Tuesday, 27 December 2011

10 fakta lucu & aneh dalam SHERLOCK HOLMES



Bersempena tayangan filem sekuel "Sherlock Holmes: A Game of Shadows" yang bermula 22 Disember lalu, ketahuilah beberapa fakta tentang watak penyiasat unik era Edward-Victoria ciptaan Arthur Conan Doyle ini.

1. Sekalipun frasa "Elementary, my dear Watson" seringkali dikaitkan dan dijadikan catchphrase Sherlock Holmes dalam drama dan filem, ia tidak pernah ditulis oleh Arthur Conan Doyle sebagai penciptanya dan tidak pernah disebut dalam mana-mana buku "Sherlock Holmes".

2. Holmes tidak pernah bercinta dengan Irene Adler seperti yang ditonjolkan di dalam filem arahan Guy Ritchie. Hanya sekali sahaja watak Holmes bertunang, namun ia dilakukan semata-mata untuk menyelesaikan satu kes dalam "The Adventure of Charles Augustus Milverton". Sekalipun Homes ada menunjukkan minat terhadap sesetengah klien wanitanya (terutamanya Violet Hunter dalam "The Adventure of the Copper Beeches"), dia tidak lagi berminat dengan mana-mana wanita sebaik sahaja wanita itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada masalah atau jalan penyelesaian kesnya. Irene Adler bukanlah kekasih Holmes, tetapi satu-satunya wanita yang pernah berjaya menumpaskan kepintaran dan berjaya membuat Holmes kagum, dalam "A Scandal in Bohemia". Namun begitu, Holmes terkenal kerana sifat budimannya dan amat menawan apabila berada di hadapan para wanita.

3. Topi deerstalker yang sinonim dengan imej Sherlock Holmes di muka depan novelnya atau filemnya tidak dicipta oleh Arthur Conan Doyle, tetapi oleh pelukis ilustrasi rasminya, Sidney Paget.

4. Sekalipun watak Holmes sangat saintifik dan hanya percayakan penyelesaian yang boleh dijelaskan, ironiknya, penciptanya Arthur Conan Doyle percaya dan amat komited dengan spiritualisme, kewujudan pari-pari dan makhluk halus.

5. Terdapat lebih daripada 260 buah filem, dua muzikal dan ballet berdasarkan buku Sherlock Holmes, termasuk komik "Conan" karya manga-ka Gosho Aoyama yang diinspirasi dari nama Arthur Conan Doyle.

6. Sherlock Holmes mengatakan dia menggunakan teknik deduktif dalam menyelesaikan masalahnya, tetapi menurut pakar metodologi, sebenarnya teknik yang digunakan itu adalah teknik induktif. Kesilapan ini adalah kesilapan teori Doyle.

7. Sherlock Holmes adalah figura popular pertama yang menyalahguna kokain dan morfin. Pada waktu watak Holmes dicipta, kokain dan morfin masih lagi sah dan boleh didapati tanpa preskripsi doktor – oleh sebab yang demikian, tiada siapa akan dikenakan tindakan undang-undang tetapi sesiapa saja boleh menyalahgunakannya. Ironiknya, pada era Edward – Victoria, kokain digunakan untuk mengubati masalah ketagihan opium. Kalau nak dibandingkan dengan zaman moden, istilahnya sama seperti memberikan syabu kepada orang yang ada masalah heroin!

8. Drama perubatan "House" diilhamkan dari Sherlock Holmes. Nama Dr. House diinspirasikan dari nama Holmes (jika disebut dengan pantas, bunyinya seperti "Homes" atau "Rumah"). Holmes hanya memilih kes yang ganjil manakala House suka menyelesaikan masalah perubatan yang unik. Rakan karib House ialah Dr. Wilson, manakala rakan karib Holmes adalah Dr. Watson. House mempunyai ketagihan pil preskripsi Vicodin, seperti Holmes ketagih kokain. Holmes tinggal di alamat 221B Baker Street sementara House tinggal di Baker Street dan apartmennya bernombor 221. Dalam musim kedua "House", doktor tersebut ditembak oleh seorang lelaki bernama Jack Moriarty, sementara musuh utama Holmes adalah Profesor Moriarty. Episod pertama House dimulakan dengan pesakit bernama Rebecca Adler sementara cerpen pertama tentang Holmes menampilkan watak Irene Adler.

9. Dalam 56 buah cerpen dan empat novel Sherlock Holmes, tidak walau sekalipun Sherlock Holmes mandi. Ini kerana Holmes tidak suka mandi! Ini disebut sendiri oleh Holmes dalam "A Scandal in Bohemia", di mana dia memberi alasan "mandi bukan satu hobi yang logik" apabila Irene Adler mengatakan dia lelaki pintar yang berbau.

10. Waris Arthur Conan Doyle pada awalnya menentang pemilihan Robert Downey Jr. sebagai Sherlock Holmes dalam adaptasi terbaru ini kerana mereka tidak mahu watak popular itu dikaitkan dengan seorang penagih dadah sebenar!

No comments:

Post a Comment