Monday 30 January 2012

Ringkasan malam AJL 26

Lagu ciptaan Dato' M. Nasir dan lirik oleh Budi Hikayat, "Awan Nano" yang dinyanyikan oleh Hafiz telah dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam.

Berikutan kemenangan tersebut, mereka telah berjaya membawa pulang hadia berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.
Hafiz turut memenangi vokal terbaik, sekaligus menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.
"Awan Nano" telah mengalahkan 11 buah lagu yang berjaya ke peringkat akhir iaitu "Kalau Berpacaran" (Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali, Altimet), "Cinta Muka Buku" (Najwa Latif), "Karma" (Faizal Tahir), "Sedetik Lebih" (Jaclyn Victor), "Wanita Seluruh Dunia" (Projek Pistol), "Beribu Sesalan" (3 Suara), "Kekanda Adinda" (Atilia & Monoloque), "Sungai Lui" (Aizat), "Kisah Hati" (Alyah) serta "Gadis Semasa" dan "Penakut" (Yuna).

Sementara itu lagu "Beribu Sesalan" ciptaan Kevin Chin dan lirik oleh Tinta yang dinyanyikan oleh trio 3 Suara (Jaclyn Victor, Ning Baizura dan Shila Amzah) pula dinobatkan sebagai naib juara dan membawa pulang hadiah trofi serta wang tunai RM15,000.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh "Karma" ciptaan Faizal Tahir dan lirik oleh Audi Mok sekaligus berjaya memenangi hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.
                                                                                   
Alyah yang menampilkan persembahan bertema kotak muzik pula telah memenangi persembahan terbaik menerusi lagu "Kisah Hati" dan menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.
Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Kesemua persembahan 12 finalis AJL26 telah diadili secara telus oleh 30 orang juri profesional daripada pelbagai latar belakang dalam bidang muzik seperti Johan Nawawi, Dimas (Hujan), Fauzi Marzuki, Taja (Meet Uncle Hussein) dan Azmeer selaku ketua juri.

Sementara itu lagu "Sedetik Lebih" ciptaan Edry Abdul Halim telah memenangi kategori baru yang diperkenalkan, Anugerah Juara Mobile bagi mengiktiraf lagu yang mendapat muat turun Nada Dering Pemanggil (Call-Me-Tones) terbanyak.

Selain daripada persembahan daripada finalis, malam AJL26 turut diserikan dengan persembahan pembuka oleh Jamal Abdillah, Awie dan juga ratu jazz Dato' Sheila Majid serta segmen interlud oleh Black, Azlan & The Typewriter dan Hazama dengan iringan orkestra bimbingan Datuk Ramli MS.
Bertemakan elemen air, AJL26 telah diacarakan oleh Faizal Ismail dan Cheryl Samad.

No comments:

Post a Comment