Friday 5 July 2013

PELAKON HOLLYWOOD YANG ADA ROCK BAND

Jika anda sebut nama mereka, umum akan membayangkan filem dan drama lakonan mereka, gaya glamor mereka tatkala melangkah di karpet merah, dan dialog-dialog yang mereka utarakan.

Namun anda pasti tidak akan membayangkan mereka di atas pentas dengan gitar di tangan, mikrofon di depan mata dan menyanyikan lagu-lagu blues dan rock, melompat di atas pentas dan mengajak orang ramai menyanyi bersama mereka.

Namun begitu, apabila mereka tidak punya sebarang penggambaran atau projek filem untuk dilakukan, para pelakon ini juga meluangkan masa lapang mereka menyanyi bersama band yang dianggotai mereka.


Jared Leto 
Antara bintang filem yang lebih terkenal melalui kumpulan muzik berbanding filem-filemnya, bintang "Chapter 27" ini bersama abangnya Shannon Letto dan rakan mereka, Tomo Milicevic juga menganggotai kumpulan 30 Seconds to Mars.

Sehingga kini, mereka telah mengeluarkan sebanyak empat buah album studio di mana Leto bertindak sebagai vokalis, pencipta lagu dan gitar ritma.


Juliette Lewis 
Pelakon filem "The Basketball Diaries" ini bukan sahaja pelakon yang berdedikasi, malah turut mengetuai kumpulan rock, Juliette & The Licks yang turut dianggotai oleh empat orang anggota lain, kesemuanya lelaki.

Mereka menghasilkan tiga buah album penuh sebelum berpecah pada tahun 2009.


Russell Crowe 
Walaupun anda mungkin mempersoalkan kebolehan nyanyian bintang Aussie, Russell Crowe dalam "Les Miserables", dia bukanlah begitu 'sengsara' dalam bidang nyanyian, kerana Crowe juga merupakan vokalis kumpulan The Ordinary Fear of God Rock. Malah dia juga pernah menubuhkan sebuah kumpulan rock yang bernama 30 Odd Foot of Grunts bersama rakannya, Billy Dean Cochran pada tahun 1992 dan menghasilkan tiga buah album.


Jada Pinkett 
Dia seorang wanita Afro-Amerika. Dia seorang ibu kepada pelakon Jaden Smith dan penyanyi Willow Smith. Dia juga seorang isteri kepada bekas penyanyi rap dan pelakon gred A, Will Smith. Dia juga seorang pelakon yang disegani.

Tapi itu tidak bermakna, Jada Pinkett Smith tidak punya hobi yang berbeza dengan dunia realitinya, kerana dia juga merupakan vokalis dalam kumpulan metal, Wicked Wisdom yang ditubuhkan pada tahun 2002.


Zooey Deschanel 
Jika anda peminat si gadis unik Zooey Deschanel, anda pasti pernah melihat dia menyanyi dalam beberapa buah filemnya, malah meminjamkan suaranya untuk lagu tema sitkom televisyennya, "New Girl".

Namun dia bukan menyanyi untuk mengisi masa lapang. Zooey Deschanel, yang juga merupakan sebahagian dari duo rock popular, She & Him, pernah melancarkan empat buah album penuh dan amat serius dengan kerjaya muziknya.


Ryan Gosling 
Ryan Gosling juga bekas ahli Mickey Mouse Club bersama Justin Timberlake, Britney Spears dan Christina Aguilera, jadi bakat nyanyiannya tidak dapat disangkal lagi. Bezanya, berbanding rakan Disneynya yang memilih laluan pop untuk terus maju dalam bidang nyanyian, Gosling memilih lakonan... dan muzik rock.

Dia menceburi bidang nyanyian melalui duo Dead Man's Bones yang turut dianggotai rakannya Zach Shields sejak tahun 2005. Malah album pertama mereka turut mendapat pujian daripada majalah Rolling Stone.


Elizabeth McGovern 
Cora, Countess of Grantham dalam siri TV Britain, "Downton Abbey" ini mungkin nampak seperti wanita aristokrat tipikal melalui gaya lakonannya dalam siri tersebut, namun realitinya, pelakon yang berasal dari Illinois ini merupakan vokalis sebuah kumpulan yang diberi nama Sadie and the Hotheads.

Kumpulan ini sering bermain secara langsung di sebuah pub di Portobello, London sekitar tahun 2008.


Hugh Laurie 
Jika anda meminati drama perubatan "House", anda pasti sudah tahu kebolehan Hugh Laurie dalam bidang muzik, kerana wataknya sebagai Dr. House seringkali dilihat bermain piano, gitar, dan harmonika.

Namun di luar kotak lakonannya, Laurie juga menubuhkan sebuah kumpulan rock yang dinamakan Band From TV yang turut dianggotai James Denton "Desperate Housewives" dan Bob Guiney. Malah Laurie juga mencipta lagu blues lucu, "Sperm Test in the Morning" untuk filem "Maybe Baby".


Taylor Momsen 
Bintang "Gossip Girl" dan "The Grinch Who Stole Christmas" ini mungkin nampak seperti gadis comel yang lemah, atau gadis Amerika yang tipikal, namun Taylor sebenarnya merupakan seorang penyanyi, gitaris dan penulis lirik untuk kumpulannya, The Pretty Reckless.

The Pretty Reckless juga merupakan antara kumpulan baru yang berjaya, memulakan konsert jelajah mereka dan turut memasuki carta muzik UK melalui lagu pertama mereka.


Malin Akerman 
Pelakon "Suburgatory" ini mungkin bermula sebagai model, dan kemudiannya memasuki dunia lakonan. Tapi pada tahun 2003, ketika terlibat dalam penggambaran filem "Utopian Society", pengarahnya, Francesco Sondelli meminta Akerman menyanyikan beberapa buah lagu diiringi kumpulan alternatifnya, Ozono.

Akerman mengejutkan ramai dengan bakat nyanyiannya dan Ozono segera menjadikannya penyanyi utama, sekaligus menukar nama mereka menjadi The Petalstones. Mereka turut mengeluarkan album pada tahun 2005, dan Akerman mengahwini pemain dram kumpulan tersebut. Roberto Zincone.

No comments:

Post a Comment