Monday 20 February 2012

Kaer kembali di persada seni tanah air


Mungkin ada yang masih mengingati finalis program realiti "Akademi Fantasia" musim kedua ini yang pernah popular dengan lagu "Izinku Pergi" satu ketika dulu.
Kini selepas empat tahun menyepi dan menetap di negara seberang Jakarta, Indonesia, pemilik nama sebenar Wan Mohammad Khair Wan Azami Hamzah bakal kembali ke industri hiburan tanah air dengan buah tangan yang baru.

Ikuti temubual bersama Kaer.


Hai Kaer! Boleh ceritakan perkembangan terbaru selepas empat tahun menyepi?
Hai! Saya baru sahaja menamatkan pelajaran ijazah dalam bidang perniagaan di Jakarta, Indonesia. Sudah hampir dua bulan saya kembali ke Malaysia. Saya baru sahaja meriliskan lagu single dan album penuh saya dijangka siap sepenuhnya tahun ini juga. Saya mengambil peluang untuk berkongsi dengan peminat mengenai minat sebenar saya ketika menghasilkan album ini. Genre yang dipilih juga menepati citarasa saya iaitu pop rock. Sebelum ini ramai yang mengetahui saya cukup sinonim dengan genre balada. Namun apa yang orang tidak tahu, genre pop rock adalah minat saya sejak dari kecil lagi. Saya sudah didedahkan dengan elemen muzik rock daripada ayah yang gemarkan lagu dari kumpulan Pink Floyd dan sebagainya.

Adakah Kaer bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman buat masa sekarang?
Tidak. Selepas tamat pelajaran dan selama lapan tahun saya berkecimpung dalam industri hiburan, saya terlibat dalam setiap proses pembikinan lagu atau album dari segi mencipta sehinggalah proses rakaman akan dilakukan oleh pihak saya sendiri.
Ketika berada di luar negara, pasti banyak budaya dan persekitaran yang sukar diadaptasi dengan budaya kita.

Boleh ceritakan pengalaman berada di negara orang?
Sukar sebenarnya untuk mengadaptasi budaya mereka ke dalam diri saya kerana tidak biasa tinggal lama di negara orang. Kehidupan dan cara hidup mereka juga berlainan. Namun niat dan azam untuk pergi ke sana demi belajar telah saya tunaikan. Saya berjaya menamatkan ijazah selepas berhempas-pulas selama empat tahun. Saya di sana bukan sahaja untuk belajar perniagaan, tetapi ada juga belajar seni reka dan juga muzik.

Selain daripada pembikinan album, ada perancangan untuk projek lain?
Saya bakal membuka butik di bawah jenama sendiri iaitu "Kazami Omm" yang akan menjual pakaian lelaki dan wanita. Ia sudah lama diusahakan iaitu lebih kurang setahun yang lalu. Label pakaian saya pernah menyertai minggu fesyen yang diadakan di Indonesia dan Filipina. Tidak ramai yang tahu tentang kewujudan label ini, oleh itu saya mengambil kesempatan untuk menghebahkan kepada semua di luar sana.
Lupakan sebentar tentang lagu. Mari bercerita tentang lakonan. Ada mendapat tawaran untuk berlakon?
Buat masa ini tiada tawaran diterima. Sebelum ini pernah ditawarkan untuk berlakon tetapi saya tidak dapat memberi komitmen ketika itu, lalu terpaksa ditolak dengan cara baik. Jika sekarang diberi skrip dan pengarah yang bagus, saya akan cuba memberikan yang terbaik. Saya suka mencuba sesuatu yang baru.

Kaer pernah berlakon sebelum ini?
Tidak di skrin televisyen atau layar perak tetapi sebelum ini pernah berlakon teater. Itu pun ketika saya masih kecil.

Apa yang Kaer inginkan jika diberi peluang berlakon?
Saya ingin menjadi yang terbaik dalam apa jua bidang yang saya ceburi. Saya tidak mahu berlakon dan digelar hangat-hangat tahi ayam kerana tidak serius. Saya ingin menghayati watak tersebut dan betul-betul menjiwai watak yang diberikan. Saya tidak mahu berlakon hanya kerana mahu popular. Satu tentang diri saya ini adalah saya langsung tidak gemar dengan populariti dengan hanya membintangi filem, sebaliknya memberikan persembahan yang terbaik untuk peminat.

Terima kasih, Kaer. Jumpa lagi di masa akan datang!
Sama-sama. Terima kasih juga atas kesudian menemubual saya dan insyaAllah, jumpa lagi nanti.

No comments:

Post a Comment