Wednesday 15 February 2012

ZIZAN "seronok jadi kura-kura"

Walaupun hanya meminjam suara untuk watak kura-kura dalam filem terbaru lakonannya "Cinta Kura-Kura", Zizan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berasa puas dan menganggap ia adalah satu peluang yang tidak harus disia-siakan begitu sahaja.

Menurut pengacara dan pelawak terkenal kelahiran Dungun, Terengganu ini, dia ingin mencuba sesuatu yang baru dari segi memberikan komedi dalam bentuk intonasi suara pula.

"Sebelum ini saya sering melawak ketika mengacara dan berlakon drama, tetapi belum pernah menggunakan suara sebagai nadi utama dalam sesebuah filem. Pada permulaan tayangan saya agak berdebar untuk mengetahui reaksi peminat apabila mendengar suara saya. Namun Alhamdulillah, mereka ketawa selepas mendengar dialog saya," ujar Zizan ketika ditemui di malam gala "Cinta Kura-Kura" di Cathay Cineplex Damansara di sini semalam.

Ditanya sekiranya ia tugasan yang mudah memandangkan hanya perlu menggunakan suara sepanjang pembikinan filem ini, Zizan memberitahu dia turut mengalami sedikit kesukaran agar ia tidak kelihatan terlalu dibuat-buat.

"Pasti ramai yang memikiran saya hanya perlu menggunakan suara dan tidak perlu berpanas untuk ke set penggambaran. Namun tiada siapa tahu bahawa apabila kita berada di konti, kita perlu melihat syot dan melontarkan dialog seiring dengan situasi tersebut. Agak sukar untuk sampaikan perasaan melalui bunyi (dialog) sahaja.

"Ada dialog yang kedengaran agak keterlaluan dalam filem ini tetapi kebanyakannya ditambah oleh saya dengan kebenaran pengarah Nizam Zakaria," jelas jejaka berusia 27 tahun ini yang pernah digosip bercinta dengan aktres Juliana Evans.

"Cinta Kura-Kura" yang turut dibarisi Aeril Zafrel, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz ini akan menemui peminat pada 1 Mac 2012.

No comments:

Post a Comment