Tuesday, 2 July 2013

TRIKUEL FILEM HOLLYWOOD

 Apakah itu trikuel? Trikuel merupakan filem ketiga, atau sekuel kedua sesebuah francais filem. Adakalanya sebuah trikuel dapat menaikkan semula populariti dan kualiti francais, dan adakalanya tak ubah seperti kaki yang menendang sebuah francais untuk jatuh ke dalam gaung kehancuran.

 kami senaraikan beberapa filem ketiga yang berjaya menaikkan semula atau meruntuh francais filem di Hollywood.


"The Godfather: Part III" (1990) 

Kali pertama Francis Ford Coppola menghasilkan filem "The Godfather", semua orang memuji nilai estetika adaptasi novel Mario Puzo mengenai naik jatuhnya keluarga Don Vito Corleone ini. Apabila Coppola kembali dengan "The Godfather II", filem tersebut juga turut mendapat tempat di hati peminat kerana lakonan Al Pacino yang cemerlang, sekalipun tidak sehebat yang pertama, di mana Marlon Brando berjaya menjadikan watak tersebut antara watak yang paling diingati dalam sejarah perfileman sepanjang masa.

Malangnya "The Godfather III" tidak memberi sebarang markah tambahan kepada francais ini. Sekalipun Al Pacino masih mendapat pujian atas lakonannya yang hebat, ramai yang mempertikaikan kemasukan Sofia Coppola dalam filem ini, yang dirasakan hanyalah satu usaha Coppola untuk menaikkan nama anak perempuannya.Tiada apa yang baru dalam "The Godfather III" yang tidak pernah dilihat dan dikejutkan dalam filem pertama dan keduanya.

Baik atau Buruk: Buruk, kerana masih berpaut pada kejayaan lalu


"Back to the Future 3" (1990) 
Ketika "Back to the Future" ditayangkan pada tahun 1985, filem tersebut mendapat sambutan ramai bukan sahaja kerana plot yang menarik, tapi juga kerana tarikan yang ada pada Michael J. Fox sebagai watak utamanya, Marty McFly. Malah filem keduanya juga mendapat tempat di hati peminat kerana masih menggunakan formula yang sama, cuma bezanya, watak Marty McFly lakonan Fox pergi ke masa depan, dunia alternatif dan masa lampaunya kembali, jadi jika penonton tidak terhibur dengan masa depan, mereka ada dua pilihan lagi!

Tapi filem ketiganya lebih menitikberatkan kisah Doc Brown, saintis aneh yang menjadi rakan karib kepada McFly dan pencipta mesin masa DeLorean. Sekalipun watak tersebut disukai ramai, itu tidak bermakna para penonton teringin hendak menonton kisah cinta Doc Brown, apatah lagi bila berlatarkan Era Koboi.

Baik atau Buruk: Buruk. Cinta Doc Brown bukan "Romeo and Juliet".


"The Lord of the Rings: The Return of the King" (2003) 
Sukar untuk mengatakan filem "Return of the King" adalah lebih baik dari yang pertama dan kedua atau tidak, kerana setiap bahagian mempunyai maksud dan perjalanan cerita yang sudah ditetapkan, dan masing-masing telah dihasilkan dengan cara yang terbaik oleh pengarahnya, Peter Jackson. "The Fellowship of the Ring" disukai ramai kerana pengenalan karakter dan advencernya, sementara "The Two Towers" gah kerana klimaks pada babak Helm's Deep, yang menyelamatkan filem itu dari kancah kebosanan.

Namun dalam masa yang sama, "Return of the King" juga merupakan klimaks bagi semuanya. Babak pertarungan di Pelennor Fields dan Black Gate, kembalinya Aragorn sebagai seorang waris diraja, kebangkitan ala feminism oleh Eowyn, pengembaraan Frodo dan Sam bersama Gollum, disatukan semuanya dalam filem ini. Oh, ia juga dicalonkan untuk 11 kategori Oscar, jadi mungkin itu jawapannya.

