Thursday 14 June 2012

Filem cinta terbaik arahan PIERRE ANDRE



Pelakon dan juga pengarah muda, Pierre Andre atau nama sebenar Mohd Pierre Andre Bin Nazarul Andre berkongsi rasa gembira dengan kehadiran filem cinta baru berjudul "Aku, Kau & Dia".
Selepas mengarah filem cinta seperti "9 September" dan juga "Chantek", Pierre merasakan filem ini adalah filem cinta yang paling baik pernah dihasilkan setakat ini.

"Saya amat bersyukur dengan komen positif yang diterima selepas tayangan tamat. Ramai memuji lakonan dan juga jalan cerita yang diterapkan di dalam filem ini berbeza dengan filem cinta kebanyakkan. Walaupun orang cakap ramai sudah tidak pergi menonton filem berat dan cinta seperti ini, saya tidak gusar kerana yakin penerimaan terhadap filem cinta masih ada namun filem berkualiti belum ditemui."

"Mungkin orang inginkan filem cinta yang berlainan, di dalam filem ini saya telah selitkan elemen baru dan jalan cerita yang lebih segar berbanding filem sebelum ini. Orang akan dapat menilai karya saya kali ini lebih matang berbanding sebelum ini."

Ditanya mengenai keberanian mengambil pelakon baru sebagai heroin, Pierre seakan tahu apa yang sedang dilakukan.

"Setelah melakukan pemilihan pelakon bersama pihak Tayangan Unggul selaku penerbit filem ini, saya telah menyenarai pendek nama yang ada namun setelah berbincang dengan lebih lanjut, saya mengambil keputusan untuk menjadikan Zarina sebagai heroin dalam filem ini disebabkan muka dan juga karakternya yang kena."
"Wajahnya yang fleksibel saya boleh tukarkan kepada yang suram kepada seorang gadis yang ceria dan cantik seperti ada di dalam filem ini."

Filem lakonan bersama Pekin Ibrahim, Sharifah Zarinatasha dan juga Remy Ishak bakal menjengah di pawagam berdekatan pada 28 Jun ini.

No comments:

Post a Comment