Thursday 24 May 2012

HOORE! HOORE! akan buat sekuel jika dapat sambutan



Pengarah filem "Hoore! Hoore!", Saw Teong Hin tidak menolak kemungkinan akan membuat sekuel jika mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

"Sekiranya sambutan yang diterima amat menggalakkan, kenapa tidak. Mungkin saya juga boleh memasukkan lagu-lagu Allahyarham yang selebihnya yang tidak dapat dimasukkan dalam filem pertama, dan juga mengarap jalan cerita yang berbeza untuk lagu-lagu itu," kata Saw Teong Hin ketika ditemui pada tayangan perdana "Hoore! Hoore!" di TGV KLCC baru-baru ini.

Menurut Saw Teong Hin, idea untuk membuat filem ini tercetus kerana mahu memberi penghargaan kepada penghibur No.1 Asia satu ketika dahulu.

"Filem ini diinspirasikan dari lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad kerana saya minat dengan karya Allahyarham. Selain itu, saya juga ingin memastikan karya-karya seniman hebat ini tidak akan dilupakan oleh generasi baru akan datang," jelasnya.

Filem terbitan Astro Shaw ini menampilkan pelakon baru iaitu Akim AF7 dan Nurfarah Nazirah sebagai watak utama. Turut membintangi filem ini, Harun Salim Bachik, Adibah Noor dan Fauziah Nawi.
"Hoore! Hoore!" akan menemui penonton di seluruh pawagam di Malaysia pada 24 Mei ini.

No comments:

Post a Comment