Baik atau Buruk: Baik. Ada 11 Pencalonan Oscar!


"Transformers: Dark of the Moon" (2011) 
Ketika Michael Bay menghasilkan filem "Transformers" yang pertama, filem tersebut mendapat sambutan yang sangat hebat. Ramai yang mahu menyaksikan kartun kegemaran zaman kanak-kanak mereka diolah semula dalam bentuk filem aksi sebenar. Unsur rasis? Plot yang tidak masuk akal? Kehadiran watak wanita yang tidak bersebab? Semua itu diketepikan kerana yang paling penting adalah robot 'in disguise'!

Tapi dalam filem keduanya, "Transformers: Revenge of the Fallen", orang ramai mula nampak semua kepincangan ini, apatah lagi apabila Bay memasukkan elemen manusia dengan lebih banyak berbanding fokus terhadap Autobots dan Decepticons. Namun filem itu masih mendapat sambutan hangat. Jadi Bay sekali lagi mencuba untuk filem ketiga, "Dark of the Moon" dengan agak tergesa-gesa. Filem tersebut mungkin lebih baik berbanding "Revenge of the Fallen", namun begitu semuanya tidak ubah seperti menonton aksi kosong yang tidak memberi sebarang makna.

Baik atau Buruk: Lebih Baik dari "Revenge of the Fallen", tapi tidak akan mampu menandingi cinta pandang pertama "Transformers".


"The Bourne Ultimatum" (2007) 
Filem lakonan Matt Damon ini memang dilahirkan sebagai sebuah trilogi, jadi tidak kisah kalaupun pengarahnya bertukar, penulisan yang sama dari Tony Gilroy membolehkan kesinambungan filem ini terjaga. Kisah dalam "The Bourne Ultimatum" bermula hanya beberapa minit selepas kisah dalam "The Bourne Supremacy" berakhir, dan setiap saat dipenuhi emosi dan aksi.

"The Bourne Ultimatum" juga merupakan pengakhiran dan jawapan kepada semua persoalan dalam dua filem sebelumnya. Identiti sebenar Jason Bourne didedahkan dan dia akhirnya berjaya membalas dendam terhadap mereka yang memusnahkan hidupnya selain membayar hutangnya kepada mereka yang telah disakitinya.

Baik atau Buruk: "The Bourne Ultimatum" tidak boleh dikatakan buruk, cuma kurang memuaskan berbanding "The Bourne Identity", tapi mungkin lebih baik berbanding "The Bourne Supremacy".


"Indiana Jones and the Last Crusade" (1989)
Filem "Raiders of the Lost Ark" merupakan filem yang memperkenalkan Indiana Jones dan menaikkan lagi genre advencer kepada umum. Namun begitu, filem Indiana Jones kedua, "Temple of Doom" menerima kritikan hebat kerana agak kurang menarik dan mengujakan berbanding yang pertama dari sudut plot, aksi, malah 'sidekick' Jones sendiri.

Jadi pada tahun 1989, Spielberg cuba mengembalikan perasaan yang sama ketika penonton pertama kali diperkenalkan dengan profesor arkeologi tersebut melalui "The Last Crusade". Malah Spielberg memasukkan pelakon James Bond, Sean Connery sebagai bapa kepada Indiana, Henry Jones Sr., meletakkan semula tentera Nazi sebagai seteru utama, dan menjadikan artifak sebagai subjek utama yang mencetuskan pengembaraan Jones.

Baik atau Buruk: Lebih baik berbanding "Temple of Doom" tapi tidak akan mampu mengalahkan filem pengenalannya. Malangnya, penciptanya, George Lucas gatal tangan dan kembali dengan filem keempat, "The Kingdom of Crystal Skull", merosakkan semula apa yang telah diperbetulkannya dua dekad sebelum itu.

No comments:

Post a Comment