Monday 11 June 2012

CAROLINE juara MENTOR 6



Protege Ella, Caroline telah dinobatkan sebagai juara "Mentor" musim keenam (Mentor 6) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam Ahad.

Caroline atau nama sebenarnya Puteri Caroline Mohd Kamel, 20, telah berjaya memperoleh 71 markah secara keseluruhan, sekaligus meraih juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,00 dan trofi.
Tempat kedua pula dimenangi Noor Nazatul Farahin, 23, yang merupakan protégé Ogy Ahmad Daud dengan mendapat 60 markah dan membawa pulang wang tunai RM30,000 dan trofi.

Manakala protege Faizal Tahir, Anas Ridzuan yang mendapat 50 markah berada di tempat ketiga dan menerima wang tunai sebanyak RM10,000 berserta trofi.

Ketiga-tiga mentor turut mendapat trofi serta habuan wang tunai mengikut kemenangan protege masing-masing.
Pada segmen pertama, Caroline telah membawa lagu "My Love" nyanyian Justin Timberlake dan I Don't Wanna Miss A Thing" daripada Aerosmith. Manakala Anas pula menyanyikan lagu "Cinta Muka Buku" nyanyian Najwa Latiff, diikuti Zatul dengan dua buah lagu daripada kumpulan Search iaitu "Pelesit Kota" dan "Pawana".

Bagi segmen berikutnya, ketiga-tiga protege dikehendaki berduet dengan penyanyi profesional di mana Caroline membawa lagu nyanyian Dato' Siti Nurhaliza, "Kau Kekasihku" bersama Azlan The Typewriter. Zatul pula telah berduet dengan Ziana Zain membawakan dua lagu kumpulan Indonesia, "Nakal" daripada Gigi dan "Sedang Ingin Bercinta" daripada Dewa 19. Anas pula telah membawa lagu mentornya, "Selamat Malam" bersama Hazama.

Untuk tugasan terakhir, mereka dikehendaki membawa lagu baru. Anas menyampaikan lagu "Hanya Dirimu", Caroline dengan lagu "Harus Cintamu" dan Zatul menerusi "Tinggalkan Yang Lalu".
Persembahan setiap protege telah dinilai oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini yang merangkumi 50 peratus markah, manakala undian melalui SMS merangkumi 30 peratus dan 20 peratus melalui juri awam.

No comments:

Post a Comment