Wednesday 15 February 2012

R.I.P WHITNEY HOUSTON : perjalanan hidup Whitney

Muzik ikon pop Whitney Houston mengejutkan dunia apabila ditemui mati dalam tab mandi di Hotel Beverly Hilton, California pada 11 Februari lalu iaitu sehari sebelum Anugerah Grammy ke-54 berlangsung.

Kehilangannya sangat dirasai oleh peminat dan artis seperjuangannya yang memberi mesej-mesej penghormatan kepada penyanyi "I Will Always Love You" ini menerusi laman sosial Twitter dan Facebook.
Namun sebelum itu, kami bawakan kronologi hidup diva terkenal ini yang pernah menghiasi industri muzik antarabangsa dan menjadi idola ramai.

9 Ogos 1963: Whitney Elizabeth Houston, anak kepada penyanyi gospel Cissy Houston dan bekas tentera serta eksekutif hiburan, John Russell Houston Jr. telah dilahirkan di Newark, New Jersey.

1977: Ketika berusia 14 tahun, Whitney telah menjadi penyanyi latar lagu single Michael Zager Band berjudul "Life's A Party". Zager telah menawarkan kontrak rakaman, tetapi ibunya Cissy menolak kerana ingin Whitney menamatkan pengajian terlebih dahulu. Whitney turut menjadi penyanyi latar untuk Chaka Khan, Lou Rawls dan juga Jermaine Jackson.

1980: Whitney bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi mempunyai rupa paras yang cantik. Dia mula memperaga selepas ditemui oleh seorang jurugambar di Dewan Carnegie. Whitney pernah dipilih sebagai muka hadapan majalah Seventeen, sekaligus menjadikannya antara wanita kulit hitam yang terpilih sebagai muka hadapan. Dia juga pernah muncul di majalah lain seperti Glamour, Cosmopolitan, Young Miss dan banyak lagi.

1983: Wakil Artista Records, Gerry Griffith melihat Whitney membuat persembahan bersama ibunya di sebuah kelab malam di Kota New York dan sangat kagum dengan bakatnya. Griffith berjaya meyakinkan ketua label tersebut, Clive Davis untuk menawarkan kontrak rakaman.

14 Februari 1985: Hampir dua tahun selepas itu, album debut Whitney mula dipasarkan dengan single pertamanya, "How Will I Know" menjadi hits dan berada di tempat teratas carta muzik, sekaligus namanya mula dikenali oleh generasi MTV dan menjadikannya sebagai artis wanita Afrika-Amerika pertama yang mendapat sambutan di MTV.

1986: Albumnya berjaya menduduki tempat pertama dalam carta Billboard ketika penghujung tahun 1986. Album pertamanya juga berjaya memenangi Anugerah Grammy dan dinobatkan sebagai Album Terbaik untuk tahun 1986 oleh Rolling Stone.

1987: Whitney muncul dengan album keduanya berjudul "Whitney". Dia menerima anugerah Grammy kedua untuk Persembahan Pop Vokal Wanita Terbaik untuk lagu "I Wanna Dance With Somebody".

1989: Masalah bermula! Whitney bertemu penyanyi R&B, Bobby Brown di Anugerah Muzik Soul Train.

1992: Hampir dua tahun selepas bertemu Brown, pasangan ini berkahwin pada 18 Julai 1992. Pada tahun yang sama, Whitney membawa bakat nyanyiannya ke layar perak menerusi filem pertamanya, "The Bodyguard" yang berjaya mencipta kejayaan sehingga mendapat kutipan mencecah AS$120 juta (RM 365.4 juta).

1993: Whitney memulakan siri jelajah dunia dan melahirkan satu-satunya puteri sulung hasil perkahwinan dengan Brown, Bobbi Kristina Houston Brown.

2000: Whitney telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kona, Hawaii selepas cuba menyeluduh satu bag mengandungi dadah. Pada tahun yang sama, Whitney memenangi Pencapaian Seumur Hidup di Anugerah BET atas usahanya kepada muzik Afrika-Amerika.

2002: Selepas khabar angin mengenai penyanyi ini meninggal dunia tersebar, Whitney mengakui kepada pembaca berita stesen ABC, Diane Sawyer bahawa dia pernah menyalahguna pelbagai bahan terlarang seperti alkohol, ganja, kokain dan ubat yang dipreskripsi.

Disember 2003: Suami Whitney, Bobby Brown ditahan kerana mengasari Whitney dalam satu pertengkaran. Whitney tampil dan memberitahu semuanya adalah salah faham.

Mac 2004: Whitney mendaftarkan diri ke pusat pemulihan atas masalah penyalahgunaan bahan terlarang tetapi keluar selepas lima hari. Jurucakap penyanyi ini menegaskan semuanya dalam keadaan baik dan Whitney ingin meneruskan program pemulihan sebagai pesakit luar.

Mac 2005: Setahun selepas itu, Whitney masuk semula ke pusat pemulihan untuk rawatan.

Oktober 2006: Penyanyi ini memfailkan perceraian daripada Brown selepas 14 tahun berkahwin. Pasangan suami isteri R&B sah bercerai secara rasmi enam bulan kemudian. Whitney diberikan hak penjagaan sepenuhnya anak mereka, Bobbi Kristina.

2010: Harapan untuk kembali ke pentas dalam siri jelajah musnah apabila Whitney membatalkan beberapa persembahan kerana didakwa sakit.

Mei 2011: Whitney kembali ke pusat pemulihan buat kali ketiga. Dia mendaftarkan dirinya sebagai pesakit luar program secara sukarela.

Oktober 2011: Whitney dilaporkan terlibat dalam pergaduhan dengan seorang pramugari. Jurucakap penyanyi ini menegaskan ia berlaku kerana Whitney kepenatan.

2011: Walaupun kehidupannya agak huru-hara pada tahun 2011, dia terlibat dengan pengambaraan filem pertama lebih daripada sedekad yang lalu berjudul "Sparkle" sebagai penerbit dan pelakon. Filem olahan semula tahun 1976 dengan judul yang sama mengisahkan tiga adik-beradik yang menjadi kumpulan penyanyi sekitar 1950-an. Diarahkan oleh Salim Akil, "Sparkle" turut menampilkan Jordin Sparks, Derek Luke, Mike Epps dan Cee Lo Green.

11 Februari 2012: Whitney ditemui mati dalam tab mandi di bilik Hotel Beverly Hilton, California beberapa jam sebelum persembahannya di pra-Grammy. Diva tersohor ini disahkan meninggal dunia pada jam 3.55 petang pada usia 48 tahun. Laporan autopsi menunjukkan terdapat kandungan air dalam paru-parunya, tetapi masih belum dapat mengesahkan punca kematian. Laporan toksikologi dijangka siap sekitar 4-6 minggu lagi. Jenazah Whitney bakal dikebumikan di negeri kelahirannya, New Jersey.

No comments:

Post a Comment