Sunday 8 January 2012

FILEM : BUNOHAN berada di panggung bulan MAC

Filem yang telah menembusi beberapa festival filem antarabangsa arahan Dain Said, Bunohan sedang menjalankan persiapan akhir menjelang tayangannya di pawagam seluruh negara bermula 8 Mac nanti.

Sebelum ini, poster filem Bunohan hanya terdapat longgokan tengkorak, sepasang sarung tangan peninju dan awan tengkujuh. Bagi tayangan di Malaysia, poster barunya memaparkan tiga pelakon/watak utama filem ini.

Selain daripada poster teaser dan poster antarabangsanya, memaparkan wajah pelakon utama Zahiril Adzim bermuka bengis berlilit kepala ketika berada dalam gelanggang tinju.

Bercakap mengenai ini, penerbitnya Nandita Solomon memberitahu bahawa imej poster yang awal hanyalah ‘teaser’ kepada filem Bunohan sebelum ianya mendapat tarikh sebenar untuk tayangan.

“Sekarang, selepas tarikh 8 Mac diberikan, barulah kami ingin menonjolkan pelakon-pelakon utama di dalam poster”, katanya yang ditemui baru-baru ini.

Filem yant menonjolkan bakat Zahiril Adzim, Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim, tentang tiga beradik – Adil, Bakar dan Ilham, juga Pok Eng bapa mereka yang uzur, terjebak dalam tragedi yang saling kait-mengait dalam konflik penipuan dan rasuah. Selepas berjaya melepaskan diri daripada pertandingan yang mempertaruhkan nyawanya di negara Siam, Adil, seorang peninju tomoi, menjadi buruan Ilham, seorang pembunuh upahan yang juga merupakan abang tirinya.

Perburuan Ilham membawa kedua-dua mereka hingga ke Kampung Bunohan, di mana mereka berselisihan dengan kerakusan daripada nafsu kekayaan yang dipunyai abang Adil, Bakar. Kepulangan yang tidak dirancang oleh ketiga-tiga mereka itu mengimbau kisah lampau Pok Eng, yang kemudiannya membongkar segala rahsia kehidupan mereka semua. Perjuangan tiga adik-beradik ini akhirnya menjurus kepada keganasan, pengkhianatan dan pembunuhan.

Zahiril Adzim
Pelakon yang baru sahaja mendirikan rumahtangga ini memegang watak Adil atau ‘Bunga Lalang’. Sebagai peninju tomoi terhebat di kampungnya, pencapaian tersebut tidak dirasakan betul-betul mencabar beliau. Ditambah dengan tekanan kekecewaannya atas sikap bapanya yang tidak merestui kerjayanya itu, Adil merajuk dan meninggalkan rumah keluarga dan merantau ke sempadan negara jiran di Thailand di mana banyak dianjurkan pertandingan dengan hadiah yang lebih lumayan. Tidak kurang juga harga yang dibayar untuk mencapai kejayaan tersebut.

Faizal Hussein
Watak Ilham yang diberikan kepada Faizal itu sudah diketahui beberapa tahun sebelum produksi Bunohan bermula.

“Apabila saya membaca skrip, saya merasakan bahawa ini akan menjadi penanda aras untuk semua skrip filem di Malaysia,” ujar Faizal.

Ilham mempunyai sikap yang liar dan tidak terkawal. Selepas melibatkan diri dalam kegiatan sebegitu sejak berumur 15 tahun, Ilham sudah pun tahu selok-belok  kegiatan samseng di seluruh kawasan di sempadan. Selepas keluar dari penjara, dia dikenali sebagai pembunuh upahan yang boleh dipercayai dan cekap menjalankan tugas. Ilham tidak mempunyai kesetiaan kepada sesiapa pun kecuali kepada dirinya sendiri.


Pekin Ibrahim
Beliau diberi tanggungjawab untuk memegang watak Bakar, seorang guru sekolah bercita-cita tinggi menjadi seorang ahli perniagaan. Bakar telah berkali-kali cuba untuk masuk ke alam perniagaan, tetapi tidak cukup pantas mahupun pintar untuk mengambil kesempatan dalam perniagaan yang dia ceburi.

Di sebalik wajah yang bertimbang rasa, terletak raut kekejaman yang melihat bagaimana seorang individu itu mampu memberi manfaat kepadanya. Bakar menyimpan rasa kebenciannya terhadap bapa dan kaum keluarganya yang dia rasakan tidak menghargai dirinya, yang mana dia melihat tidak mampu bawanya ke mana-mana, lemah dan sentimental.

Selain mereka bertiga, filem ini dibantu oleh pelakon-pelakon hebat seperti Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Tengku Azura dan Soffi Jikan.

Poster yang memaparkan ketiga-tiga watak itu dicipta oleh Joe Kidd yang juga bertanggungjawab mereka poster-poster sebelum ini. Pihak produksi Apparat memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau kerana beliau memahami dan mempunyai ‘jiwa’ terhadap filem tersebut.

Bunohan pernah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011, Festival Filem Golden Horse Taipei (Anugerah NETPAC) 2011, Festival Filem Antarabangsa Sao Paulo 2011 dan Festival Filem Antarabangsa Rotterdam 2012.

Pihak penerbitan filem Bunohan juga akan menerbitkan klip-klip video di belakang tabir di laman youtube di dalam Filem BUNOHAN Video.

No comments:

Post a Comment