Thursday, 29 December 2011

Malaysia "Hall of Fame" 2011

Tinggal berapa hari sahaja lagi berakhirnya tahun 2011,kemunculan tahun 2012 di nantikan.segala suka duka sepanjang tahun ini tela berlalu dan di jadikan iktibar untuk menghadapi tahun baru yang bakal menjelma.tidak kurang hebat nya bagi dunia hiburan tanah air,banyak terdapat peningkatan nya dan kejayaan pada tahun 2011.

Peningkatan dalam indusrti filem tanah air yang dapat kita lihat,tidak kurang terhadap dunia penyiaran yang senantiasa meningkat serta dalam arena sukan tanah air yang menaikan nama negara di persada dunia.

Semua ini dapat kita lihat dalam carta "Hall of Fame" yang menunjukkan peningkatan industri hiburan tanah air,

Mari kita lihat carta "Hall of Fame" :

10. Pedulikan Kontroversi Nasi Lemak 2.0

'Nasi Lemak 2.0' mengutip lebih daripada RM7juta
Walaupun akhbar tempatan khususnya milik kerajaan menghentam Namewee, polemik itu gagal menghalang peminat filem tempatan menyerbu pawagam bagi menyaksikan filem sulung arahannya, Nasi Lemak 2.0.

Filem itu juga dibantah golongan ekstrimis politik yang menuntut filem itu diharamkan. Namewee, seperti biasa turut membalas hentaman itu di laman Youtube dengan caranya yang gemar memaki-hamun.

Pedulikan kontroversi, filem itu terus laris di pawagam seluruh Malaysia dan Singapura. Ia turut ditayangkan kepada pelajar Malaysia di Melbourne, Australia sempena Hari Kebangsaan dan di Golden Horse Film Festival, Taipei.

Akhirnya, filem yang turut dibintangi oleh Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam dan Adibah Noor itu mengutip lebih RM7juta di pawagam.

Rata-rata yang menonton menyukai filem itu yang berkisar mengenai pertandingan memasak nasi lemak terbaik sedangkan yang tersirat ia menceritakan tentang jatidiri bangsa Malaysia.

9. Siti Nurhaliza Lancar All Your Love

Setelah 16 tahun bertapak dalam industri muzik, akhirnya Siti Nurhaliza memiliki album Inggeris sendiri, “All Your Love”.Satu percubaan berani untuk melonjakkan lagi namanya di peringkat antarabangsa.

Album yang mendapat sentuhan komposer Australia itu turut dipasarkan di iTunes dan secara digital di toko muzik online. Tersebar ke seluruh dunia lagu-lagu Siti kali ini.

Walaupun kurang mendapat perhatian stesen radio berbahasa Inggeris tempatan, cabaran itu tidak melemahkan semangat Siti.Malah, sebutan nyanyiannya juga turut dipertikai ramai.

Sehingga kini, sebanyak 10 ribu unit telah terjual dan Siti juga dikatakan mahu mempromosikan albumnya di Indonesia dan Singapura.

Malangnya usaha Siti itu nampaknya tidak akan diiktiraf di Anugerah Industri Muzik tahun depan kerana album tersebut tidak memenuhi kriteria dan syarat-syarat untuk layak dicalonkan.

8. Drama Aksi Juvana Popularkan Johan As’ari

Drama berlatarkan pesalah juvana dipertontonkan kepada masyarakat dalam sebuah drama bersiri popular, Juvana di TV3. Drama yang diarahkan Faisal Ishak itu telah melonjakkan nama pelakon utamanya, Zahiril Adzim dan Johan As’ari.
 
Sebelum ini, tidak ada yang kenal pada Johan As’ari, pelakon yang memegang peranan sebagai Botak. Kesan drama itu, sehingga kini masih lekat gelaran Botak itu walaupun Johan sudah berambut.

Juvana bukan saja mempopularkan Johan, malah pelakon lain turut mendapat tempiasnya. Cikgu Zakiah, watak yang dipegang oleh Izreen Azminda dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan Johan.

Menariknya drama tersebut apabila penonton didedahkan kepada kehidupan sebagai pesalah juvana yang jarang sekali disajikan kepada mereka. Sekolah Wira Bakti dianggap sebagai sebuah negara yang dilanda pelbagai konflik termasuk penyalahgunaan kuasa, buli dan banyak lagi.

