Dia bukanlah seorang penyanyi yang cantik atau bertubuh seksi tetapi dia mempunyai suara lunak yang berjaya membuktikan bahawa untuk berjaya tidak memerlukan 'pakej lengkap', sebaliknya bakat yang perlu dipandang.
Kejayaan dalam karier Adele Laurie Blue Adkins atau lebih dikenali sebagai Adele menerusi album keduanya, "21", yang telah terjual sebanyak 13 juta unit telah berjaya menobatkannya sebagai Artis Tahunan 2011 oleh Billboard dan juga single pertama, "Rolling In The Deep" telah terpilih sebagai Lagu Tahunan Terbaik 2011 oleh MTV.
Penyanyi British berusia 23 tahun ini telah menghasilkan album yang menceritakan luahan perasaan serta kecewa selepas kecundang dalam percintaan, kasih sayang serta memberi semangat untuk meneruskan kehidupan.
Adele turut diumumkan sebagai penyanyi wanita pertama dianugerahkan sebagai Artis Tahunan sepanjang sejarah Billboard dengan mendahului beberapa penyanyi terkenal seperti Justin Bieber, Rihanna, Katy Perry, Lady Gaga, Britney Spears, Nicki Minaj, Chris Brown, Lil Wayne dan Bruno Mars.
Walaupun terkenal di mata dunia dengan kejayaan yang dikecapinya, Adele masih lagi mengekalkan personalitinya seperti baru menceburi industri ini.
"Saya bermula dengan satu label bukan arus perdana di United Kingdom sebelum saya menandatangani kontrak perjanjian dengan Columbia dan Amerika Syarikat. Apa yang saya suka mengenai artis dan label indie, mereka tidak akan melakukan semua perkara sekali gus.
"Jadi mengapa artis ternama perlu melakukannya semuanya sekaligus? Apa yang penting adalah kawalan kualiti karya saya," katanya.
Adele yang menerima enam pencalonan di Anugerah Grammy yang bakal diadakan pada 12 Februari 2012 sedang berehat buat sementara waktu untuk pulih daripada kecederaan peti suara dan telah membatalkan konsertnya sepanjang tahun ini.
No comments:
Post a Comment