Thursday, 8 March 2012

Pengarah OMBAK RINDU bakal menamatkan zaman bujang


Pengarah filem "Ombak Rindu", Osman Ali bakal mendirikan masjid bersama kekasih hatinya iaitu seorang jurutera, Aishah Sanai pada 11 Mac akan datang.

Bercakap ketika ditemubual di dalam program berita hiburan "Gala TV" di Astro Awani malam semalam, Osman memberitahu majlis pernikahan akan dibuat di kampung halaman Aishah di Bintulu, Sarawak dan dia bersama ahli keluarga bakal berlepas ke sana pada Jumaat ini.

Sementara itu pihak keluarga Osman hanya akan mengadakan majlis secara sederhana di kampung halamannya di Langkawi pada 2 Jun akan datang.

Walaubagaimanapun, Osman memberitahu mereka masih belum bercadang untuk mengadakan majlis di Kuala Lumpur. "Buat masa ini masih belum ada sebarang perancangan di Kuala Lumpur. Cuma ada majlis untuk keluarga terdekat di Langkawi. Saya juga ada menjemput rakan-rakan dari Kuala Lumpur untuk hadir di majlis tersebut," ujar Osman.

Pasangan ini sudah berkenalan selama tiga tahun tetapi disebabkan komitmen karier masing-masing, majlis perkahwinan mereka tertangguh. "Walaupun kami dalam dua bidang yang berbeza, tetapi ada keserasian yang membuatkan kami mampu berkomunikasi dengan baik. Itulah jodoh yang ditentukan oleh Allah.

"Sangat menarik apabila kita saling berkongsi pengalaman dalam kerjaya masing-masing. Dia banyak menyokong kerjaya saya dan itu yang membuatkan saya tertarik dengannya. Setiap kali ada idea baru untuk menghasilkan filem, saya pasti akan berbincang dengannya," jelas pemenang kategori Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin baru-baru ini.

Sebelum mengarah "Ombak Rindu", Osman pernah muncul dengan filem "Puaka Tebing Biru", "Anak Halal" dan "Bunohan". Filem terbarunya, "Jiwa Taiko" dijangka menemui peminat tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment