Sunday 14 July 2013

ADIRA AKAN BERTUNANG?


Penyanyi Adira menafikan dia telah bertunang dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBG1M)iaitu Shahrul Nasrun Kamarudin seperti yang didakwa ramai pihak.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 23, berkata, sebaliknya dia baru sahaja mengenali pemuda tersebut sejak beberapa bulan lalu dan terkejut apabila dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.

"Nak tergelak saya apabila orang kata kami akan bertunang dan nak berkahwin. Mana ada, kami baharu saja kenal.

"Peliklah apabila masih ada segelintir individu yang membuat spekulasi dan andaian tanpa usul periksa," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.

Bagaimanapun tambah Adira, dia mengakui bahawa Shahrul adalah lelaki yang paling rapat dengannya dan sedang mengenali hati budi masing-masing, cuma perhubungan itu masih lagi belum sampai ke tahap yang serius.

"Kami masih mengenali diri masing-masing. Belum serius, tetapi melihatkannya cukup serius dalam kerja dan sering membantu golongan yang susah membuatkan saya tertarik dengannya," ujar Adira.

Pada minggu lalu, Adira heboh dikaitkan dengan Shahrul apabila penyanyi itu sering memuat naik foto mereka berdua di laman sosial Instagram.

Lebih menjadi tanda tanya pada semua, apabila pereka fesyen Ezuwan Ismail pula memuat naik foto Adira dan Shahrul yang sedang menempah baju dengan tulisan status 'Baru selesai berbincang dengan Adira dan Shahrul persediaan untuk...'.

Beritahu Adira, ramai yang salah faham berkenaan status yang ditulis Ezuwan kerana tujuan dia dan Shahrul menempah baju adalah bagi menghadiri majlis perkahwinan pereka fesyen itu di Kelantan yang bakal berlangsung pada Hari Raya ketiga.

"Jadi memandangkan Shahrul juga berasal dari Kelantan, maka saya beraya sekali di rumah keluarganya.

"Dan saya pula akan bercuti selama dua minggu untuk pulang ke kampung di Sabah sebelum bertolak ke Kelantan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Adira bakal muncul dengan sebuah single lagu baharu selepas sambutan Aidilfitri nanti dan akan keluar dengan album penuh yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu pada akhir tahun ini.


No comments:

Post a Comment