Thursday, 3 May 2012

BRAN- ada tanggungjawab sendiri



Tarikh 20hb April  merupakan detik paling bersejarah bagi 30 orang artis tanahair kerana dengan rasminya kesemua mereka  telah dilantik sebagai BARISAN ARTIS NASIONAL (BRAN). Majlis Pelancaran penuh gilang gemilang oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir bersama YB Dato’ Hamidah Osman bersama Tourism Perak telah diraikan begitu meriah dengan persembahan gerak tari dari negeri Perak  termasuklah nyanyian daripada Barisan Artis Nasional yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur.

Dalam ucapan ringkasnya, Menteri Besar Perak turut menyatakan bahawa peranan para artis amatlah diperlukan dalam memartabatkan lagi usaha murni kerajaan Negeri Perak terutama dalam usaha menaikkan lagi sektor pelancongan Perak di seluruh negara.


Tambahnya lagi, setiap artis sememangnya punya kelebihan yang tersendiri. Ulasnya, umum mengetahui bahawa artis mahupun selebriti secara tidak langsung  punya hubungan rapat terutama dari sudut interaksi dan komunikasi malah punya kredibiliti tersendiri sehinggakan mampu menjadi idola kepada masyarakat umum.  

Bertanggungjawab dalam melaksanakan fungsi utama mewujudkan  BRAN ( Barisan Artis Nasional), Dato’ AC Mizal selaku Duta Pelancongan Perak menyatakan bahawa golongan artis merupakan kompenan yang tidak kurang pentingnya di dalam usaha untuk terus  mempromosikan  negeri Perak ke seluruh ceruk rantau.

Pertubuhan  BRAN yang diasaskan oleh Dato’ AC Mizal juga berperanan sebagai Presiden disamping tenaga penggerak utama iaitu Datin Emylia Rosnaida, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosmila dan beberapa nama lain sebagai AJK penaja awal (sebelum pemilihan jawatankuasa tetap/rasmi kelak) sebenarnya  punya visi yang tersendiri.

Objektif utama selain bertindak sebagai penggiat seni tanahair yang berpendirian teguh dalam menyokong kerajaan, Barisan Artis Nasional juga akan terus menyuarakan cetusan idea yang bernas dalam apa jua isu yang merangkumi profesionalisme yang ada. Malah dengan lantang dan berani, para artis ini juga akan membantah sekiranya timbul sebarang anasir negatif yang mampu meruntuhkan perpaduan serta keharmonian negara.

Justeru, Barisan Artis Nasional juga adalah sebuah pertubuhan yang akan sentiasa  membuka ruang serta peluang pekerjaan kepada setiap ahli di dalam apa jua aktiviti sempena Tahun Melawat Perak 2012 yang pastinya akan dilaksanakan secara bersiri dan berperingkat.

Selaras dengan penubuhan ini,  BRAN jua sedang giat menyenarai dan akan terus mengundang kelompok artis yang ingin bekerjasama dan berganding bahu bagi menyemarakkan lagi agenda Pelancongan Negeri Perak.

Sepanjang tahun 2012, pelbagai aktiviti pelancongan serta rangka lawatan seni dan budaya telah  dirancang secara terperinci agar dapat didedahkan kepada umum tentang keunikan yang ada di sebalik budaya masyarakat Perak. Jadi, dengan penglibatan BARISAN ARTIS NASIONAL pastinya dijangka mampu memberi impak terbaik dalam usaha murni ini.





No comments:

Post a Comment