Thursday 31 May 2012

AHMAD IDHAM sasar penonton INDONESIA



Pelbagai usaha yang dilakukan oleh pengarah terkenal Ahmad Idham untuk membawa filem Malaysia ke peringkat antarabangsa dan berharap dapat melebarkan sayapnya ke Indonesia dengan filem romantik terbarunya, "Gerimis Mengundang".

Berdasarkan lagu klasik oleh Slam dan teater muzikal yang ditulis oleh Azwan Annuar, filem ini yang dibintangi oleh Kamal Adli dan Olivia Lubis Jensen menceritakan kisah cinta seorang juruterbang Malaysia yang telah jatuh cinta dengan seorang wanita kaya Indonesia.

"Sejak beberapa tahun, sesiapa sahaja yang menyebut "Gerimis Mengundang" pasti akan ingat dengan lagu tersebut terutama sekali peminat Indonesia dimana lagu itu sehingga kini masih popular di sana. Jadi setelah meneliti pasaran di sana, kami telah mengambil keputusan untuk membuat filem ini sebagai batu loncatan untuk membawa filem ini ke pasaran Indonesia," jelas Ahmad Idham ketika ditemui di majlis pra-tonton filem di TGV Sunway Pyramid baru-baru ini.

"Kepada sesiapa yang terlepas untuk menyaksikan teater muzikal "Gerimis Mengundang", inilah peluang anda untuk menontonnya di pawagam," jelasnya lagi.

Filem bercorak drama romantik ini akan ditayangkan di empat negara termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, sekaligus menjadikan "Gerimis Mengundang" filem pertama Malaysia yang akan ditayangkan di 80 buah pawagam di Indonesia.

"Saya dapat merasakan filem ini akan mendapat sambutan daripada penonton Indonesia kerana elemen budaya dan bahasa yang digunakan dalam filem ini," kata Datuk Md Affendi Hamdan yang merupakan penerbit filem dan juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem National Malaysia (FINAS).

Filem yang dibarisi oleh aktres kelahiran Indonesia, Olivia Lubis Jensen, Kamal Adli, Dhitra Marfie, Felix Agus (AF3), Denny Martin, Henny Yuliani, Ebby Cornelis dan ramai lagi sudah ditayangkan serentak di empat buah negara bermula 31 Mei 2012.

No comments:

Post a Comment