Wednesday 23 May 2012

"Saya masih pantau SYAMSUL" - DATUK YUSOF HASLAM


Walaupun sudah berjaya menghasilkan filem box-office seperti "KL Gangster", "Evolusi KL Drift", dan kini tampil dengan filem terbaru "Bohsia 2: Jalan Kembali", pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof masih lagi dipantau oleh bapanya Datuk Yusof Haslam dalam pembikinan filem.

Menurut Datuk Yusof Haslam, selaku penerbit filem, beliau perlu memantau proses pembikinan filem berjalan kerana ia dilakukan untuk menjaga perkara-perkara sensitif yang boleh menimbulkan kontroversi dan persepsi negatif kepada masyarakat.

"Saya masih jalankan pemantauan ke atas pembikinan filem-filem anak saya, dan walaupun Syamsul sudah mempunyai pengalaman, penapisan filem ini masih dilakukan oleh saya," ujarnya.
Antara babak-babak yang dipantau oleh Datuk Yusof dalam filem "Bohsia 2: Jalan Kembali" adalah adegan di hadapan masjid, di mana watak Keting (Sofi Jikan) dilihat memaki dan menolak seorang imam sehingga terjatuh.

Walaupun adegan tersebut mungkin tampak keterlaluan bagi sesetengah pihak, namun beliau menjelaskan bahawa adegan tersebut perlu dalam memberi kesedaran dan keinsafan kepada para penonton.
"Bagi saya, memang wujud mat rempit yang berperangai keterlaluan seperti yang pernah dilalui dan diceritakan oleh kawan saya. Tetapi saya tidak paparkannya secara keterlaluan. Contohnya, dalam filem ini watak Keting hanya sekadar meninggikan suara dan mencabar watak imam itu."

"Sedangkan pada mulanya, anak saya yang juga pengarah filem ini, Syamsul Yusof mahukan watak Keting digambarkan menendang imam itu, tetapi saya tidak bersetuju kerana itu keterlaluan. Pada masa sama, dalam adegan itu turut disertakan bacaan surah Al-Qur'an sebagai nasihat yang berkaitan," jelasnya lagi.

Pengarah berusia 58 tahun ini menjelaskan walaupun beliau sentiasa memantau setiap filem yang diarahkan oleh anaknya itu, beliau tidak pernah menyekat kreativiti Syamsul untuk berkarya bagi menghasilkan filem yang menepati cita rasa penonton.

No comments:

Post a Comment