Monday 30 January 2012

THE MAKING OF "BUNOHAN"


Secara eksklusif buat pelayar Yahoo! Malaysia, video di sebalik tabir pembikinan filem 'Bunohan' yang berdurasi 20 minit dipersembahkan khas buat anda! Dalam video tersebut diselitkan wawancara bersama pengarah filem itu, Dain Said, pelakon Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Bront Palarae, Amerul Affendi dan Tengku Azura.

'Bunohan' menceritakan mengenai kisah tragis tiga saudara yang terpisah – seorang peninju tomoi, seorang ahli perniagaan dan seorang lagi pembunuh upahan yang kembali ke kampung halaman mereka di Kampung Bunohan, di mana mereka tersepit dalam pelbagai konflik. BUNOHAN dibintangi oleh Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim, serta dibantu oleh pelakon-pelakon seperti Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Tengku Azura.

Ketahui apa yang berlaku sewaktu pembikinan filem tersebut serta pengalaman setiap pelakon bekerja di bawah arahan pengarah yang cukup dikenali menerusi filem kontroversi, Dukun yang dihalang tayangannya atas sebab-sebab tertentu.

Sementara itu, filem aksi-drama, 'Bunohan' telah dijemput untuk mengadakan tayangan perdananya di benua  Eropah bersempena dengan Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) dari 25 Januari hingga 5 Februari 2012. Rotterdam adalah salah satu pusat yang menerajui festival-festival filem terbesar di dunia yang berjaya menarik 340,000 pelawat pada tahun 2011.

'Bunohan', ditulis dan diarahkan oleh Dain Said, yang dipaparkan di dalam seksyen Spektrum seiring dengan pengarah-pengarah hebat dunia termasuk Takashi Miike (Ace Attorney), David Cronenberg (A Dangerous Method), Aki Kaurusmaki (Le Havre), Garin Nugroho (The Blindfold) dan Andrea Arnold (Wuthering Heights).

'Bunohan' telah mengadakan tayangan perdana antarabangsanya di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan September 2011, dan berjaya menggondol Anugerah NETPAC di Festival Filem Antarabangsa Golden Horse Taipei pada bulan Oktober 2011. Filem ini sekarang sedang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Palm Springs (5-16 Januari 2012).

No comments:

Post a Comment