Tuesday 18 June 2013

SHAHZ JASZLE DAKWA PEREMPUAN TERSEBUT PENIPU

Pelakon popular Shah Jaszle enggan berdiam diri selepas seorang wanita tampil memberi kenyataan berkaitan kes khalwat yang membabitkannya kepada sebuah program hiburan hujung minggu lalu.

Dipetik daripada laporan Berita Harian, Shah Jaszle yang dihubungi memberitahu dia ingin mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan segala-galanya termasuk dakwaan mempunyai hubungan istimewa dengan wanita tersebut.

"Saya akan mengemukakan semua bukti termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur paksaan yang dihantar kepada saya. Dia hanya menunjukkan sebahagian SMS sahaja, tetapi kenapa tidak kemukakan semua sekali apa yang dihantar kepada saya?

"Lagipun apa bukti menunjukkan saya penghantar SMS itu, sedangkan tiada nombor yang tertera pada paparan skrin telefon?," ujarnya yang mengakui ingin memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kes khalwat membabitkan dirinya."


Pelakon berusia 25 tahun ini memberitahu wanita tersebut gemar mendesak dan pernah ke rumah keluarga untuk mencarinya.

Shah Jaszle turut menjelaskan dia mengenali wanita tersebut yang merupakan seorang kru dan pelakon tambahan drama "Lembayung Kasih Mu" kurang daripada tempoh sebulan.

"Kami kenal tiga minggu saja, jadi bagaimana dia boleh mendakwa kami mempunyai hubungan istimewa? Dia mengeluarkan gambar kami berdua seolah-olah hendak membuktikan kami mempunyai hubungan intim. Memang saya mengaku itu gambar saya tetapi ia diambil sewaktu di lokasi penggambaran," tambahnya lagi.

Pelakon filem "Azura 2012" itu turut merasakan wanita tersebut cuba memutuskan hubungannya dengan tunang, Redzwani Puteri.

"Sebelum kes khalwat, memang dia ada berjumpa tunang saya untuk mendedahkan mengenai hubungan yang kononnya wujud antara kami. Tetapi tunang saya tidak melayan, malah tidak juga melatah," katanya.

Shah Jaszle turut memberitahu selepas kes khalwat tersebut, wanita tersebut tidak menunjukkan sebarang kebimbangan dengan kejadian tersebut.

Shah Jaszle atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmi dan wanita tersebut telah ditahan kerana dipercayai ditangkap khalwat pada 16 Mei lalu selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan serbuan di Pangsapuri Taman Sri Subang kira-kira jam 3.30 pagi.


No comments:

Post a Comment