Wednesday 4 January 2012

Peminat - peminat obses yang menyeramkan & aneh

Dalam dunia ini, ada peminat yang gila dan boleh dibiarkan, seperti peminat Britney Spears yang menjadi terkenal kerana video Youtube-nya yang meminta semua orang untuk "...leave Britney alone!". Ada pula peminat yang berbahaya seperti Mark David Chapman, peminat John Lennon yang telah meragut nyawa pemuzik tersebut kerana obsesinya. Namun di antara kegilaan kecil ke obsesi berbahaya itu, ada pula di antaranya yang jadi begini...

Wanita berusia 56 tahun yang memiliki bilik fantasi Twilight
Kebanyakan peminat Edward-Bella-Jacob terdiri daripada golongan remaja. Itu satu perkara biasa. Namun Moore, seorang wanita Texas merupakan seorang peminat setia francais "Twilight" sudah berusia 56 tahun. Apabila suaminya enggan membenarkan dia untuk menghias bilik tidur mereka, wanita ini mengubah bilik tidur tetamu rumahnya di Katy, Texas menjadi sebuah bilik fantasi Twilight. Jelas Moore, sesiapa saja yang pernah melihat atau masuk ke dalam bilik fantasi Twilight ini cuma ada dua pendapat berbeza. Mereka akan menyukainya, atau mereka akan menganggapnya gila.


Draco Malfoy hendak dijadikan sebagai anak angkat
Ketika rangka promosi Harry Potter di Amerika suatu masa dahulu, Tom Felton yang memainkan peranan Draco Malfoy didekati oleh seorang peminat yang mahu mengambilnya menjadi anak angkat!
Seorang lelaki pertengahan umur telah menawarkan dirinya menjadi penjaga sah (Felton masih di bawah umur ketika itu), membawa Felton pulang ke rumah dan tinggal bersama keluarganya di rumah mereka yang dinamakan Malfoy Manor. Lebih melucukan (dan menyeramkan) lagi, lelaki itu turut menunjukkan dokumentasi dan menghantar dokumen yang diperlukan untuk Felton meninggalkan ibu bapa sebenarnya dan berpindah dengan lelaki itu.


Peminat Justin Bieber buat vandalisme terhadap laman Wikipedia Esperanza Spalding
Kalau nak dibandingkan peminat remaja fanatik Justin Bieber dengan artis lain, artis lain pasti kalah teruk. Dan sekiranya anda artis hebat yang layak memenangi anugerah tetapi tidak mempunyai populariti segah Justin Bieber, anda akan menjadi mangsa paling mudah. Tanya saja pada Esperanza Spalding.
Apabila penyanyi jazz Esperanza Spalding menewaskan Justin Bieber dalam Anugerah Artis Baru Terbaik Grammy, peminat fanatik Bieber naik berang. Seorang budak lelaki berusia 7 tahun menangis dan berkata, "My teenager lost". Seorang peminat remaja berusia 19 tahun pula memuat naik rakaman di Youtube dan merungut, "Who the f*** is Esperanza Spalding?" dan membuat pengumuman ala ratu drama mengatakan dia tidak mahu hidup lagi di dunia akibat kekalahan Bieber.
Namun tindakan paling obses para Beliebers ialah dengan membuat kerosakan pada maklumat Esperanza Spalding di Wikipedia dengan ayat, "JUSTIN BIEBER DESERVED IT GO DIE IN A HOLE. WHO THE HECK ARE YOU ANYWAY?" Peminat Bieber memang menyeramkan.

Teddy Riley vs. Wonderfuls
Kegilaan peminat (atau "kesetiaan", kata mereka) bukan saja di barat, malah turut berlaku di benua Asia, terutama sekali apabila ia berkait rapat dengan K-Pop. Produser Teddy Riley yang sedang menerbitkan single terbaru kumpulan Girls Generation sudah biasa dengan gaya persaingan Afro-Amerikanya. Oleh itu, Riley cuba mengusik para peminat kumpulan Wonder Girls (yang dipanggil Wonderfuls) dengan menghantar re-tweet mengatakan Wonder Girls gagal di AS, tiada siapa mempedulikan mereka dan kemudian bersorak memuji kumpulan Girls Generation.
Namun Riley agak terkejut apabila kata-katanya bukan sahaja mengundang kemarahan para peminat Wonder Girls, malah mereka terus-menerus mengejek dan memperkecilkan hasil karyanya berbulan selepas itu sekalipun dia telah meminta maaf. Mungkin Riley sudah terima pengajarannya – jangan sekali-kali bergurau kasar dengan peminat K-Pop.

Peminat sembelih kucing peliharaan untuk tiru Lady Gaga
Angelina Barnes, seorang peminat fanatik Lady Gaga berhadapan dengan sabitan keganasan terhadap haiwan. Kenapa? Kerana dia menyembelih kucing peliharaan keluarganya untuk dijadikan aksesori ke konsert Lady Gaga di Oklahoma City.
Polis berkata Barnes membunuh dan mencacatkan kucing peliharaan keluarganya sebelum bersiap untuk ke konsert dengan berkot labuh dan mencalit darah kucing tersebut di mukanya demi kelihatan aneh seperti idola kesayangannya. Wanita berusia 20 tahun itu juga menutup suis lampu rumah dengan pita perekat supaya orang lain tidak dapat melihat wajahnya yang dilumuri darah.
Hati kucing tersebut ditemui dalam bekas alat solek di atas papan pemuka dan Barnes yang memiliki sejarah kemurungan dilaporkan telah dibawa ke hospital di mana dia mengancam jururawat dengan serpihan kaca.

