Baru-baru ini, nama penyanyi Faizal Tahir kembali menjadi sebutan ramai pihak berikutan timbul spekulasi yang mengatakan pelantun "Adrenalin" telah digam oleh oleh stesen televisyen Media Prima, susulan program raya yang melibatkannya telah dibatalkan secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, Faizal, 35, berkata dia tidak kisah dan enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu perkara itu diperbesar-besarkan.
"Sepatutnya saya ada sebuah program raya tahun ini untuk stesen TV berkenaan. Tapi tiba-tiba rakaman program tersebut dibatalkan. Jadi, fikirlah sendiri.
"Saya tak mahu perkara ini diperbesar-besarkan. Tak mengapa lah kalau program tu dibatalkan. Saya anggap tiada rezeki. Saya tidak tahu mengenai penafian pihak stesen TV tersebut. Tapi kalau benar mereka nafikan yang saya digam, sehingga kini saya tidak mendapat sebarang panggilan rasmi atau dipanggil berbincang menjelaskan status saya," katanya kepada Malaysian Digest.
Terdapat spekulasi yang mengatakan Faizal digam kerana kelantangannya bersuara mengenai isu politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu (PRU 13) awal Mei lalu.
"Bukan mudah menjadi jadi artis sebenarnya, apa yang dilakukan menjadi perhatian ramai pihak namun saya bersikap profesional. Untuk bercerita lebih lanjut mengenai kisah saya digam ini sebenarnya tiada apa nak komen namun apa yang boleh saya jawab adalah ada satu program raya tapi tak jadi."
Jelas Faizal, dia tetap akan lantang bersuara di laman social jika ada sesuatu yang tidak menyenangkannya. Katanya, dia tidak mahu mengikut kata-kata orang seperti lalang atau menjaga hati orang lain yang tiada kena mengena dengan perjalanan kariernya.
Dalam perkembangan lain, Faizal merancang untuk mengadakan konsert untuk album ketiganya berjudul "Faizal Tahir" yang sudah pun berada di pasaran sejak empat bulan lalu.
No comments:
Post a Comment