Friday 8 June 2012

Kisah pelakon hollywood menolak berlakon dalam filem


JENNIFER HUDSON & PRECIOUS ("PRECIOUS")
Sukar sekali membayangkan watak Precious dilakonkan orang lain selain Gabourey Sidibe. Dengan tubuhnya yang besar dan rupanya yang tampak sengsara, Sidibe berjaya membawa watak gadis remaja yang menghidap AIDS akibat diperkosa bapanya ini dengan begitu cemerlang. Namun watak ini pernah ditawarkan kepada pemenang Oscar dan Grammy yang bernama Jennifer Hudson. Hudson yang baru saja memenangi anugerah melalui filem "Dreamgirls" dan berjaya menurunkan berat badannya menyatakan bahawa dia menolaknya kerana enggan menambah semula berat badannya.
"Saya sudah naikkan berat badan untuk watak Effie. Sekalipun saya tersentuh dengan filem ini, saya mahu memainkan peranan yang tak ada kaitan dengan berat badan saya," jelas Hudson yang juga merupakan jurucakap program Weight Watchers.

MICHELLE TRACHTENBERG & BELLA SWAN ("TWILIGHT")
Pengarah pertama siri "Twilight", Catherine Hardwicke dan para penerbit pada awalnya menghadapi kesulitan mencari pelakon yang cukup sesuai untuk memainkan watak Bella Swan. Hardwicke kemudiannya menunjukkan minat untuk mengambil bintang "Ice Princess", Michelle Trachtenberg untuk menjadi bintang utamanya. Namun begitu, Trachtenberg terpaksa menolak watak tersebut kerana ia bertentangan dengan jadualnya. Adakah ini dikira sebagai menolak tuah atau tidak? Dari satu sudut, Trachtenberg tidak akan mengecapi kegemilangan seperti Kristen Stewart terpilih memegang watak Bella. Namun dari satu sudut pula, dia juga tetap bertuah kerana bukan dia yang menjadi bahan ejekan dan gurauan mereka yang anti-Twilight,

MATT DAMON & SULLY ("AVATAR")
Sam Worthington patut berterima kasih kepada Matt Damon. Jika Damon tidak menolak filem ini, Worthington pasti masih lagi seorang pelakon yang masih tercari-cari arahnya di dunia Hollywood. Jelas Damon, "Saya telah berbincang dengan James Cameron dan saya dah baca skripnya. Saya tahu filem ini akan menjadi sebuah filem hit."
Namun begitu, Damon terpaksa menolak sekalipun ingin sekali bekerjasama dengan Cameron. "Kami hampir menamatkan penggambaran "The Bourne Ultimatum" ketika itu dan saya tidak boleh meninggalkannya begitu saja," katanya lagi.

KELLAN LUTZ & EDWARD CULLEN ("TWILIGHT")
Pada awalnya pelakon Kellan Lutz ditawarkan watak paling besar dalam siri filem terkenal ini. Namun begitu, Lutz menolak watak sebagai Edward Cullen yang menjadi idaman setiap remaja ini dengan alasannya yang tersendiri. Jelasnya, watak itu terlalu murung.
"Saya enggan menerimanya. Saya habiskan tujuh bulan membuat penggambaran di Afrika sebelum itu dan itu satu tempoh yang lama untuk berjauhan dengan keluarga. Ejen saya suruh saya membaca skrip untuk Edward. Saya baca tapi saya rasa watak itu terlalu murung buat saya. Saya ingin melakonkan watak yang buat saya tersenyum. Saya menolaknya beberapa kali."
Namun begitu, ejennya mendesaknya untuk sekurang-kurangnya menerima watak sebagai Emmet Cullen dan dia akhirnya bersetuju.

ROBERT PATTINSON & "THERE WILL BE BLOOD"
Berbeza pula dengan pelakon yang melakonkan watak Edward Cullen dalam "Twilight" ini. Robert Pattinson mengakui dia telah membuat kesilapan besar apabila menolak tawaran untuk berlakon dalam filem "There Will Be Blood" arahan Paul Thomas Anderson. Bagi mereka yang tidak memahami kenapa dia perlu menyesalinya sedangkan dia menjadi bintang terkemuka melalui siri filem terkenal itu, alasannya mudah. Pattinson mahu menjadi pelakon serius, bukan bintang kegilaan remaja. Maka penolakannya itu merupakan sesuatu yang amat disesalinya. Namun begitu, kenapa dia menolaknya? Jelas Pattinson, dia rasa dia tidak cukup bagus untuk filem tersebut!
"Saya dah baca skrip filem tu dan merasakan ia skrip yang terbaik. Saya tak mampu melakukannya."
Bahkan ini bukan kali pertama dia menolak filem yang berkualiti. Sebelum itu, Pattinson juga telah menolak filem "Assasination Of Jesse James" atas alasan yang sama – takut tidak mampu untuk membawa watak tersebut.

WILL SMITH & NEO ("THE MATRIX")
Will Smith pada awalnya menolak tawaran untuk membintangi filem "Men in Black" pada tahun 1997. Mujur isterinya, Jada Pinkett Smith berjaya meyakinkan dia untuk menerimanya. Tidak lama kemudian, Smith ditawarkan pula watak yang lebih menarik – sebagai Neo dalam "The Matrix". Dia menolaknya, lalu watak tersebut diberikan kepada Keanu Reeves. Namun begitu, Smith tidak menyesalinya.
"Saya mungkin akan merosakkannya. Pada waktu itu saya masih belum menjadi pelakon yang cukup bagus untuk watak sedemikian," katanya dengan rasa rendah diri.

SEAN CONNERY & MORPHEUS dan GANDALF
Sebelum Laurence Fishburne, bintang kelahiran Scotland ini ditawarkan untuk memainkan watak Morpheus dalam "The Matrix". Sebelum Ian McKellan pula, Connery juga ditawarkan watak Gandalf dalam trilogi "The Lord Of The Ring". Jika anda gabungkan keuntungan dua filem yang ditolaknya ini, ia bersamaan dengan Connery menolak tuah bernilai lebih AS$500 juta (RM1.5 bilion). Punca dia menolak? Connery tidak memahami jalan ceritanya. Malah dia menolak filem adaptasi J.R.R. Tolkien ini kerana tidak mahu menghabiskan masanya membuat penggambaran selama 18 bulan.
Adakah dia merasa rugi? Apa yang Connery kisahkan! Selain daripada lebih 70 filem yang dibintanginya, lakonannya sebagai James Bond saja sudah cukup untuk menampung kehidupannya tujuh keturunan!

AL PACINO & HAN SOLO ("STAR WARS")
Harrison Ford patut berterima kasih kepada Al Pacino. Jika Pacino tidak menolak tawaran untuk menjadi Han Solo dalam "Star Wars" kerana kesibukannya, pasti Ford masih lagi seorang tukang buat kabinet di rumah George Lucas!

No comments:

Post a Comment