Friday, 23 March 2012

Gabungan 3 negara dalam teater GERIMIS MENGUNDANG


Lebih kurang seminggu sahaja lagi, teater muzikal "Gerimis Mengundang" (TMGM) bakal membuka tirai persembahan. Menariknya teater arahan Ahmad Idham ini bakal dijayakan menerusi gabungan pelakon dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. Ia sekaligus menjadikan teater ini sebagai sebuah pementasan teater serumpun yang pertama dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 27 Mac sehingga 8 April ini.

Kolaborasi julung kalinya ini mempertemukan Mikha Tambayong dari Indonesia, Shenthy Feliziana dari Singapura serta bintang berbakat besar tanah air terdiri daripada pelakon muda, Kamal Adli selaku teraju utama dan dibantu oleh Taiyuddin Bakar, Najua P. Ramlee, Mustaqim Mohamed Zaki dan Rosli Taib.
Selain itu, satu lagi tarikan bagi teater terbitan kerjasama tiga buah produksi iaitu Erama Creative, Excellent Pictures dan Global Network dengan kerjasama Istana Budaya ini menampilkan helikopter sepanjang pementasan, sekaligus mencipta sejarah tersendiri dalam industri teater tempatan.

Meskipun penggunaan teknologi penerbangan helikopter dalam pementasan ini bukanlah kali pertama direalisasi kerana sebelum ini teater "Broadway Miss Saigon" pernah menggunakannya.
"Sukar untuk saya jelaskan dengan lebih terperinci. Senang kata, datanglah beramai-ramai ke Istana Budaya, kita tengok helikopter atas pentas," kata Ahmad Idham ketika ditemui di majlis doa selamat teater muzikal "Gerimis Mengundang" semalam.

Dalam pada itu, pengarah berwibawa ini yakin dan bersedia untuk mempersembahkan karya yang sebelum ini hanyalah sekadar impiannya kerana mendapat komitmen yang baik daripada barisan pelakon serta tenaga produksi.

"Jika dulu, karya ini hanyalah impian saya sahaja. Namun kini saya betul-betul bersedia untuk mempersembahkan kepada penonton. Saya pasti ianya sebuah teater muzikal yang cukup berbeza," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, filem "Gerimis Mengundang" bakal ditayangkan serentak di 80 buah pawagam di Malaysia dan 50 pawagam serta 30 pawagam digital di Indonesia bermula 31 Mei akan datang.

No comments:

Post a Comment