan haram permainan tersebut.

Walaubagaimanapun, menerusi kenyataan yang dibuat di laman mStar Online, Gambit menyifatkan permainan daun terup yang disertainya itu hanyalah bertujuan untuk mengasah minda psikologi dan ia berlaku secara kebetulan bagi memenuhi masa terluang ketika bercuti. Malah menafikan ia bukan atas tujuan berjudi semata-mata.

"Saya menyertai permainan itu sebenarnya secara kebetulan sahaja dan menganggap ia sebagai satu permainan mengasah psikologi. Biarlah orang nak buat macam-macam tuduhan terhadap saya kerana saya bermain daun terup bukan untuk mendapatkan duit.

"Cakap pun tak guna kerana orang tetap akan mengkritik. Asalkan saya dan Tuhan tahu niat sebenar, sudah cukup," ujar hero filem "Karipap-Karipap Cinta" itu lagi.

Gambit, pada 5 Jun lalu, telah memuat naik foto dia bermain terup di laman Twitter miliknya sambil menulis mesej yang mengatakan dirinya mengharapkan tuah dalam permainan daun terup yang disertainya.
Rentetan dari itu, segelintir pengikut laman sosial milik Gambil mengecam dan mengkritik tindakan Gambit yang kurang bermoral dan salah disisi agama Islam.

"Saya seorang yang sangat sayangkan Malaysia, bangsa dan agama, tetapi kebanyakan masyarakat kita mempunyai mentaliti yang terlalu cepat menilai keburukan seseorang individu.

"Ya, memang salah saya meletakkan entri yang boleh mengundang persoalan kepada semua tetapi dengan menyebarkan maklumat dan membuat spekulasi sendiri, tidakkah ia berbaur fitnah? Dan bukankah fitnah itu haram?" ujarnya yang agak terkilan apabila kebanyakan masyarakat Malaysia terlalu cepat membuat penilaian dan menyebarkan maklumat salah selepas entri berkenaan disiarkan.

Malah Gambit turut memberi pesanan kepada masyarakat yang mengadilinya agar cermin diri sendiri sebelum mengata orang lain.

Sementara itu, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, pendakwah dan pengacara program "Semanis Kurma" menyifatkan pemahahaman seseorang yang ingin menimba pengetahuan daripada permainan daun terup adalah salah mengikut syariat Islam.

"Seseorang itu tidak patut menyertai permainan daun terup atau apa-apa sahaja aktiviti seumpamanya kerana ia boleh mempengaruhi mereka untuk berjudi.

"Daripada segi hukum, ia sudah pun dikira haram kerana di dalam Al-Quran ada menyebut Allah melarang umat Islam menghampiri perkara-perkara yang haram.

"Contohnya, Allah berfirman jangan sesekali menghampiri zina iaitu seperti pergaulan bebas atau majlis tari menari. Sama juga dengan isu perjudian."

Malah menurutnya lagi, banyak lagi cara untuk menimba pengetahuan malah niat yang baik tidak menghalalkan cara yang hakikatnya salah.

No comments:

Post a Comment