Friday 20 January 2012

PEKARA MENARIK DALAM GOLDEN GLOBE AWARD

Anugerah Golden Globe terkenal kerana kontroversinya dan bersempena dengan musim anugerah yang dimulakan dengan anugerah yang satu ini, kami senaraikan sepuluh saat paling aneh, lucu, indah dan kontroversi dalam sejarah Golden Globe.

Komedi Ricky Gervais terlalu ekstrim buat Amerika?
Sejak menjadi pengacara majlis Golden Globe, Ricky Gervais telah membuat banyak jenaka yang lucu. Namun ada sesetengahnya tidak kena dengan selera penonton Hollywood dan tetamu yang hadir. Jenakanya tentang filem-filem Holocaust tidak mendapat sambutan dan jenakanya tentang masalah alkohol Mel Gibson dan perceraian mahal Paul McCartney pula dikecam oleh orang ramai. Adakah Ricky Gervais yang melampau atau Amerika belum bersedia dengan gurauan kasarnya?


Leo dan Kate dulu dan sekarang
Ia satu saat yang indah dan mengharukan untuk melihat Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet muncul bersama di usia yang lebih matang ke anugerah Golden Globe untuk pencalonan filem mereka "Revolutionary Road" pada tahun 2009. Kali terakhir mereka muncul bersama adalah pada tahun 1998 untuk filem paling hit dalam sejarah, "Titanic".

Dua pemenang yang pergi ke tandas
Pada tahun 2000, Renee Zellweger tidak menyangka dia telah memenangi anugerah Pelakon Terbaik dalam Komedi/Muzikal untuk filemnya "Nurse Betty". Kerana itu, ketika Hugh Grant mengumumkan namanya, Zellweger berada di tandas, membersihkan calitan gincu di giginya supaya dia tidak kelihatan hodoh di kaca televisyen. Christine Lahti juga melakukan hal yang sama dua tahun sebelum itu apabila dia diumumkan sebagai pemenang melalui drama perubatan "Chicago Hope". Dia tidak muncul untuk mengambil anugerahnya. Rupa-rupanya Lahti berada di tandas untuk membuang air besar!


Kemenangan yang dibeli
Pia Zadora merupakan pemenang anugerah Pelakon Baru Terbaik yang paling teruk dalam sejarah Golden Globe melalui filem "Butterfly" (1983). Mengapa? Kerana anugerahnya dimiliki melalui pengaruh suaminya, Meshulam Riklis, seorang ahli perniagaan Israel yang kaya-raya. Suaminya yang 30 tahun lebih tua daripada Zadora sendiri juga telah memberi dana untuk filem "Butterfly" dan meyakinkan ahli HFPA untuk memberikan kemenangan itu kepada Zadora sekalipun Elizabeth McGovern dan Kathleen Turner jauh lebih baik. Zadora kemudiannya memenangi anugerah Razzies bagi "Pelakon Wanita Paling Buruk" dan "Bintang Baru Paling Teruk".

"Saya bukan anti-gay!"
Dalam sidang media di belakang pentas Anugerah Golden Globe 2007, Isaiah Washington cuba menafikan kenyataan yang mengatakan dia anti-homoseksual dengan nada gurauan selepas berita mengatakan dia menyerang pelakon T.R. Knight dengan kata-kata berbaur penghinaan terhadap golongan homoseksual. Namun begitu, tindakannya menggunakan perkataan yang begitu menghina dalam gurauannya itu menyebabkan situasi menjadi canggung dan tidak lama selepas kejadian itu, watak Washington sebagai Prescott Burke terus dimatikan dalam "Grey's Anatomy".

Scarlett Johansson diraba
Koresponden E! dan juga pereka fesyen Isaac Mizrahi mencetuskan kontroversi apabila dia meraba dada Scarlett Johansson di permaidani merah Golden Globe 2006 ketika menemuramah aktres tersebut. Sekalipun Scarlett tidak kisah pada awalnya, aktres tersebut kemudiannya mengakui bahawa tindakan Mizrahi agak melampau sekalipun dia seorang lelaki gay.

Rat Pack terbaik!
Sejak tahun 1944, anugerah Golden Globe dipersembahkan oleh para wartawan dari Hollywood Foreign Press Association. Namun pada tahun 1958, Frank Sinatra, Dean Martin and Sammy Davis Jr. yang bosan dengan majlis tersebut naik ke pentas dan memainkan peranan sebagai pengacara majlis sepanjang anugerah tersebut. Penonton menyukainya dan begitu juga dengan pihak HFPA dan mereka muncul kembali tahun berikutnya. Ya, hanya Rat Pack seperti mereka yang mampu melakukan sedemikian.

Kemenangan selepas kematian
Lima bulan selepas kematian ikon James Dean dalam kemalangan kereta, pelakon tersebut dianugerahkan Pelakon Terbaik melalui wataknya sebagai Cal dalam filem adaptasi novel, "East of Eden". Tidak lama kemudian dia turut memenangi anugerah Posthumous untuk Anugerah Academy melalui filem yang sama.


Ving Rhames menghadiahkan anugerahnya
Pada tahun 1998, Ving Rhames yang emosi selepas memenangi anugerah untuk filem HBO "Don King" telah berterima kasih kepada pelakon Jack Lemmon yang tidak pernah memenangi anugerah tersebut. Rhames kemudiannya memujuk Lemmon untuk mengambil anugerahnya. Tidak lama selepas itu, pihak Golden Globe terpaksa menghantar anugerah kedua kepada Rhames kerana Lemmon benar-benar membawa pulang anugerah yang dimilikinya.


Tiada parti kerana boikot
Parti selepas majlis Golden Globe memang terkenal dengan fesyen artis yang unik dan selebriti yang pastinya pulang dalam keadaan mabuk. Tetapi disebabkan oleh boikot besar-besaran para penulis Hollywood, para selebriti tidak keluar berparti dan ia digantikan dengan sidang media yang membosankan untuk pengumuman para pemenang.

No comments:

Post a Comment