Wednesday 22 February 2012

Persiapan LISA SURIHANI menjelang perkahwinan

Lari daripada aktiviti 'wajib' kebanyakan bakal pengantin masa kini yang lebih gemar mendapatkan rawatan spa untuk kelihatan berseri dan cantik di hari bahagia mereka, aktres popular, Lisa Surihani yang akan diijabkabulkan dengan penyanyi, produser dan pengarah filem, Yusry Abdul Halim pada 23 Februari ini lebih selesa mengamalkan petua orang lama sebagai regimen kecantikannya.

Menurut Lisa, dia menuruti kehendak ibunya, Siti Amira Ahmad yang mahu melakukan upacara mandi bunga, majlis berinai dan khatam Al-Quran sempena majlis perkahwinan tersebut.
Jelas Lisa lagi, ibunya berpendapat, meskipun majlis perkahwinan yang dirancang dibuat secara sederhana, namun ia tidak bermakna amalan dan budaya tradisi Melayu dilupakan.

"Justeru itu pada 17 Februari lalu, saya telah melakukan majlis berinai dan mandi bunga di rumah kawan saya, kemudian selang dua hari selepas itu pula saya mengadakan majlis khatam Al-Quran bersama saudara-mara wanita sahaja.
"Seminggu sebelum itu pula, saya meminta penyanyi, Datuk Julie Sudiro mengajar saya mengaji untuk melancarkan lagi setiap bacaan dan sebutan ketika membaca Al-Quran," ujar Lisa yang dipetik dari laman mStar.
"Saya berasa seronok melakukan semua amalan tersebut bersama teman rapat dan sanak saudara kerana ianya seperti kembali mempraktikkan budaya nenek moyang yang semakin dilupakan.
"Selepas mengadakan majlis khatam Al-Quran, berinai dan mandi bunga, terasa sejuk hati dan dalam pada masa yang sama jiwa menjadi tenang," jelas aktres berusia 25 tahun ini lagi.

Pasangan selebriti ini bakal diijabkabulkan di Hotel Marriot, Putrajaya Khamis ini, manakala majlis resepsi pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari.
Bakal mengenakan busana pengantin rekaan Butik Cosry untuk kedua-dua upacara, pernikahan dan persandingan, Yusry dan Lisa memilih konsep perkahwinan ala 'French Vintage' diinspirasikan daripada Ratu Perancis, Marie Antoinette yang akan divisualkan oleh KS Entourage.

Ditanya mengenai persediaannya melangkah ke alam berumah tangga, Lisa menyatakan ibunya telah memberi pelbagai nasihat kepadanya dalam menjadi isteri yang sempurna untuk suami.

"Ibu saya berkata bila sudah jadi isteri, harus ada sikap bertolak ansur, tidak mudah melatah dan patuh pada suami. Paling penting, perlu tahu bahawa alm rumah tangga tidak selalunya indah. Jika tidak bijak mengawal emosi ia boleh menggangu diri. InsyaAllah, saya akan mengikuti setiap nasihat ibu," ujar Lisa.
Lisa dan Yusry yang akan berbulan madu di Eropah selepas majlis perkahwinan nanti turut berharap agar para peminat mendoakan kebahagiaan rumah tanganya kelak.

1 comment:

  1. Tahniah Lisa n Yusry..semoga jodoh u ollzz kekal sampai ada anak cucu ok... :-)

    ReplyDelete