Juvana turut dibarisi pelakon hebat antaranya Beto Kushairy, Bront Palarae, Adam Shaz, Syazwan Zulkifly dan ramai lagi.

7. Rahsia Nora Terbongkar

Kalau Enfiniti Vision Media menerbitkan teater, pastinya tanda aras yang cukup tinggi diletakkan. Tahun ini menyaksikan Tiara Jacquelina beraksi lasak di pentas Istana Budaya sebagai Nora dalam teater muzikal The Secret Life of Nora.

Bukan sekadar menggunakan tenaga kreatif tempatan, teater arahan Steven Dexter itu turut mendapat sentuhan pelakon Broadway, Ryan Silverman sebagai Agent Roger.

Peminat teater yang menyaksikan teater itu cukup terpesona dengan nyanyian Ryan malah wajah kacaknya menjadi igauan setiap penonton wanita. Pengacara popular, Aznil Nawawi berperanan jahat yang disayangi sebagai Mr.J Heart.

Selain lakonan yang mempersonakan, The Secret Life of Nora turut diperhebatkan dengan pencahayaan dan rekaan set bertaraf Broadway. Lebih RM5 juta dibelanjakan untuk menerbitkan teater muzikal itu, namun ia amat berbaloi untuk mengangkat mutu teater muzikal tanahair.

6. Astro First Wayang Di Rumah Anda!

Kini dengan Astro First, rumah anda boleh berubah menjadi pawagam. Astro First menyediakan tayangan filem-filem terbaru untuk pelanggan pada harga yang berpatutan selama 48 jam tanpa henti.

Ada di antara filem yang ditayangkan baru seminggu di pawagam, namun telah boleh ditonton menerusi perkhidmatan tersebut yang disediakan Astro. Beberapa filem terpilih boleh disaksikan dalam format HD.

Permintaan pelanggan Astro terhadap perkhidmatan ini cukup baik. Dikatakan filem Hantu Bonceng telah dilanggan lebih 100 ribu pelanggan.

Ia memudahkan kerana peminat filem tidak perlu keluar rumah, mencari parkir kereta atau pun beratur di panggung wayang untuk membeli tiket.

Duduk dengan selesa di sofa ruang tamu kediaman masing-masing dan nikmati pengalaman menonton wayang terus ke rumah anda.

5. Lisa Surihani

Lisa Surihani pelakon yang paling hangat di laman-laman sosial
Ada apa dengan Lisa Surihani? Pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM22 ini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pengarah berstatus duda, Yusry Abdul Halim.

Walaupun pasangan hangat ini masih lagi berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan mereka, ramai yang menjangkakan ia akan berlangsung Februari tahun depan.

Di ruang maya, gadis comel itu amat senang didekati masyarakat. Sifatnya yang sopan santun cukup disenangi semua. Lisa merupakan antara selebriti yang memiliki jumlah pengikut (follower) teramai di Twitter dan juga Facebook.

Di medium filem, Ombak Rindu yang dibintangi Lisa masih hangat ditayangkan di pawagam tempatan. Beberapa filem lakonannya masih lagi menunggu untuk ditayangkan antaranya Istanbul Aku Datang terbitan Red Films Sdn. Bhd.

Ada sesuatu tarikan yang menyebabkan Lisa cukup diminati ramai. Mungkin itulah aura yang ada sehingga menyebabkan Yusry tertarik kepadanya.

4. Khairul Fahmi Che Mat, Jagoan Bola Sepak Bertukar Selebriti

 Khairul Fahmi Che Mat mengalami pelbagai kontroversi cinta dalam tahun 2011
Arena suka bola sepak Malaysia nampaknya cuba meniru arena bola sepak antarabangsa. Hidup pemain bola sepak David Beckham dan Christiano Ronaldo sering menjadi tumpuan lensa, begitu juga di Malaysia dengan Khairul Fahmi Che Mat.
 
Perjalanan hidup pemain bolasepak yang berasal dari Kelantan itu menjadi caca-marba setelah kejayaannya menjulang nama Harimau Malaya di persada antarabangsa.

Sejak itu, namanya meniti di bibir setiap peminat. Apa saja yang dilakukannya menjadi tumpuan masyarakat sehingga berlakunya pergolakan dalam hubungan cintanya dengan tunangannya, seorang gadis biasa.