Si gila yang cuba membunuh Presiden AS demi Jodie Foster
Pada suatu masa dahulu, ada seorang lelaki kurang siuman berusia 21 tahun bernama John W. Hinckley Jr. yang sangat mencintai seorang pelakon muda bernama Jodie Foster. Dia mula obses terhadap pelakon wanita itu apabila Foster membintangi sebuah filem berjudul "Taxi Driver". Hickley sangat kagum dengan lakonan Foster sebagai pelacur bawah umur dan terus-terusan menghendap pelakon berusia 14 tahun itu.
Hickley sering menghubungi Jodie Foster dan selalu mengirim puisi dan surat cinta dan diselitkan di celah pintu rumah pelakon "Panic Room" itu. Namun apabila Jodie tidak membalas cintanya, Hinckley cuba melakukan sesuatu untuk memberikan impak yang cukup hebat supaya gadis bawah umur itu menyedari kewujudannya. Jadi apa yang Hinckley lakukan? Dengan merujuk filem "Taxi Driver" lakonan Jodie Foster itu, dia meniru watak Travis Bickle lakonan Robert De Niro yang membuat plot untuk membunuh seorang calon presiden.
Lalu pada bulan Mac 1981, Hinckley menulis surat terakhirnya kepada Jodie untuk memaklumkan gadis itu bahawa dia akan membunuh Presiden Amerika Syarikat kerana dia tidak mampu lagi menunggu lebih lama untuk mendapatkan perhatian pelakon wanita itu. Maka dia pun melakukan apa yang dia telah niatkan dan menembak enam butir ke arah Presiden Ronald Reagan di Washington DC. Malangnya dia gagal menetapkan sasaran, peluru melantun pada limosin presiden, hanya mencederakan Ronald Reagan dan tiga yang lain. Beberapa hari selepas itu, Reagan kembali bertugas seperti biasa. Lapan tahun kemudian, John Hinckley didapati tidak bersalah kerana ketidakwarasan dan ditempatkan di rumah sakit jiwa St Elizabeth Hospital.

Kawan baik Kim Kardashian diserang peminat Kris Humphries
Bukan artis sahaja yang menjadi objek kefanatikan peminat, malah orang sekeliling mereka juga akan terkena tempiasnya. Personaliti saluran E! dan rakan karib sosialit Kim Kardashian, Jonathan Cheban telah diserang seorang peminat setia bekas suami Kim, pemain bola keranjang Nets, Kris Humphries. Mujur dia hanya diserang dengan tepung!
Laporan mengatakan peminat Humphries menyerang Cheban dengan tepung selepas acara promosi rekaan barang kemasnya di butik DASH, New York sambil menjerit, "Ini hadiah untuk Kris Humphries, lelaki tak guna!" Ini disebabkan gosip liar yang mengatakan Cheban turut menjadi batu api yang memisahkan pasangan tersebut.
Namun begitu, menurut berita E!, Kris sendiri tidak terlibat dan tidak ada sebarang kaitan dengan serangan tersebut. Menurut wakil Kris, pemain bola keranjang itu tidak akan melakukan hal sebegitu dan tidak akan menerima perlakuan yang sedemikian terhadap sesiapa pun.
Mungkin peminat tersebut lebih terkesan dengan perceraian Kris dan Kim daripada pemain kegemarannya sendiri.

Peminat Mawi vs. Diana vs. Ekin
Siapa lagi yang paling banyak peminat fanatik di Malaysia ini kalau bukan penyanyi keluaran Akademi Fantasia yang bernama Asmawi Ani. Fenomena "Tsumawi" menyebabkan ramai gadis yang tergila-gilakan karismanya, ramai orang tua yang mahu bermenantukan lelaki berperawakan alim sepertinya dan setiap jenis produk mahukan dia sebagai duta mereka. Malah ada fesyen tudung yang dinamakan Tudung Mawi walhal dia seorang lelaki!
Namun satu demi satu kontroversi terus melanda diri pemuda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini. Peminat setia juga bermakna peminat yang obses. Mereka sibuk mahu tahu tentang tunangnya, Diana Naim ketika itu. Mereka juga melemparkan kata-kata nista terhadap Diana Rafar yang dikatakan menjadi penyebab keretakan hubungan Mawi dan Diana Naim sehingga menyebabkan pelakon Zamarul Hisham turut terkesan dengan situasi yang kusut itu. Kemudian apabila Mawi bertemu jodoh dengan isterinya, Ekin, ramai peminat yang tidak puas hati dan mempersoalkan pelakon wanita itu sehingga hampir membuat Ekin putus asa. Tiada siapa yang cukup bagus buat penyanyi kegemaran mereka rupa-rupanya. Mujur Mawi tidak dimasukkan ke hospital jiwa melayankan kerenah peminatnya.

No comments:

Post a Comment