Monday 17 June 2013

"NABILA AKAN BERUBAH" -AMY


Walaupun tidak menggemari gaya hidup anaknya yang agak liar dan seringkali terpalit kontroversi, penyanyi rock lagenda, Amy Search yakin Nabila Huda akan berubah satu hari nanti.

Namun Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman memuji sifat keibuan yang ada pada aktres berusia 29 tahun itu kerana sentiasa mengutamakan anak tunggalnya, Keisha Laila walaupun sentiasa sibuk dengan kariernya.

"Dia seorang ibu yang baik, tetapi sebagai manusia biasa, daripada sisi lain yakni merujuk kepada gaya hidupnya, saya tidak bersetuju dengan caranya.

"Namun saya tahu dia sudah dewasa dan caranya itu bersifat sementara. Saya yakin dia boleh berubah," ujar penyanyi berusia 54 tahun ini.

Sementara itu Amy turut memberitahu dia tidak kisah siapakah calon suami anaknya itu asalkan lelaki tersebut memahami nabila.

Terbaru aktres drama bersiri "Teduhan Kasih" ini dilaporkan sedang bercinta dengan aktor dan DJ Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin sejak awal April lalu. Namun hari ini (Selasa), Nabila telah memuat naik sekeping foto berserta kata-kata yang menggambarkan hubungan mereka sudah berakhir.

"Let's enjoy our single moment like before. We are good being a best friend than a lover (Mari kita gembira dengan kehidupan solo seperti sebelum ini. Kita lebih baik sebagai teman rapat daripada pasangan kekasih)," antara petikan kata-kata daripada gambar tersebut.

Sebelum ini Nabila pernah berkahwin dengan Zaidi Zailaini, tetapi memfailkan perceraian pada tahun 2011 selepas tiga tahun bersama. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan hasil perkahwinan tersebut.


No comments:

Post a Comment