Apek mula digosipkan menjalin hubungan dengan artis tempatan dan gambar-gambar peribadinya tersebar di internet.

Walaupun dihimpit pelbagai kontroversi, ia tidak sedikit pun menggugat semangatnya untuk membawa Malaysia menggondol ibu segala pingat emas di Sukan Sea baru-baru ini.

Apek bertindak selaku hero dalam perlawanan akhir bola sepak yang ditentukan menerusi sepakan penalti. Di padang, Apek ialah hero. Di dada akhbar, Apek ialah lubuk emas yang boleh dijual untuk melonjakkan penjualan akhbar dan majalah.

3. Tsunami Ombak Rindu

Lupakan filem aksi KL Gangster kerana tsunami Ombak Rindu sedang melanda negara! Mempertaruhkan nama besar Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani dan Bront Palarae, filem itu cukup laris di pawagam.

Rata-rata yang menonton menyukai melodrama tipikal Melayu yang diarahkan oleh pengarah filem Anak Halal, Osman Ali. Salah satu faktor yang melonjakkan populariti filem ini termasuklah novel nukilan Fauziah Ashari dengan tajuk sama dan populariti Aaron Aziz sendiri.

Penonton mana yang tidak terpesona dengan wajah kacak Aaron Aziz sebagai Hariz, simpati pada nasib Maya Karin sebagai Izzah dan benci pada watak Lisa Surihani sebagai Mila.

Ada juga di kalangan penonton lelaki yang turut mengalirkan airmata sewaktu menyaksikan filem ini. Setakat ini, filem tersebut berjaya mengumpul RM10.25 juta dari penjualan tiket.

Trend melodrama ini nampaknya semakin menular setelah penonton disogokkan dengan drama-drama meruntun air mata seperti Nora Elena dan Tentang Dhia.

2. Yuna Terbang Ke Amerika Syarikat

Yuna semakin mengorak langkah jauh apabila dipelawa ke Miami, Florida untuk menjalinkan kerjasama dengan vokalis dan pemain drum kumpulan N.E.R.D, Pharrell Williams.

Yuna menjadi satu-satunya penyanyi tempatan yang diberikan peluang untuk mengikat kontrak dengan Fader Label di sana pada Mac lalu. Di sana, sebanyak lima lagu telah ditulis secara bersama dan akan dimuatkan dalam album terbarunya untuk pasaran antarabangsa awal tahun depan.

Walaupun usahanya diperlekehkan oleh penganjur Anugerah Industri Muzik 18, Yuna tidak menoleh ke belakang dan membuktikan yang penyanyi bertudung sepertinya mampu untuk berjaya.

Baru-baru ini juga, Yuna terlibat dalam sebuah konsert MTV Iggy dan disiarkan di internet. Yuna merupakan finalis untuk kategori Best New Band In The World 2011 di MTV Iggy.

1. Fenomena Aaron Aziz

Hero baru idaman Malaysia! Sebut saja nama Aaron Aziz, namanya ada di mana-mana saja. Baik di kaca televisyen, layar perak mahu pun di pentas teater. Anehnya, kemunculan pelakon kelahiran Singapura ini tidak pernah membosankan peminatnya.
 
Tahun 2011 boleh dikatakan tahun Aaron Aziz! Filem lakonannya, KL Gangster mengutip kutipan pawagam sebanyak RM11.75 juta sekaligus memegang takhta filem paling laris di Malaysia buat masa ini.

Drama lakonannya, Nora Elena pula berjaya meledakkan rating tertinggi di TV3, termasuk tontonan di portal Tonton.

Panggung Sari, Istana Budaya pula turut merasai tempias populariti Aaron sewaktu teater Badai Semalam dipentaskan. Teater itu kini memegang rekod penonton teater paling ramai dalam sesebuah produksi.

Hampir menjengah ke tahun baru, filem Ombak Rindu pula kini sedang rancak ditayangkan. Sehingga kini, sebanyak RM10.25 juta telah berjaya dikumpul.

Jangan terkejut jika Aaron Aziz muncul sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2011 mengenepikan penyandang gelaran tersebut, Shaheizy Sam.

No comments:

Post a Comment