Friday 20 January 2012

MIG sasar 100 filem menjelang 2013

Metrowealth (MIG) dan juga David Teo bukanlah satu nama asing dalam industri perfileman tempatan. Kecemerlangan syarikat ini telah berjaya menyumbang sebanyak 22.2% (RM24 juta) daripada jumlah kutipan kasar filem Malaysia pada tahun 2011 iaitu RM108 juta.

Ia sekaligus meletakkan Malaysia sebagai negara paling berjaya di Asia Tenggara dalam industri penerbitan filem.
Menjadi tradisi MIG, segala kejayaan yang dikecapi oleh syarikat milik David Teo ini turut dikongsi bersama para media dan juga mereka yang sentiasa menyokongnya.

Menurut David Teo ketika sambutan majlis kesyukuran dan Tahun Baru Cina yang diadakan di Hotel Sunway Resort baru-baru ini, MIG akan berusaha memastikan industri sentiasa kaya dengan generasi baru tidak kira dari segi pengarahan, penulisan skrip, krew produksi dan juga pelakon.
"Saya percaya dengan memberi peluang kepada mereka yang berminat dan ingin berjaya adalah sesuatu yang baik."

Ini terbukti dengan kejayaan filem pengarah dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG seperti Ismail Bob Hashim, Azhari Zain dan Farid Kamil yang berjaya mendapat kutipan melebih RM8 juta.
Malah slogan "Bintang Dicipta, Bukan Dilahirkan" turut membuktikan MIG berjaya mengembangkan bakat sedia ada seperti Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Intan Ladyana, Yana Samsudin, Pierre Andre, Fizo Omar, Kamal Adli serta yang sedang meningkat naik antaranya adalah Zalif Sidek, Wawa Zainal, Mon Ryanti, Aeril Zafrel, Mikail Andre dan ramai lagi.

Pada tahun ini, MIG menjangkakan sebanyak 19 buah filem terbitannya akan ditayangkan sehingga akhir tahun dan ia dilihat mampu mencapai matlamatnya yang menyasarkan untuk menerbitkan 100 buah filem menjelang 2013.
Penonton boleh menjangkakan filem-filem seperti "Adnan Sempit 2", "Taikun", "7 Petala Cinta", "3 Temu Janji", "Saya Amat Mencintaimu" dan banyak lagi pada tahun 2012.

Selain turut mengaplikasikan pelbagai teknologi baru seperti animasi dan penjanaan imej berkomputer dalam filem terbitannya, MIG turut menerbitkan drama dan telefilem untuk siaran televisyen.
Sehingga kini, MIG telah menerbitkan 72 buah filem dan 54 daripadanya sudah ditayangkan.

No comments:

Post a Comment