Sunday 16 June 2013

FILEM : Tiada unsur politik dalam "CEO"

Kebanyakan pembikin filem tempatan kini cuba menghasilkan karya 'filem independent' seperti filem terbaru "CEO" yang merupakan filem pertama terbitan produksi ARAfilm.

Namun belum pun filem ini memulakan penggambaran, ia sudah mencetuskan kontroversi apabila filem pertama arahan Razaisyam Rashid ini dikatakan mempunyai unsur politik apabila idea filem adalah daripada bekas penganalisis politik sensasi, Abdul Razak Baginda.

Namun, dakwaan itu disangkal oleh Razaisyam dan berkata, filem bergenre komedi ini tiada kena mengena dengan isu politik.

"Idea asalnya memang dari Razak Baginda dan modal filem ini datang dari syarikat beliau. Tapi kita tak selitkan unsur-unsur politik dalam filem ini.

"Lagipun skripnya telah pun diolah semula. Saya harap tiada pihak yang memandang negatif atas pembabitannya dalam industri perfileman tempatan ini."

Jelasnya lagi, "CEO" mengisahkan tentang kehidupan realiti masyarakat pada zaman masa kini. Filem yang menelan kos sebanyak RM1 juta ini akan dibintangi oleh pelakon hebat seperti Remy Ishak, Beto Kusyairy, Deanna Yusoff, Christina Suzanne dan Datuk Jalaludin Hassan dan dijangka akan ditayangkan sekitar pertengahan tahun 2014.

"CEO" berkisar dua lelaki yang berada di berlainan 'dunia'. Adam (Remy) adalah seorang CEO dalam sebuah empayar koporat dan berjaya. Manakala Sufian (Beto) seorang penghantar piza yang tiada cita-cita.

Bagaimanapun, kerana satu insiden, kehidupan kedua-dua lelaki itu berubah di mana Adam telah kehilangan jawatannya manakala Sufian pula mengambil alih tempat Adam. Keliru dengan perubahan diri masing-masing, Adam dan Sufian mula menyiasat punca-punca keadaan mereka berubah.



No comments:

Post a Comment