Thursday, 15 March 2012

SAMBUNGAN SUMPAHAN DI HOLLYWOOD

SAMBUNGAN SUMPAHAN DI HOLLYWOOD


The 27 Club
Sumpahan 'The 27 Club' atau Kelab 27 ini merujuk kepada sekumpulan pemuzik paling berpengaruh dalam genre muzik rock dan blue di mana hampir kesemua ahlinya meninggal dunia ketika berusia 27 tahun. Antara punca kematian selebriti ini adalah normal dan terdapat juga beberapa siri kematian aneh dan mencurigakan menyelubungi kematian mereka. Misalnya gitaris, penyanyi dan penulis lagu legenda, Jimi Hendrix yang maut kerana tertelan muntahnya sendiri selepas mengambil ubat tidur bersama wain, Janis Joplin, mati kerana penggunaan heroin berlebihan, vokalis The Doors, Jim Morrison, yang dikatakan mati kerana kegagalan jantung walhal tiada sebarang bedah siasat dijalankan, vokalis Nirvana, Kurt Cobain dipercayai membunuh diri (kematian Cobain menimbulkan pelbagai spekulasi dan drama yang melibatkan isterinya, Courtney Love, dipercayai berkait rapat dengan isu harta) dan ahli baru kelab ini, Amy Winehouse yang meninggal tahun lalu akibat pengambilan alkohol berlebihan.

Sumpahan Superman
Sumpahan ini merujuk kepada beberapa siri kematian membabitkan pelakon yang memegang watak superhero ini. Siri kematian tragik Superman bermula sejak tahun 1959 lagi apabila aktor, George Reaves yang memegang watak Superman dalam filem "Superman And The Mole Men" (1951) ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala. Pada tahun 1963 pula, pekerja Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy telah meluluskan kisah Superman di mana superhero tersebut kononnya memiliki bentuk fizikal presiden tersebut. Namun malangnya Kennedy maut ditembak sebelum cerita tersebut disiarkan. Christopher Reeve yang memegang watak Superman/Clark Kent dalam siri filem Superman 1,2,3 dan 4 sekitar tahun 1978 – 1987, mengalami kecacatan dari leher hingga ke bahagian bawah tubuh selepas terjatuh ketika menunggang kuda pada tahun 1995. Reeve, kemudiannya meninggal pada tahun 2004 akibat kegagalan jantung. Sumpahan ini tidak hanya berlaku pada Superman semata sebaliknya, 'baby Superman' atau Lee Quigley, yang memegang watak Kal-El ketika bayi dalam filem "Superman" (1978), meninggal pada tahun 1991 ketika berusia 14 tahun akibat masalah pernafasan.

Sumpahan Keluarga Lee
Sumpahan keluarga Lee ini bermula apabila aktor dan jagoan seni mempertahankan diri, Bruce Lee, yang telah berkongsi rahsia seni mempertahankan diri dari timur kepada dunia barat seterusnya mencipta empayar lakonannya tersendiri. Pada tahun 1973, ketika Bruce Lee sedang dalam proses menyiapkan filem "Enter The Dragon", aktor tersebut mengadu sakit kepala yang teruk lalu memakan pil dan terlena selamanya. Anak lelakinya pula, Brandon Lee, mengikut jejak langkah bapanya menceburi dunia lakonan. Selepas cubaan demi cubaan dalam dunia lakonan dengan hanya menggalas watak kecil, Brandon yang cuba lari daripada bayangan bapanya, akhirnya berjaya memegang watak utama dalam filem "The Crow". Walaubagaimanapun, 21 tahun selepas kematian bapanya, aktor berusia 28 tahun itu mati ditembak dengan pistol yang digunakan sebagai prop untuk filem tersebut tetapi diisi dengan peluru sebenar. Kematian Brandon mencetus spekulasi dan perdebatan melibatkan pengkritik filem, peminat terhadap produksi filem tersebut yang mempersoalkan bagaimana pistol yang dijadikan sebagai salah satu prop filem boleh diisi dengan peluru sebenar?

