Anggota kumpulan Infinite, Sunggyu memohon maaf atas keterlanjuran memberi kenyataan yang dianggap sensitif berkaitan wanita berumur 30-an.
Dalam laman sosial Twitter miliknya, Sunggyu menulis kenyataan yang dikeluarkannya itu bukan bertujuan mengundang kontroversi atau salah faham, sebaliknya mengaku ia adalah kesilapannya.
“Salah saya sepenuhnya kerana mengeluarkan kenyataan itu. Saya dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada mana-mana wanita yang kecewa dan berkecil hati dengan kata-kata saya itu.
“Permohonan maaf saya ini datang dari hati yang tulus, sedar dan lebih menghormati orang lain selepas ini,” katanya.
Permohonan maaf itu timbul selepas pada rakaman klip belakang tabir program Genius: Rules of the Game menyiarkan perbualan Park Eun Ji, Lee Sang Min dan Sunggyu.
Antara perbualan itu, Sunggyu menyifatkan wanita bertukar menjadi 'yomul' selepas mencecah umur 30-an. Yomul dalam bahasa Korea bermaksud kejam, curang dan penuh muslihat dan bila terma itu merujuk kepada wanita ia bermaksud wanita suka mengambil kesempatan terhadap lelaki untuk kepentingan sendiri.
No comments:
Post a Comment