Wednesday, 16 May 2012
APEK adakan sidang media untuk jernihkan keadaan
Tindakan pelawak terkenal, Saiful Apek 'menyerang' David Teo yang menerajui syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) selepas pemergian teman baiknya, Bob Kuman baru-baru ini telah mengejutkan pelbagai pihak sekaligus.
Mendakwa dirinya teraniaya oleh David Teo yang gagal membayar wang pelaburan sebanyak RM200,000 selepas melaksanakan dua buah filem iaitu "Anak Mami Kembali" dan "Lady Boss" pada tahun 2005 sebelum ini, Saiful Apek walaubagaimanapun terpaksa melupakan hasratnya kerana tuntutan tersebut telah dibatalkan oleh mahkamah.
"Saya tidak diberitahu oleh peguam saya bahawa kes tersebut telah ditutup. Saya hanya mengetahuinya selepas melihat kenyataan David Teo di program "Melodi" tempoh hari yang menunjukkan bukti," ujar Saiful Apek dalam satu sidang media khas yang berlangsung di Tease Bar & Restaurant, Subang Avenue, petang Selasa.
Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff turut menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk mencetuskan isu atau memfitnah penerbit berkenaan.
"Saya tidak akan timbulkan isu tersebut sekiranya ia tidak benar tetapi nak buat macam mana, mungkin saya juga kurang arif tentang hal kontrak yang diberikan kepada saya sebelum ini," jelas Saiful Apek lagi yang turut memberitahu kehadirannya di sidang media tersebut adalah untuk menjernihkan keadaan.
Pada masa yang sama, Saiful Apek turut merancang menjadi sukarelawan dengan menubuhkan Biro Kebajikan Eksklusif Masyarakat Artis Dan Seni (KEMAS) bagi membantu para artis memahami tentang isu kontrak dalam sesebuah produksi serta kebajikan mereka dan krew produksi terjaga.
Apabila ditanya media mengenai 50 selebriti tempatan yang dikatakan akan menghadiri sidang media semalam, Saiful Apek menyatakan bahawa mungkin ada pihak yang tersalah tafsir kerana apa yang dimaksudkannya adalah 50 orang termasuk selebriti yang menyokong kehadiran KEMAS ini.
"Saya beritahu 50 orang yang terdiri daripada krew produksi sehinggalah ke pihak catering dan anggaran tersebut termasuklah selebriti yang banyak memberi sokongan melalui akan laman Twitter saya sendiri dan juga melalui khidmat pesana ringkas (SMS)," katanya lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment