Thursday 4 July 2013

3.2 JUTA TONTON TEDUHAN KASIH


Seakan tidak percaya apabila melihat hampir 2,000 peminat hadir memenuhi perkarangan Restoran Rasta, Sungai Penchala pada Majlis Tayangan Eksklusif Episod Akhir ‘Teduhan Kasih’ yang ditayangkan satu jam lebih awal iaitu jam 6 petang daripada waktu siaran di TV3, pada Selasa lalu.

Menariknya, mereka hadir seawal jam 4 petang lagi bagi memastikan tidak terlepas peluang mendapat posisi terbaik untuk menonton dalam majlis yang turut dihadiri barisan pelakon Teduhan Kasih iaitu Adi Putra, Sherry Ibrahim, Nabila Huda, Zarina Zainuddin, Talha Harith, Julia Ziegler, Kamalia Mat Dom, Sharisa Chong dan pengarahnya, Jamal Khan.

Keghairahan mereka untuk melihat sendiri wajah pelakon pujaan terutamanya Adi Putra yang membawakan watak Ehsan membuatkan ada yang berasak-asak sehingga keadaan menjadi tidak terkawal. Begitu juga setiap kali wajahnya terpampang di skrin gergasi, pasti peminat akan bersorak tanda suka.


Turut menerima sorakan gemuruh ialah Nabila yang membawakan watak antagonis sebagai Iffa. Ramai yang tertarik dengan karakter dibawanya sehinggakan ada yang ketawa apabila dia akhirnya hilang ingatan pada akhir cerita selepas mengalami kemalangan.


Selain sesi tontonan, novel Teduhan Kasih karya Marissa turut dijual untuk peminat. Mereka yang memilikinya boleh mendapatkan tandatangan setiap pelakonnya. Ini membuatkan ramai yang berebut-rebut membelinya bagi memastikan tidak terlepas mendapatkan tandatangan artis pujaan mereka. Sekali lagi petugas dari TV3 terpaksa mengawal keadaan agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.


Melihatkan fenomena ini, Adi Putra menyifatkan peminatnya ‘gila’. Namun ia bukan bermaksud negatif sebaliknya merujuk kepada sokongan yang diberikan pada dirinya serta drama ini sendiri.

“Gila peminat saya ini sangat ikhlas dan perlu dilihat dari sudut yang positif. Saya amat terharu dan gembira dengan sokongan yang diberikan. Diharapkan ianya berterusan untuk saya serta industri seni tanah air. Saya juga harap mereka mendoakan kebaikan saya,” katanya yang terharu dengan apa yang berlaku.

Nabila pula memberitahu perasaannya terkejut melihatkan ramai peminat yang hadir ke majlis petang itu. Secara jujurnya dia berasa malu melihat lakonannya sendiri dalam Teduhan Kasih.

“Sebelum ke sini saya terbabit dengan penggambaran sebuah drama lain. Seorang kawan menghubungi saya memberitahu ramai peminat hadir sekali gus membuat saya berdebar-debar. Tak sangka sambutan yang diterima pada watak saya begitu hebat kerana sebenarnya saya sudah lama tak berlakon watak antagonis,” katanya yang tidak putus-putus dihampiri peminat untuk bergambar.



Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin memberitahu, Teduhan Kasih yang bersiaran menerusi slot Akasia TV3 sejak 15 Mei lalu menjadi drama pilihan nombor satu di kalangan penonton Malaysia dengan catatan kadar tontonan sebanyak 3.2 juta penonton pada episod yang ke-20.

“Lebih teruja, episod akhir Teduhan Kasih berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.6 juta (15.2 TVR) atau 53 peratus syer penonton (Total 4+) dari sumber: Nielsen Audience Measurement. Secara pukal, kadar tontonan episod akhir Teduhan Kasih mencecah 4.1 juta penonton sepanjang siaran dari jam 7 petang hingga 8 malam pada 2 Julai lalu. 

Bukan saja di kaca televisyen, Teduhan Kasih juga mencipta rekod baru dalam sejarah Tonton di mana ia drama pertama yang berjaya mencatat tontonan video tertinggi hampir 3 juta sepanjang musim termasuk episod akhir. Selain itu, sebanyak 413,865 tontonan tercatat menerusi Live TV sepanjang musim di laman web www.tonton.com.my.

No comments:

Post a Comment