Sunday 14 July 2013

FARA FAUZANA INSURANSKAN SUARA


Penyampai radio Hot FM Fara Fauzana mendedahkan dia telah menginsuranskan suaranya sebagai langkah berjaga-jaga jika ia gagal berfungsi atas penyakit-penyakit tertentu.

Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, walaupun ia kedengaran pelik, tetapi dia menyifatkan suaranya begitu penting dan sebagai penyumbang untama memberikan rezeki kehidupan buat diri sendiri dan keluarga.

"Saya mengambil insurans kesihatan yang turut disertakan dengan perlindungan suara sekali. Malu nak bercakap tentang hal ini, maklumlah saya bukannya penyanyi. Datuk Siti Nurhaliza pun tak insuranskan suara dia agaknya.

"Tetapi bagi saya ia penting kerana kerja harian saya menggunakan suara bukan sahaja di konti radio tetapi juga di luar di mana saya mengacarakan pelbagai acara majlis.

"Hati saya mula terdetik untuk menginsuranskan suara selepas pernah pada satu kejadian, saya tidak sakit, tetapi suara hilang dan ia buatkan saya risau," katanya.

Fara ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd bagi meraikan 15 orang warga emas dari Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Restoran Kokopelli Travellers Bistro, di sini, pada Ahad.

Tambah Fara, dia juga pernah terfikir apakah yang akan terjadi sekiranya satu hari nanti dia tidak mempunyai suara lagi. Namun, selain membuat perlindungan insurans suara, dia juga sudah merancang akan memberi fokus kepada kerjaya di belakang tabir penyiaran radio pula.

Sementara itu, mengenai majlis berbuka puasa anjuran Yakult, para tetamu telah disajikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa yang menyelerakan yang telah disediakan khas oleh pihak Kokopelli Travellers Bistro yang menaja sebahagian daripada hidangan pada malam tersebut.

Majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah Jualan dan Pemasaran syarikat Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, Pengurus Perhubungan Awam dan Sains syarikat Yakult (M) Sdn Bhd, Mazlyn Mena Mustapha dan Pengarah Urusan Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Muji Sulaiman telah berlangsung dalam suasana meriah.

Beritahu Fara, buat masa ini dia akan menyertai lima jenis kempen daripada pihak Yakult dan akan menjadi duta kepada produk tersebut pada tahun hadapan.

"Sebenarnya, sebelum menyertai kempen Yakult, saya sudah mula teruja dengan minuman ini yang begitu banyak khasiatnya dan pernah ke kilangnya di Jepun, untuk penggambaran program Nona (TV3).

"Apabila mendapat informasi tentang kebaikannya, dan mengamalkan meminum susu kultur tersebut, saya mula yakin dengan produk ini.

"Kebetulan pula pihak Yakult mahu saya menyertai beberapa kempen sebelum menjadi duta produk ini pada tahun hadapan," katanya.

No comments:

Post a Comment