Monday 1 July 2013

AARON TIDAK TERLIBAT SEBARANG PROGRAM DALAM BULAN RAMADHAN


Tinggal 10 hari lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadan. Stesen televisyen juga bersedia dari awal bagi memastikan sajian menarik sepanjang bulan mulia ini. TV3 dan Astro juga mengadakan sidang media minggu lalu untuk berkongsi hidangan menarik yang disediakan.

Saya tertarik dengan cerita mengenai ketiadaan program membabitkan bintang popular Aaron Aziz di Astro sepanjang Ramadan ini. Menghairankan juga kerana sebelum ini ramai memburu Aaron untuk program mereka kerana yakin dengan populariti dan impak artis kelahiran Singapura itu.


Apabila terlalu banyak program paparkan Aaron hingga wajahnya ada di mana-mana sama ada stesen televisyen dan layar perak, tetapi apabila tiada, tentunya menimbulkan tanda tanya.

Aaron dalam Berita Harian kelmarin mengakui dirinya diperap Astro atas alasan tertentu. Selepas siri Adam & Hawa dan mengacara Fear Factor, tiada produk baru daripada Aaron.


Mungkin ia strategi Astro untuk membuatkan peminat merindui kemunculannya kerana selepas ini Aaron bakal muncul dalam satu drama bersiri 80 episod.


Dalam sinis, Aaron mengatakan, jika sebelum ini ada pihak mempertikaikan kekerapannya muncul di televisyen, tetapi apabila kali ini tiada satu pun program Ramadan membabitkan dirinya, tentu mereka rasa puas.

Secara tidak langsung, Aaron mengatakan situasi ini akan menutup mulut mereka yang bising mempersoalkan kehadirannya di setiap stesen televisyen. Situasi ini sebenarnya bukan hanya dilalui Aaron kerana keadaan ini bermusim. Jika sebelum ini musim Aaron dan setiap stesen TV berebut inginkan dirinya, selepas ini musim orang lain pula. Satu masa dulu, Datuk Siti Nurhaliza terpaksa menelan kata-kata sindiran orang apabila sering menang anugerah. Orang kata asyik-asyik dia yang menang hingga orang lain tidak ada peluang.


Akhirnya Siti mengambil keputusan tidak bertanding di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Waktu sama, Siti terus menghasilkan karya baru untuk album baru dan lagunya terus berkumandang di radio. Kalau bukan lagu baru, yang lama juga terus menjadi perhatian.


Begitu juga Rosyam Nor apabila wajahnya terus menjadi taruhan produser dan pengarah untuk watak utama dalam filem dan drama.


Lebih menjadi buah mulut, watak muda sebagai hero juga masih diberi kepada Rosyam walaupun usianya mencecah 40-an hingga digelar hero tua.


Kini selepas wajahnya menguasai skrin televisyen dan layar lebar, Rosyam meluaskan kerjayanya sebagai produser melalui syarikat produksinya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd. Waktu sama, dirinya terus berlakon. Kalau bukan berlakon dengan produksi sendiri, Rosyam juga berlakon dengan produser lain seperti KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.


Shaheizy Sam juga pernah berlakon satu demi satu filem tanpa henti hingga sepanjang tahun itu, satu demi satu filem lakonannya ditayangkan di pawagam.


Itu selepas filem Adnan Sempit meletup di panggung pada 2010 dan Sam menjadi artis di bawah naungan MIG Talent kerana Metrowealth Pictures (MIG) menghasilkan banyak filem setiap setahun.


Jika filem lakonan seseorang artis itu mendapat sambutan, dia akan terus ditawarkan berlakon. Namun, tahun ini Sam dilihat mengambil pendekatan untuk ‘berehat’ daripada menjayakan filem terbitan MIG apabila mula menerima tawaran dari produksi luar.


Langkah sama dilakukan Yana Samsuddin yang turut memilih pendekatan sama dengan membintangi filem atau drama terbitan produksi lain.


Apa yang saya lihat, bagi mereka yang pernah menjadi rebutan atau pernah melalui musim durian runtuh, kerjaya mereka akan terus berada di landasan seni dengan terus berkarya dan waktu sama mengembangkan kerjaya mereka sama ada menjadi pengarah atau produser. Ketika berehat, jika mereka gunakan sebaik-baiknya untuk melihat jauh ke depan kerjaya seni mereka, pastinya akan memberi ruang untuk merancang sesuatu.


Bagi artis wanita yang terpaksa berehat seketika kerana mengandung, sering kita lihat akan terus bekerja walaupun kandungan sudah besar dan kembali berlakon sebaik tamat tempoh pantang.


Mereka sedia ditempah awal-awal supaya dapat kembali bekerja secepat mungkin. Fasha Sandha yang melahirkan anak lelaki, Putra Rayfal Ramli pada 15 April lalu, kembali ke lokasi drama Tentang Hati berganding dengan Aaron.


Kasihan Fasha terpaksa menanggung rindu kepada anaknya yang ditinggalkan untuk keluar ke lokasi penggambaran. Rasa rindu itu dikongsinya bersama peminat melalui laman Instagram. Ikutkan, apalah yang dikejar Fasha untuk kembali bekerja. Kalau orang biasa hanya diberi cuti dua hingga tiga bulan kemudian kembali meneruskan tanggungjawab, Fasha ada pilihan sama ada mahu kembali bekerja atau terus berehat sehingga anaknya besar sedikit.


Bukannya Fasha terdesak untuk mencari nafkah kerana suaminya mampu. Kalau bukan atas alasan itu, atas alasan apa sebenarnya? Mudah saja. Apabila berada dalam dunia glamor, mereka akan terus mendapat liputan media apabila ada produk baru. Jika tidak, tunggu kontroversi yang membolehkan mereka menjadi buruan media.


Kehadiran produk baru sangat penting bagi artis. Tanpa produk baru, sama ada lagu, drama atau filem, artis itu seakan-akan dilupakan peminat dan media.


Ditambah pula kehadiran ramai muka baru, jika lama tidak muncul di majalah, akhbar, televisyen atau layar lebar, orang menyangka artis itu tidak lagi dikejar promoter atau produser.



0

No comments:

Post a Comment