Klasik Terbaik: "Gone with the Wind"
Penulis: Margaret Mitchell
\Jika anda kurang sabar hendak menamatkan pembacaan buku yang mempunyai lebih dari seribu mukasurat ini, anda juga pasti kurang sabar untuk menonton filemnya yang berdurasi lebih kurang empat jam ini. Namun begitu, "Gone With the Wind" karya Margaret Mitchell ini merupakan filem adaptasi era Perang Saudara Amerika Syarikat klasik yang paling terkenal dan memegang rekod sebagai pemenang 10 buah anugerah Academy. Filem arahan David O Selznick ini dikelilingi pelbagai kontroversi, pada awalnya dengan menggunakan khidmat pelakon British Vivien Leigh sebagai watak utama seorang gadis Selatan, sehinggalah persoalan rasisme dan hamba abdi yang sangat jelas dalam filem. Ia juga dikritik dengan hebat pada waktu tayangan (pada penghujung 30-an ke awal 40-an) kerana watak Rhett Butler yang menggunakan ayat "Frankly my dear, I don't give a damn". Ketika itu "damn" masih dianggap satu perkataan kasar yang tidak patut digunakan dalam filem.
Bayangkan jika penonton ketika itu hidup di zaman sekarang!
Siri Mafia Terbaik: "The Godfather" (Part I, Part II)
Penulis: Mario Puzo
Siapa yang tidak pernah dengar kata-kata paling popular Don Corleone "I'm gonna make him an offer he can't refuse" mungkin tidak begitu arif tentang filem kerana ia berada di tempat kedua dalam senarai "Most Memorable Quotes" dalam sejarah perfileman. Karya Mario Puzo ini menjadi filem wajib untuk mereka yang mengakui diri mereka sebagai 'peminat fanatik filem'. Watak Vito Corleone dengan kucing peliharaannya menjadi identiti pelakon Marlon Brando dan antara imej paling popular sepanjang hidupnya. (Tupai tidak menyenaraikan "The Godfather III" kerana ia tidak mencapai mutu yang pertama dan kedua.)
Dari Novel Ke Teater: "Badai Semalam"
Penulis: Khadijah Hashim
Karya Khadijah Hashim ini tidak diadaptasi ke filem seperti "Legenda Budak Setan" tetapi dinaik taraf menjadi persembahan teater di Istana Budaya dan diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy. Primadona Erra Fazira melakonkan watak protagonis Mazni, seorang pembantu rumah yang dibesarkan di sebuah banglo milik majikannya. Walaubagaimanapun selepas kejayaan teater ini, ada kata-kata bahawa novel ini akan diangkat ke layar perak pula.
Noir Terbaik: "Shawshank Redemption"
Penulis: Stephen King
"Shawshank Redemption" adalah sebuah filem noir yang diadaptasi daripada salah satu mini-novel Stephen King yang bertajuk "Rita Hayworth and The Shawshank Redemption". Kisah mengenai kehidupan beberapa orang banduan ini diarahkan oleh pengarah kegemaran Stephen King sendiri iaitu Frank Darabont ("The Mist", "The Walking Dead") dan menerima tujuh pencalonan Academy Awards. Ia juga merupakan filem ke-74 dalam senarai filem terbaik AFI's 100 Years...100 Movies.
Filem Adaptasi Tempatan Paling Laris: "Lagenda Budak Setan"
Penulis: Ahadiat Akashah
Dengan kutipan sebanyak RM4.5 juta, LBS berjaya mencipta kegilaan baru produser filem dan drama di Malaysia untuk mengadaptasi novel tempatan ke layar perak. Sekalipun menerima banyak kritikan kerana isi kandungan yang tidak dikemas kini mengikut trend zaman sekarang dan beberapa kesilapan teknikal yang lain, ia masih berjaya memenangi dua anugerah di Festival Filem Malaysia ke-23. Kesinambungan filem ini, "Katrina" sedang rancak dalam pasca-produksi.
Siri Paling Banyak: "Harry Potter"
Penulis: J.K. Rowling
Siapa sangka satu idea di dalam perjalanan pulang menaiki kereta api rupa-rupanya tiket loteri bagi JK Rowling untuk hidup mewah. Francais kegemaran milenia, "Harry Potter" mempunyai tujuh siri dengan sejumlah lapan adaptasi filem - antara saga fantasi paling banyak dan paling berjaya dekad ini. Siapa tahu, dua puluh tahun dari sekarang mungkin ia akan diadaptasi sekali lagi?
Karya Paling Banyak Diadaptasi: "A Christmas Carol"
Penulis: Charles Dickens
Karya klasik Charles Dickens ini mempunyai jumlah adaptasi ke filem, drama dan teater yang paling banyak untuk sebuah buku. Terdapat 22 buah filem adaptasi sejak tahun 1901 termasuk "The Muppet Christmas Carol" (1992), "Scrooge" (1935) lakonan Seymour Hicks dan juga filem performance capture arahan Robert Zemeckis "A Christmas Carol" yang dilakonkan oleh Jim Carrey. Terdapat juga beberapa filem parodi berdasarkan novel ini termasuk "Ghosts of Girlfriends Past" (2009) lakonan Matthew McConaughey dan Jennifer Garner.
Buku paling kontroversi diadaptasi : "Vikas Swarup's Q&A"
Penulis: Vikas Swarup
Anda mungkin lebih mengenali karya Vikas Swarup ini sebagai "Slumdog Millionaire" dan filem arahan Danny Boyle ini berjaya memenangi Anugerah Academy dua tahun yang lalu. Ketika "Slumdog Millionaire" ditayangkan di seluruh dunia, ia menerima kritikan hebat daripada masyarakat India kerana dianggap menghina sistem sosial dan politik negara tersebut. Namun jika anda seorang yang suka membaca, dapatkan novel asalnya kerana ada banyak perbezaan di antara novel dan filem yang dilakonkan Dev Patel dan Freida Pinto ini, malah bukunya juga mempunyai naratif yang lebih kukuh dan realistik.
Filem : Ombak rindu
Penulis : Fauziah ashari
Filem adaptasi novel "Ombak Rindu" arahan Osman Ali sedang rancak bermain di pawagam dan menjadi perbualan hangat bagi mereka yang menantikannya. Tentu sekali ramai yang telah membaca novel karya Fauziah Ashari ini dan begitu teruja melihat Hariz dan Izzah dihidupkan di layar perak. Bukan semua orang boleh mengadaptasi novel ke filem, namun ia satu seni indah yang menghubungkan pencinta buku dan pencinta filem ke satu tumpuan yang sama.Filem ni masih di dalam tayangan yang di anggarkan sudah mengutip lebih dari 4 juta pada hari ke 5 tayangan nya.
Penulis Paling Banyak Diadaptasi: Stephen King
No comments:
Post a Comment