Sumpahan Billy Bob Thornton
Dipercayai sejak tahun 1998, empat orang pelakon yang pernah berlakon disamping aktor Billy Bob Thornton menemui ajal manakala dua lagi pelakon ditimpa kemalangan. Mangsa pertama adalah J.T Walsh yang berlakon di samping Billy Bob dalam filem "Singshot" yang meninggal dunia pada tahun 1998 akibat serangan jantung. Aktor John Ritter, yang sama-sama membintangi filem "Bad Santa" disamping Thornton meninggal dunia ketika menjalani pembedahan hati pada 11 September 2003. Beberapa tahun kemudian, Bernie Mac, juga salah seorang aktor yang membintangi "Bad Santa", meninggal dunia kerana komplikasi akibat pneumonia. Aktor kelahiran Australia, Heath Ledger bertemu Thornton ketika sama-sama membintangi filem "Monster's Ball" pada tahun 2001. Lapan tahun kemudian, Ledger meninggal dunia akibat pengambilan ubat berlebihan yang tidak disengajakan. Dua orang pelakon sampingan Thornton yang diklasifikasikan bertuah dan imun dengan sumpahan tersebut adalah Morgan Freeman dan Shia LaBeouf di mana kedua-dua aktor ini selamat selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya serius (secara berasingan) pada tahun 2008.

John Lennon & Sumpahan Nombor 9
Sebagai salah seorang insan paling berpengaruh di dalam industri muzik dunia, pengasas band lagenda dan ikonik The Beatles, John Lennon percaya bahawa dirinya adalah insan paling bertuah di dunia. Malah kehidupannya dipenuhi dengan nombor 9. Dilahirkan pada 9 Oktober, The Beatles muncul dalam "Ed Sullivan Show" buat pertama kalinya pada 9 Februari 1964, The Beatles dibubarkan selepas 9 tahun bersama, John Lennon bertemu Yoko Ono pada 9 November 1966, sembilan tahun kemudian anak sulung mereka, Sean Lennon lahir pada 9 Oktober 1975 dan bermula dari sinilah nombor bertuah Lennon bertukar menjadi satu sumpahan malang buatnya. Sembilan tahun selepas berpindah ke New York, Lennon ditembak mati pada jam 11.07 malam (1+1+7=9) pada 9 Disember, di mana tarikh tersebut adalah tarikh di Liverpool (9 huruf) iaitu tempat kelahiran Lennon.

Sumpahan Filem "Atuk"
"Atuk" mengisahkan mengenai seorang natif Alaska memasang impian untuk ke Bandar New York. Sumpahan filem ini melibatkan kesemua pelakon utama yang pernah 'menyentuh' skrip filem tersebut. Aktor komedi terkenal, John Belushi merupakan orang pertama diberikan watak utama filem itu dan merupakan mangsa pertama sumpahan tersebut. Semasa sedang berlatih untuk filem tersebut, John Belushi kemudiannya ditemui mati kesan daripada pengambilan kokain dan heroin berlebihan. Skrip filem itu kemudiannya diberikan kepada aktor, Sam Kinison, yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya tragis dua tahun selepas membaca skrip tersebut. Seterusnya, pelawak kesayangan ramai, John Candy, meninggal dunia akibat serangan jantung semasa sedang membaca skrip tersebut. Skrip filem tersebut, kemudiannya beralih tangan kepada aktor, Chris Farley, yang meninggal dunia selepas jantungnya tidak berfungsi kesan daripada campuran kokain dan morfin berlebihan. Mangsa terakhir adalah kawan baik Farley, Phil Hartman yang sama-sama berkongsi skrip filem tersebut dengannya, meninggal dunia dalam satu tragedi bunuh diri yang dilakukan oleh isteri Hartman sendiri. Beberapa sumber mengatakan skrip filem tersebut masih wujud, disimpan di salah sebuah lokasi misteri di Hollywood, menanti waktu untuk memakan korban semula.

No comments:

Post a Comment